Oleh: Khadijah Ibrahim
SETIAP tahun, Tabung Haji menerima permohonan daripada pelbagai syarikat pelancongan yang berminat untuk menjadi Pengelola Jemaah Haji (PJH).
Untuk Musim Haji 1447/2026M ini, Tabung Haji telah menerima sebanyak 60 permohonan daripada syarikat pelancongan untuk mendapatkan Lesen Pengelola Jemaah Haji atau Lesen PJH.
Kesemua permohonan tersebut telah diteliti, disemak dan dibuat penilaian ketat oleh Tabung Haji mengikut kriteria yang telah ditetapkan, bagi memastikan syarikat pelancongan yang dilesenkan mempunyai keupayaan terbaik untuk memberikan perkhidmatan kepada jemaah haji.
Berdasarkan penilaian teliti yang telah dijalankan, jumlah syarikat yang lulus, dan layak dilesenkan untuk beroperasi pada musim haji 1447H adalah sebanyak 31 syarikat termasuk TH Travel & Services Sdn. Bhd.
Sesungguhnya, pemberian Lesen PJH ini merupakan amanah besar kepada syarikat yang terpilih termasuklah syarikat Jay Ibrahim Al Islam yang merupakan kali kedua mendapat lesen pengelola jemaah haji.

Pengarah Urusan Jay Ibrahim Al Islam, Muhammad Jay Ibrahim, berkata, sebagai strategi memperkukuhkan pendekatan spiritual yang lebih dekat dengan orang ramai, khususnya golongan muda serta keluarga moden, pihaknya melantik komposer dan penyanyi Hafiz Hamidun sebagai Wajah Rasmi Pakej Haji 2026 di bawah syarikat tersebut.
“Pelantikan Hafiz bukan sekadar kerjasama promosi, tetapi membina pendekatan bimbingan haji yang lebih menyentuh rohani. Kami percaya Hafiz mampu membawa nilai yang seimbang antara pengetahuan agama, pengaruh positif, dan ketokohan dalam bidang seni Islamik.
“Pendekatan kami adalah membantu jemaah melalui perjalanan haji dengan bimbingan yang tersusun, selesa dan penuh hikmah kerana ibadah haji bukan sekadar perjalanan fizikal, tetapi juga penyucian jiwa,” katanya.
Sebagai syarikat pengelola jemaah haji berlesen, Jay Ibrahim Al Islam menyediakan pakej haji yang merangkumi bimbingan intensif sebelum berangkat, mutawif berpengalaman, penginapan yang selesa di Tanah Suci, sokongan kebajikan berterusan, serta pengurusan logistik menyeluruh.
Orang ramai yang berhajat menunaikan haji pada tahun 2026 digalakkan membuat pendaftaran awal bagi memastikan tempat dan penyediaan bimbingan persediaan haji berjalan lancar.
Sementara itu, Hafiz yang dikenali melalui karya-karya berunsur kerohanian yang memberi impak besar dalam perkembangan muzik Islamik moden, selain aktif dalam pengisian dan dakwah melalui media digital, melahirkan rasa gembira kerana mendapat kepercayaan daripada syarikat Jay Ibrahim Al Islam.

“Saya amat menghargai kepercayaan yang diberikan. Hubungan saya dengan Jay Ibrahim memang kawan, sebelum ini saya memang tengok Datuk Siti pun setiap kali pergi umrah memang dengan Jay Ibrahim dan rasa keyakinan itu ada. Hubungan saya dengan Datuk Siti pun okey, bila tanya dia kata tak ada masalah.
“Ibadah haji adalah kemuncak perjalanan kehidupan seorang Muslim. Saya ingin membantu lebih ramai jemaah mendekati ibadah ini dengan hati yang bersedia, penuh ilmu dan ketenangan. Jay tidak mahu tumpu pada satu golongan semata-mata, kalau boleh dia nak lebih ramai jemaah.
“Orang selalu anggap pakej swasta ini mahal tapi tak. Saya rasa ini tanggungjawab saya juga sebab setiap tahun kita dengar ada yang kena tipu sebab sebenarnya syarikat terbabit tidak termasuk pun dengan syarikat yang dilesenkan oleh Tabung Haji untuk menjadi pengelola jemaah haji.
“Saya harap secara generalnya untuk semua orang boleh pilih mana-mana antara 31 syarikat yang dilesenkan oleh PJH tahun ini. Sebabnya kita ni bawa nama Malaysia dan bila nama negara dipandang tinggi oleh Kerajaan Arab Saudi sebab negara yang paling tersusun dari segi pengurusan jemaah haji.
“Saya tak dibayar tapi kena ambil peluang ini untuk galak dan bagi ilmu kepada orang ramai. Kita sudah siap 30 konten pasal haji dan dah buat macam-macam. Apa yang saya buat ini biar Allah yang nilai. Saya memang tak dapat bayaran satu sen pun,” katanya yang kali pertama menunaikan haji pada 2016.


