Buku P.Ramlee – Kisah Tanpa Nokhtah dikeluarkan tepat pada waktunya

Oleh: Khadijah Ibrahim

PENGALAMAN hampir 30 tahun dalam bidang kewartawanan hiburan tanah air memberi idea kepada Akmal Abdullah, 55, untuk menghasilkan sebuah buku tentang perjalanan seni Allahyarham Seniman Agung Negara, Tan Sri P.Ramlee yang dicoretkan menerusi naskah P.Ramlee – Kisah Tanpa Noktah.

Mantan pengarang hiburan Berita Harian itu memperoleh sumber untuk bahan tulisannya secara langsung daripada seniman dan seniwati filem Melayu yang merupakan sahabat baik kepada P.Ramlee semasa hayat mereka.

Atas pengetahuan yang dikutip daripada cerita arwah sahabat dan kawan-kawan lama Allahyarham serta hasil kajian agresif dibuat sejak Ogos tahun lalu, memudahkan Akmal mengumpul kisah mengenai era kegemilangan filem Melayu dan kisah menarik pelakon dan pengarah itu yang tidak didedahkan sebelum ini.

Antara tetamu kehormat yang hadir menyokong karya Akmal Abdullah, P.Ramlee – Kisah Tanpa Nokhtah.

Buku P.Ramlee – Kisah Tanpa Noktah setebal sekitar 500 muka surat yang dibahagikan kepada 111 bab dan diserikan dengan kira-kira 380 keping gambar berwarna dilancarkan pada 9 November lalu oleh Tan Sri Dato’ Panglima Abdul Kadir Sheikh Fadzir di Saloma Bistro.

Salah seorang tetamu yang hadir menyokong usaha Akmal menerbitkan buku berkenaan P.Ramlee adalah pelakon, pengarah dan penerbit Datuk Yusof Haslam, 79, yang respek dengan usaha Akmal kerana legasi hari ini ramai yang tidak tahu tentang P.Ramlee.

“Saya rasa dengan lahirnya buku ini sebagai satu peluang kepada generasi baharu untuk mengenali siapa itu P.Ramlee secara mendalam. Dalam kupasan buku ini, dia banyak mengupas isu-isu perjuangan P.Ramlee, bagaimana jatuh bangun seniman itu dalam kehidupannya.

“Saya pernah berlakon cerita P.Ramlee jadi Pak Pacak dengan bayaran RM4 untuk sehari penggambaran, usia saya ketika itu 18 tahun. Saya bertuah walaupun jadi Pak Pacak kerana selepas itu saya berpeluang berlakon filem lain dengan Datuk Jamil Sulung.

“Masa P.Ramlee meninggal, masa itu orang hampir lupa padanya. Bapa saya cakap, P.Ramlee meninggal dunia dihebahkan di radio. Bapa saya kata P.Ramlee masih hidup di zaman pengakhirannya tapi bila dia dah tiada baru orang tahu siapa dia dan apa jasa besar dan sumbangan dia kepada masyarakat.

“Apa yang berlaku kepada Seniman Agung P.Ramlee, balik dari luar negara menang anugerah sebagai pelakon versatil tapi tidak didendangkan ketika itu. Itulah perjuangan, ada pahit dan manis. Kalau kita jatuh di bawah jangan kita kesali dan Allah bersama kita. Bagi saya kritikan tidak akan melemahkan semangat, itu yang berlaku kepada P.Ramlee,” katanya yang kagum dengan semangat Allahyarham P.Ramlee yang tidak mudah mengaku kalah itu.

Yusof Haslam menyampaikan cenderamata kepada cucu P.Ramlee, Najua Nasir.

Sementara itu, Datuk Rosyam Nor yang hadir sebagai sahabat dan penaja utama, ST Rosyam Mart untuk buku tulisan Akmal itu berkata, P.Ramlee bukan sekadar anak seni sebaliknya, Allahyarham adalah penggerak kebudayaan, kesenian dan silaturahim kerana filem-filem lakonannya telah menghiburkan kita sejak dulu hingga sekarang.

