Oleh: Nafsiah Jani
Langkah strategik Tepuk Tepung Pâtisserie menjalin kerjasama bersama Sea Travel Agency mencuri tumpuan apabila kedua-dua pihak memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersempena pembukaan rasmi mini kafe tersebut di Hartamas Shopping Centre sekali gus membuka lembaran baharu gabungan dunia kulinari dan pelancongan.
Kerjasama itu dilihat sebagai usaha memperluaskan pengalaman pelanggan melangkaui sajian makanan semata-mata kepada penawaran gaya hidup dan perjalanan yang lebih menyeluruh, merangkumi elemen hospitaliti dan eksplorasi budaya.
Majlis perasmian yang penuh gilang-gemilang telah disempurnakan Y.M. Tengku Dato’ Dr. Hishammuddin Zaizi Y.A.M. Tengku Bendahara Azman Shah Alhaj dan Tan Sri Syed Mohd Yusof Tun Syed Nasir (Tan Sri Jojo) dengan kehadiran tetamu jemputan khas, rakan industri serta pihak media.

Suasana turut dimeriahkan dengan persembahan muzik tradisional disusuli tarian singa serta sambutan Hari Raya.
Pengasasnya, Chef Selebriti, Puan Sri Nisa Bakri, berkata kolaborasi bersama Sea Travel Agency merupakan langkah penting dalam merealisasikan visi jenama untuk berkembang sebagai platform gaya hidup yang lebih luas.
“Harapan saya agar Tepuk Tepung Pâtisserie bukan sekadar tempat untuk menikmati makanan, tetapi menjadi satu pengalaman yang menghubungkan rasa, perjalanan dan kenangan. Kolaborasi ini membuka peluang untuk kami membawa sentuhan ‘air tangan’ Malaysia ke peringkat yang lebih jauh,” katanya pada majlis pelancaran rasmi Tepuk Tepung Patisserie serta acara menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Sea Travel Agency.

Dalam suasana penuh emosi, beliau turut berkongsi kisah peribadi yang menjadi inspirasi kepada jenama tersebut, termasuk busana yang digayakan pada majlis berkenaan yang disifatkan sarat dengan kenangan.
Menurutnya, pakaian itu pernah digayakan ketika pertemuan bersama Tun Dr. Mahathir Mohamad serta kali pertama bertemu Datin Sri Rosmah Mansor menjadikannya antara memori paling berharga dalam hidup.
Lebih bermakna, busana tersebut merupakan pilihan arwah ibunya, sekali gus memberi nilai sentimental yang mendalam.
Cerita Nisa, baju yang dianggarkan hampir dua dekad usianya itu hanya akan dipakai pada acara tertentu, malah beliau berseloroh ia mungkin akan dilelong suatu hari nanti kerana nilai kisah yang dibawanya.
Pada majlis tersebut, Nisa yang mengenakan busana nostalgik tersebut turut memperkenalkan hidangan `Onde Crepe Cake’ iaiitu kek yang menggunakan bahan-bahan tradisional onde-onde yang digabungkan dengan gaya krep Peranchis berperisa vanilla.

Disebalik penampilan itu, beliau turut mengimbau perjalanan membina jenama Tepuk Tepung Pâtisserie yang bermula daripada pengalaman hidup yang pelbagai, termasuk pernah menceburi perniagaan beg tangan di gedung mewah Harrods di London sebelum menemui minat sebenar dalam dunia kulinari.
“Daripada menguli doh, memasak sambal, hingga bangun seawal jam 3 pagi dan semua itu memberi kepuasan yang tidak dapat digambarkan,” katanya.
Menurut NIsa, nama Tepuk Tepung itu sendiri diinspirasikan daripada falsafah ‘rasa air tangan’ dan tradisi nenek moyang yang menguli doh mengikut gerak hati dan kasih sayang tanpa memerlukan resipi bertulis.
Dengan slogan keramat “Macam Mak Masak”, kafe ini menawarkan aneka kek artisan, pastri segar, serta hidangan gourmet panas yang menjanjikan kehangatan sebuah dapur rumah kepada setiap pelanggan yang melangkah masuk.
Nisa berharap setiap pengunjung dapat merasai pelukan kasih sayang dan keikhlasan yang dituangkan ke dalam setiap hidangan, menyamai suasana dapur seorang ibu yang sentiasa menjadi tempat paling menenangkan.
Tambah beliau, tiada institusi formal yang mampu mengajar nilai sebenar dalam masakan kerana ramuan paling penting adalah kasih sayang yang diterjemahkan ke dalam setiap hidangan.
“Bunyi hiruk-pikuk dapur, keluarga di sisi, dan suasana sederhana itulah yang membentuk rasa dalam setiap masakan. Itu yang saya mahu kongsikan dengan semua,” ujarnya.
Beliau percaya pengalaman menikmati makanan bukan sekadar soal rasa, tetapi mampu membawa seseorang kembali kepada memori zaman kanak-kanak yang penuh kehangatan.


Dalam perkembangan sama, disebalik kelembutan konsep yang diterapkan, Nisa Holdings Sdn Bhd menunjukkan taring perniagaannya melalui kolaborasi bersama gergasi industri seperti kumpulan hotel global, Wyndham, serta jenama kafe antarabangsa, O’Briens, yang kini sah menjadi rakan strategik mereka.
Kolaborasi ini sekali gus mengukuhkan keyakinan industri terhadap potensi pertumbuhan jenama berkenaan dalam sektor kulinari dan hospitaliti.
Majlis turut menyaksikan pengumuman mengejut penubuhan Selio Lux, sebuah kafe berkonsepkan gaya hidup kurasi yang dizahirkan dalam tempoh hanya 30 jam selepas perbincangan bersama Sea Travel Agency.
Terletak tepat di atas kafe berkenaan iaitu di Aras 1, Selio Lux , bakal menjadi destinasi wajib bagi peminat budaya dan pelancong yang mencari koleksi vintaj, kraf tangan artisan, kosmetik tempatan, serta karya seni yang melambangkan kekayaan jiwa dan warisan Malaysia.
Dengan sokongan berterusan daripada pelanggan dan komuniti, Nisa Bakri menyifatkan pembukaan ini sebagai detik bermakna dalam perjalanan jenamanya yang masih panjang, sekali gus memperkukuh aspirasi untuk membawa pengalaman “Macam Mak Masak” ke tahap yang lebih tinggi dalam landskap gaya hidup moden.
Selain mengasaskan bag tangan jenama Zelucci di Harrods London rekod kecemerlangan Chef Selebriti Nisa Bakri memperlihatkan kejayaan beliau membina empayar Leather Love di 12 buah negara sekali gus menjadi sandaran utama keyakinan pelabur terhadap projek terbaharunya ini.
Sebagai penerima anugerah Persona Pelancongan & Makanan ASEAN 2026, beliau kini bukan sahaja membawa nama Malaysia melalui kulinari, malah memperkukuhkan kedudukan negara dalam peta gaya hidup mewah yang berakar umbi pada tradisi.
Tepuk Tepung Pâtisserie kini beroperasi sepenuhnya dan sedia menerima kunjungan orang ramai yang mendambakan kualiti kulinari yang disulami dengan nilai estetika budaya yang tinggi.
Maklumat lanjut mengenai tawaran dan konsep unik ini boleh didapati menerusi laman web rasmi serta platform media sosial mereka di @tepuktepung.my.


