Oleh: Nafsiah Jani
Sempena sambutan Hari Polis yang ke-219, baru-baru ini Dewan Perniagaan Datuk Dato Malaysia (DPDDM) telah mengadakan kunjungan hormat sempena program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) melawat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya. Lawatan ini telah berlangsung dalam suasana yang penuh tertib, harmoni dan jalinan semangat kerjasama yang tinggi.
Selain itu, kunjungan hormat ini juga bertujuan mengeratkan hubungan strategik antara pihak korporat, kepimpinan wanita dan PDRM, sejajar dengan slogan polis dan masyarakat berpisah tiada. Pertemuan ini diharap dapat menjadi platform penting dalam merangka pelaksanaan program CSR DPDDM bersama PERKEP IPD Putrajaya yang memberi fokus kepada kebajikan serta kesejahteraan seluruh warga PDRM dan keluarga mereka.
Delegasi yang diketuai Presiden DPDDM, Dato Nor Hasnal Hashmi bersama Megat Hadzlie @ Megat Raja , Prof. Dr Hasbulah Mohd Salleh, Ahmad Faisal Mohd Meidin, Puan Falora Ambi, Datin Ezy Ezylyana Ostman dan Datin Nur Shafiqah Noor Azmi disambut mesra Ketua Polis Daerah Putrajaya, ACP Tuan Aidi Sham serta pegawai-pegawai kanan IPD DSP Tuan Redza Shahromann, Ketua Cawangan Khas , ASP Tuan Azrul dan ASP Puan Ilham selaku setiausaha Perkep IPD PUTRAJAYA.
Turut diberi perhatian dalam kunjungan ini adalah penglibatan Pengerusi PERKEP IPD Putrajaya yang memainkan peranan penting dalam menjaga kebajikan keluarga warga PDRM, sekali gus menjadi pemangkin kepada kejayaan program-program kemasyarakatan yang dirancang.

Sepanjang sesi perbincangan yang berlangsung membuka ruang kepada pelbagai cadangan serta inisiatif bersama, khususnya dalam memperkasakan pelbagai program CSR yang melibatkan kebajikan ahli PERKEP, bantuan kepada keluarga yang memerlukan, serta aktiviti pembangunan komuniti yang mampu memberi impak positif secara menyeluruh. Kerjasama strategik ini juga dilihat mampu memperkukuhkan lagi hubungan dua hala antara masyarakat, sektor perniagaan dan pihak berkuasa dalam mewujudkan suasana yang lebih selamat, prihatin dan sejahtera.
Selain itu, penglibatan aktif Wanita dalam program ini turut mencerminkan komitmen tinggi golongan wanita dalam memperjuangkan agenda kebajikan dan kemasyarakatan, selari dengan usaha memperkukuhkan jaringan sokongan kepada komuniti setempat. Sinergi antara semua pihak ini jelas menunjukkan kesungguhan dalam menggembleng tenaga dan sumber demi manfaat bersama.
Diharapkan agar jalinan kerjasama yang terjalin melalui kunjungan hormat ini akan terus diperkasakan dan menjadi titik permulaan kepada pelaksanaan lebih banyak program CSR bersama PERKEP IPD Putrajaya pada masa-masa akan datang. Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini, semoga segala usaha yang dilaksanakan akan terus memberi manfaat berpanjangan kepada masyarakat serta warga PDRM khususnya.
Nor Hasnal Hashmi yang juga merupakan Ahli Lembaga Penasihat Dewan Perniagaan Pendidikan Kuala Lumpur (DPPKL) berkata, keutamaan DPDDM kini adalah untuk memperluas jaringan dan kapasiti keusahawanan di seluruh negara. Dengan keahlian yang merentasi pelbagai sektor industri, DPDDM berada dalam kedudukan strategik untuk menjadi jambatan antara kerajaan, komuniti perniagaan dan usahawan baharu.
“Melalui pelbagai kerjasama yang terjalin, DPDDM berhasrat melahirkan kelompok usahawan tempatan yang bukan sahaja berdaya tahan dalam pasaran domestik, tetapi juga bersedia menembusi pasaran antarabangsa. Usaha ini sejajar dengan aspirasi Ekonomi MADANI, yang menekankan prinsip inklusif, nilai tambah dan kesejahteraan bersama.”
Orang ramai yang berminat untuk menyertai rangkaian DPDDM dalam memperkasakan agenda Malaysia Madani boleh layari laman web rasmi di https://dpddm-gov.com/