Pemegang watak Fatah dalam filem Suami, Isteri dan …? yang bekerjasama dengan Sri Ternak Group mengushakan ST Rosyam Mart itu berkata, beliau amat berterima kasih kepada insan-insan yang bersama Tan Sri P.Ramlee kerana tanpa mereka tidak akan ada kesinambungan sehingga hari ini.

“Besarlah jasa mereka yang telah memberikan satu inspirasi yang begitu besar buat insan-insan seni tanah air, baik dalam dunia lakonan, nyanyian, muzik dan segalanya berpaksi kepada satu nama yang dilabelkan sebagai premium besar iaitu Tan Sri P.Ramlee.

“Dia juga seperti satu nakhoda kapal yang membawa generasi seangkatan dengannya memperjuangkan kesinambungan sehinggalah kita ada pada hari ini,” kata Rosyam tidak menolak permintaan Akmal untuk menjadi penaja utama penerbitan buku tersebut.

Jelas Rosyam, satu hari dia mendapat mesej daripada Akmal yang minta dia taja buku tulisannya itu. Memandangkan Akmal sebelum ini sering menulis berita tentang kerjaya seninya, Rosyam mengusulkan permintaan bekas wartawan itu kepada Ketua Pegawai Eksekutif Sri Ternak Group, Dato’ Raymond Ho.

“Saya cakap pada Dato’ Raymond, kita sponsor buku ini boleh tak? Kita sponsor atas nama Rosyam Mart? Dato’ Raymond kata pada saya, kalau tanpa P.Ramlee, you pun tak ada. Kalau tak ada P.Ramlee, you tak ada, I tak jumpa dengan you, tak ada Rosyman Mart. So, kita kena taja buku ini, kita taja penuh.

“Ini sumbangan yang sedikit kepada industri di mana saya juga naung. Kalau tuan-tuan pergi ke Rosyam Mart, tuan-tuan akan nampak lay out dan muka depan ada banyak lampu macam panggung wayang yang melambangkan imej dunia lakonan itu sendiri. Alhamdulillah, saya di ST Rosyam Mart, apa saja yang kami boleh bantu, kami akan bantu.

Akmal (dua dari kiri) bersama Rosyam Nor dan wakil Sri Ternak Group termasuk Raymond Ho.

“Bila covid melanda, kita banyak bantu artis-artis dan kru tapi kita buat secara diam. Dalam masa yang sama juga kami ada menyediakan satu tempat, Selebriti Square yagn diilhamkan oleh Datuk Raymond sebab dia nak saya bantu rakan-rakan artis lain yang berniaga.

“Alhamdulillah, hari ini saya telah meletakkan nama Rosyam Nor insya-Allah akan ada sampai bila-bila walaupun saya tiada. Ini semua inspirasi daripada Allahyarham P.Ramlee. Saya tengok, P.Ramlee ada panggung wayang atas namanya di Chow Kita, tapi dia sudah tiada. Saya tak pernah sempat jumpa dengan P.Ramlee tapi dengan arwah Aziz Sattar dan S.Shamsuddin, saya rapat. Di situ terdetik di hati saya, entah-entah satu hari nanti aku ada panggung atas nama Rosyam Nor.

“Tapi Allah tukar jadi ST Rosyam Mart yang beroperasi 24 jam. Awal dulu, macam-macam orang tuduh saya, saya ni barua Cina. Bila kita kena hentam ini akan lebih bagi semangat kepada kita. Kita bagi suasana lima bintang dengan harga borong, paling murah.

“Alhamdulillah, sudah lapan tahun saya bersama dengan ST Ternak. Diam tak diam kita sudah ada lapan cawangan dan satunya kita panggil Rosyam Mall di Jalan Kebun, Kelang. Insya-Allah, Disember ini kita akan melancarkan satu lagi outlet iaitu di sebelah Jakel Square, Kuala Lumpur. Saya juga sedang berusaha untuk adakan satu Rosyam Mall di Pasir Gudang,” ceritanya panjang lebar mengenai perjalanan bisnesnya.

