Oleh: Khadijah Ibrahim
PADA 5 dan 12 Julai ini, kumpulan Wings bakal mengadakan persembahan di Hard Rock Cafe sempena promosi album terbaharu mereka menerusi showcase istimewa bertajuk “Wings Sunday Night Live”.
Dua lokasi yang bakal menjadi saksi kepada kemuncak “Wings Sunday Night Live” ialah Hard Rock Cafe Kuala Lumpur (5 Jun) dan diikuti oleh Hard Rock Cafe Melaka.
Showcase eksklusif tersebut dianjurkan dengan kerjasama Awie Entertainment bersama Hard Rock Cafe Kuala Lumpur, serta disokong oleh RPM Label sebagai pihak pengurusan baharu bagi Wings.
Penganjuran “Wings Sunday Night Live” bukan sekadar sebuah persembahan muzik, sebaliknya menjadi platform istimewa untuk memperkenalkan karya-karya baharu Wings kepada para peminat, di samping mempromosikan album Wings New Era.

Menurut Datuk Awie, asalnya, siri ini dirancang sebagai jelajah Rock To Rock Tour. Namun, atas kekangan tertentu, penganjur mengambil keputusan untuk memfokuskan penganjuran kepada dua lokasi utama yang dijangka menghimpunkan peminat setia dari seluruh negara.
“Wings bakal tampil dengan persembahan bertenaga berdurasi satu jam setengah menerusi sebuah set istimewa yang merangkumi sekitar 20 buah lagu.
“Penonton akan dihidangkan dengan gabungan lagu-lagu hits yang menjadi kegemaran sepanjang zaman, serta seleksi karya baharu daripada album baharu Wings,” jelas Awie.
Selain Awie sebagai vokalis utama, kumpulan rock legenda itu turut dianggotai oleh Edrie Hashim (gitar), Sham (gitar), Ilham (bass) dan Pae (dram).
Dalam masa yang sama, Wings berharap showcase tersebut dapat menyemarakkan lagi industri seni muzik tempatan serta mengangkat semangat persembahan live dalam kalangan peminat muzik tanah air, selain memperkenalkan dua anggota baharu kepada peminat kumpulan tersebut.
“Kami suka dapat bekerjasama dengan Hard Rock kerana ia satu jenama antarabangsa. Selain itu kami nak suasana yang lebih dekat dengan peminat, menghibura mereka dalam suasana santai.
“Kos juga lebih terkawal kerana ini adalah sebahagian daripada promosi dan kolaborasi jenama,” katanya.
Meskipun setiap kali persembahan, penonton tidak jemu mendengar lagu-lagu hits Wings yang dikeluarkan sejak awal kemunculan tersebut, sebagai penggiat seni Awie berkata, mereka perlu tampil dengan karya baharu.

“Kami akan keluarkan Dua album tahun ini, satu terbitan Edrie dan satu lagu sentuhan Datuk M.Nasir. Awal-awal tu kita tak fikir nak keluar dua album sekali gus pada tahun ini.
“Tapi along the way bila kita dah duduk dan berbincang, idea tu datang. Bila kita dah jalankan karya Datuk M.Nasir punya, saya rasa best juga kalau kita buat satu lagi untuk target pasaran lain daripada kebiasaan.
“Jadi semua anggota setuju dan kita lantik Edry sebagai muzikal director dan produser, dan kami semua membantu Edry. Kita perlu ada persetujuan semua baru jalankan.
“Kita nak buat eksperimen sebab rasanya dalam Malaysia belum keluar lagi dua album serentak, jadi kita buatlah. Saya rasa kapasiti nak buat ada sebabnya kerana kita ada studio semua, tak mustahillah untuk kami mencipta satu barang baharu.
“Wings dah jenama baharu jadi kita nak create satu barang baharu. Bila orang dengar sekali keluar ada 20 buah lagu, jadi mereka boleh buat pemilihan lagu-lagu apa yang akan kami pentaskan nanti. Kalau boleh kita nak mainkan lagu baharu la,” cerita Awie tentang perancangan Wings.
Menyentuh mengenai pemilihan karya M.Nasir yang sebelum ini pernah mencipta lagu Sejati (dari album Teori Domino 1990), Peronda Jaket Biru dan Opera Dalam Kenangan, yang mengangkat nama Wings di persada seni, Awie berkata, komposer tersebut ada keistimewaan tersendiri.
“Dia ni ada satu touch yang luar biasa. Satu komposisi dia yang luar biasa yang kita tengok live. Dia duduk bermain gitar dan melodinya di situ. Benda macam ni tak ada kat semua orang. Adalah beberapa orang tapi tak sebagus itu.
“Magis yang dia miliki itu boleh membuat satu lagu popular dan album pun popular. Kami nak cipta ‘barang baharu’ biar keluar 20 lagu sekali gus supaya pendengar boleh buat pilihan,” ujarnya.


