Oleh: Khadijah Ibrahim
PEMENANG tempat ketiga Anugerah Juara Lagu ke-39, Akim & Majistret (ATM) menerusi lagu “Saksama”, kini muncul dengan single berjudul “Juliet”.
Lagu “Juliet’ adalah hasil ciptaan anggota band sendiri iaitu Laq dan Hang Nadim (Akim) manakala lirik ditulis oleh Bunga Cantik atau Stacy Anam. Lagu ini mengetengahkan naratif cinta yang tidak bersandarkan kesempurnaan, sebaliknya diraikan melalui keberanian untuk jujur dan setia kepada perasaan sendiri.
Sebuah karya yang sarat emosi, keberanian dan kejujuran perasaan, selari dengan identiti muzik matang yang terus mereka tonjolkan.
Menurut vokalis utama ATM, Akim Ahmad, “Juliet” membawa maksud yang lebih mendalam berbanding sebuah kisah cinta biasa.

“Bagi saya, “Juliet” adalah mengenai keberanian untuk mencintai dengan jujur walaupun dunia di sekeliling kita sering memaksa kita berpura-pura.
“Lagu ini dekat dengan realiti mengenai hubungan, keikhlasan dan bagaimana kita mempertahankan perasaan walaupun berdepan dengan cabaran,” ulasnya.
Katanya lagi, proses rakaman “Juliet” turut memberikan pengalaman berbeza buat beliau dan seluruh anggota kumpulan.
“Kami mahu setiap lagu yang dikeluarkan ada jiwa. “Juliet” lahir daripada perbincangan panjang dalam studio mengenai apa yang kami rasa sebagai manusia, bukan hanya sebagai pemuzik. Saya harap pendengar boleh merasakan emosi itu bila mereka mendengar lagu ini,” katanya.
Single terbaharu ini hadir selepas beberapa karya terdahulu Akim & The Majistret berjaya mencatat pencapaian membanggakan di platform digital.
Antara lagu paling berjaya ialah “Potret” yang merekodkan 33 juta tontonan di YouTube dan kekal menjadi antara lagu wajib permintaan peminat dalam setiap persembahan langsung mereka.

Selain itu, single “Rampas” dan “Mewangi” turut memperlihatkan sambutan luar biasa peminat apabila masing-masing mencatat 18 juta dan 14 juta tontonan di YouTube serta mengungguli carta radio tempatan, sekali gus mengukuhkan reputasi Akim & The Majistret sebagai antara kumpulan rock moden paling konsisten di Malaysia.
“Saksama”, single terakhir Akim & The Majistret yang dikeluarkan pada tahun 2023 berjaya memenangi anugerah ‘Lagu Rock Terbaik’ Anugerah Industri Muzik (AIM) edisi ke-24.
Kejayaan berterusan ini bukan sahaja membuktikan kekuatan vokal Akim, malah keserasian beliau bersama barisan pemuzik The Majistret dalam menampilkan muzik yang relevan dengan generasi masa kini tanpa mengorbankan elemen ‘jiwa’ dan keaslian karya.
Dengan rekod pencapaian besar lalu, “Juliet” dijangka mampu mengulangi kejayaan single terdahulu dan terus menambat hati pendengar, khususnya dalam kalangan peminat setia Akim & The Majistret yang sentiasa menantikan kelainan serta kematangan dalam setiap karya terbaharu mereka.
Dengan susunan muzik yang kemas, melodi yang kuat serta lirik yang puitis, “Juliet” dilihat sebagai satu lagi bukti kematangan Akim & The Majistret dalam menghasilkan karya yang bukan sahaja sedap didengar, malah mampu menyentuh perasaan pendengar.
Single “Juliet” terbitan Nova Music Malaysia boleh mula distrim di semua platform penstriman muzik dan visualizer rasmi lagu tersebut boleh ditonton di saluran YouTube ‘Nova Music Videos’ di pautan ini https://www.youtube.com/watch?v=t3UKRaFsWpY.