Ujarnya, kerjasama antara Rosyam Mart dengan Akmal adalah permulaan dan tidak teragak-agak untuk menghulurkan bantuan jika ada yang berhasrat menerbitkan karya masing-masing.

“Saya dan dunia hiburan tidak jauh, satu hari nanti, insya-Allah kita ada satu keperluan yang boleh saya dan Rosyam Mart membantu, kita akan bekerjasama. Bersama dengan Akmal ini adalah permulaan yang cantik, insya-Allah bukan hanya terbitan buku ini dan mungkin selepas ini ada terbitan buku karya-karya yang hebat satu ketika dulu.

“Mungkin buku ini juga boleh diterjemahkan dalam bahasa Inggeris kerana Seniman Agung kita bukan calang-calang. Kehebatan P.Ramlee tidak ada tolok banding dalam dunia kerana dia boleh buat segala-galanya. Kalau dia lahir di Hollywood tak tahu namanya seperti mana sekarang. Kalau boleh diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris dan buat e-book ini antara idea terbaik yang saya sarankan kepada Akmal.

“Saya harap buku ini akan menjadi kesinambungan kepada generasi yang akan datang untuk mengingati siapa Tan Sri P.Ramlee dan apa perjuangan dan sumbangannya kepada industri hiburan tanah air dan masyarakat Malaysia,” tegas Rosyam.

Latest

Selamat Hari Raya Haji

Assalamualaikum semua... Kami di Wafa News. Com mengucapkan Selamat menyambut...

DPDDM jalin kerjasama dengan Standard Chatered

Oleh: Nafsiah Jani Baru-baru ini Dewan Perniagaan Datuk Dato Malaysia...

Filem Kata Hati tampilkan wajah baharu yang serasi

Oleh: Khadijah Ibrahim MULAI 4 Jun ini, filem Kata Hati...

Pendekatan Pelarasan Tulang Tanpa Pembedahan Diperkenalkan oleh MMW Bone Alignment Centre

Oleh : Nafsiah Jani Gaya hidup moden yang melibatkan duduk...
spot_img

Jangan Terlepas!

KEETH Kembali Dengan EP Hollywood Diaries

Oleh: Syed Yusof Wafa Terus bangkit, selepas Kejayaan Naib Juara...

Filem Kata Hati tampilkan wajah baharu yang serasi

Oleh: Khadijah Ibrahim MULAI 4 Jun ini, filem Kata Hati...

Ekspo Lanhua Malaysia ke-2, Mampu Perkukuh Kerjasama Perdagangan Shandong–Malaysia

Oleh : Nafsiah Jani Sambutan yang cukup memberangsangkan bagi membeli...

Kenny G datang ke Malaysia lagi, 12 Julai ini

Oleh: Khadijah Ibrahimw PEMAIN saksafon tersohor, Kenny G, bakal kembali...

Pendekatan Pelarasan Tulang Tanpa Pembedahan Diperkenalkan oleh MMW Bone Alignment Centre

Oleh : Nafsiah Jani Gaya hidup moden yang melibatkan duduk...
Khadijah Ibrahim
Khadijah Ibrahim
Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia, pernah menjadi wartawan hiburan di Ladybosz.com serta berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7 terbitan theStar.
spot_imgspot_img

Selamat Hari Raya Haji

Assalamualaikum semua... Kami di Wafa News. Com mengucapkan Selamat menyambut Hari Raya Haji! Semoga ibadah korban kita diterima dan kita menjadi insan yang lebih sabar...

DPDDM jalin kerjasama dengan Standard Chatered

Oleh: Nafsiah Jani Baru-baru ini Dewan Perniagaan Datuk Dato Malaysia (DPDDM) telah mengadakan satu pertemuan penuh bermakna dan cukup produktif bersama pihak pengurusan Standard Chartered...

Filem Kata Hati tampilkan wajah baharu yang serasi

Oleh: Khadijah Ibrahim MULAI 4 Jun ini, filem Kata Hati yang bergenre komedi romantik akan menemui penonton di pawagam di seluruh negara. Filem arahan Nadiah Hamzah...