Oleh : Nafsiah Jani
Sambutan yang cukup memberangsangkan bagi membeli barangan negara China secara terus daripada pengedar di Ekspo Lanhua Malaysia ke-2 (Pameran dan Ekspo Jenama China (Shandong)- Malaysia 2026) telah berlangsung dengan jayanya di IOI City Mall, Kuala Lumpur pada penghujung Mei lalu.
Ekspo yang diadakan buat kali kedua ini sekali gus menjadi platform penting dalam memperkukuh hubungan perdagangan, pelaburan dan kerjasama ekonomi antara Wilayah Shandong, China dan Malaysia.
Majlis perasmian disempurnakan beberapa tetamu kehormat termasuk Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia, Datuk Chan Foong Hin, Presiden Dewan Perniagaan Qilu Shandong Malaysia, Puan Fu Qinglan, Pengarah Pusat Kerjasama Inovasi Teknologi China–Shanghai Cooperation Organization (Malaysia), Wang Dawei, Timbalan Setiausaha Jawatankuasa Parti, dan Naib Pengerusi dan Presiden Eksekutif Kumpulan Shandong Lanhua Group, Liu Jian.

Presiden Dewan Perniagaan Perusahaan China di Malaysia (CECCM), Ni Qingjiu, Timbalan Ketua Pengarah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia, Aidi Azli Wahit, Timbalan Presiden The Associated Chinese Chambers of Commerce and Industry of Malaysia, Datuk Lua Choon Han dan Presiden Malaysia-China Chamber of Commerce, Loh Kok Seong.
Dalam ucapannya, Fu Qinglan berkata, pihaknya sentiasa komited memperkukuh hubungan ekonomi, perdagangan dan budaya antara Shandong dan Malaysia.
“Malaysia kini merupakan rakan dagang terbesar Shandong dalam kalangan negara ASEAN. Banyak syarikat dari Shandong seperti Haier dan SITC Logistics berjaya berkembang di pasaran Malaysia.
“Saya berharap, ekspo ini dapat menjadi jambatan strategik bagi memperluaskan kerjasama dua hala serta mewujudkan platform penanda aras baharu untuk hubungan ekonomi kedua-dua buah negara.”
Sementara itu, Liu Jian turut memperkenalkan bandar Linyi di Shandong yang terkenal sebagai pusat perdagangan utama di China, selain berkongsi perkembangan portfolio perniagaan pelbagai sektor milik Shandong Lanhua Group.

“Kedudukan strategik Malaysia di Asia Tenggara, persekitaran perniagaan yang kondusif dan potensi pasaran yang besar menjadikan negara ini sebagai pintu masuk penting bagi syarikat Shandong menembusi pasaran ASEAN.
“Ekspo tahun ini menghimpunkan ribuan produk premium dari Shandong yang dipilih khas bagi memenuhi permintaan pengguna Malaysia yang pelbagai.
“Kami juga merancang untuk terus memperkukuh operasi Malaysia Overseas Mall bagi membantu syarikat dari kedua-dua negara mengembangkan pasaran antarabangsa dan meningkatkan kerjasama ekonomi China–Malaysia ke tahap yang lebih tinggi.”
Sementara itu, Datuk Lua Choon Han pula menyifatkan Shandong antara wilayah ekonomi dan pembuatan terpenting di China yang memiliki asas industri kukuh.
“Ekspo ini turut membuka peluang kepada syarikat-syarikat di Malaysia untuk meneroka pelbagai jenama dari Shandong selain membantu syarikat China memperluaskan pasaran ke ASEAN.
“Diharap melalui kerjasama ini dapat mengukuhkan lagi kedudukan kedua-dua negara dalam bidang perdagangan, pertanian, teknologi, pelancongan dan kebudayaan.”

Dalam pada itu, Ni Qingjiu berkata Shandong mempunyai kelebihan besar dalam sektor pembuatan maju, pertanian moden dan peralatan pintar, manakala Malaysia pula mempunyai kelebihan dari segi lokasi strategik, industri halal dan akses pasaran ASEAN.
Katanya, kombinasi kekuatan kedua-dua ekonomi membuka peluang kerjasama yang amat luas, khususnya dalam pembangunan jenama, padanan perniagaan dan peluasan rangkaian pasaran.
Sementara itu, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin turut memuji potensi kerjasama antara Shandong dan Malaysia dalam sektor pertanian dan industri makanan.
“Kepakaran Shandong dalam pemprosesan pertanian, pertanian pintar dan logistik rantaian sejuk melengkapi kekuatan Malaysia dalam sumber pertanian dan sistem pensijilan halal yang diiktiraf antarabangsa.
“Kerjasama dalam pengiktirafan standard keselamatan makanan, penyelidikan bersama dan pembangunan jenama mampu memberi manfaat besar kepada komuniti dan perniagaan di kedua-dua buah negara,” katanya.
Pameran anjuran bersama Shandong Lanhua Group yang berlangsung selama tiga hari itu, turut disertai lebih 160 syarikat dari China dan Malaysia. Antara produk yang dipamerkan termasuk makanan dan minuman, produk keselamatan dan perkakasan, aksesori automotif, produk luar, tekstil rumah serta perabot pejabat.
Selain pameran produk dan sesi padanan perniagaan, lapan forum khas melibatkan topik pensijilan halal, e-dagang rentas sempadan, operasi TikTok e-dagang serta strategi percukaian dan pematuhan perniagaan luar negara turut diadakan.
Forum ini bagi membantu syarikat mengembangkan pasaran dan memperkukuh hubungan perdagangan Malaysia–Shandong.


