Oleh: Khadijah Ibrahim
PADA 6 Jun lalu, stesen LRT (transit aliran ringan) Bukit Jalil sesak kerana berlakunya pertembungan dua acara besar iaitu Konsert Dewa 19 – Cintaku Tertinggal di Malaysia yang berlangsung di Unifi Arena Bukit Jalil dan di sebelahnya, Stadium Nasional Bukit Jalil pula ada konsert, G.E.M’s I Am Gloria World Tour 2.0, penyanyi dari Hong Kong.
Peminat-peminat kumpulan Dewa 19 yang dikenali sebagai Baladewa dan Baladewi, pasti seronok kerana dapat menonton persembahan kumpulan tersebut yang turut menampilkan kumpulan Padi Reborn sebagai pembika tirai persembahan.
Memang betullah kumpulan Dewa yang ditubuhkan di Surabaya pada 1986 dan dianggotai oleh Ahmad Dhani (pemain keyboard, vokalis), Andra Ramadhan (gitar), Agung Yudha (dram), Yuke Sampurna (bes) itu telah menaburkan cinta dalam kalangan peminat tempatan.

Mana taknya, hampir setiap lagu yang dinyanyikan oleh vokalis Dewa 19 turut disambut oleh penonton yang menjadikan konsert tersebut seolah-olah ‘pusat karaoke’ bagi mereka.
Ini bukan kali pertama Dewa 19 menampilkan Ari Lasso, Virzha dan Marcello Tahitoe atau Ello sebagai vokalis di pentas yang sama. Ketiga-tiga mereka pernah bergabung sewaktu menjayakan konsert Anniversary Tour 30 Years of Dewa di Stadium Axiata Arena, pada 10 September 2022.
Sayang, Once Mekel yang pernah menjadi vokalis Dewa 19 dan hadir menjayakan konsert Anniversary Tour 30 Years of Dewa sebelum ini tidak tersenarai dalam pilihan Ahmad Dhani selaku tonggak utama Dewa 19.

Semua sedia maklum antara Ahmad Dhani dan Once ada berlaku perselisihan faham, dan penyanyi tersebut dilarang mendendangkan lagu-lagu ciptaan Ahmad Dhani (lagu Dewa 19) tiap kali membuat persembahan.
Biarpun tanpa Once, konsert pada malam itu tetap meriah kerana faktor utamanya lagu-lagu Dewa 19 rata-ratanya malar segar dan bukan popular untuk semusim dua saja.
Dewa 19 memulakan persembahan pada pukul 9.50 malam, selepas Padi Reborn selesai mendendangkan lapan buah lagu termasuk lagu popular mereka, “Menanti Sebuah Jawaban”, “Jangan Datang Malam Ini”, “Begitu Indah”, “Ego”, “Hitam” dan “Sahabat Selamanya”, lagu nyanyian Padi Reborn untuk animasi Upin Ipin.
Sebagai orang kuat Dewa 19, Ahmad Dhani memulakan persembahan dengan lagu “Cinta Gila sebelum Virzha tampil meneruskan persembahan dengan lagu Pengeran Cinta”, “Perempuan Paling Cantik Di Negeriku Indonesia” dan “Larut”.

Turut dipaparkan juga video pemain dram undangn, Tyo Nugros yang menyatakan rasa sedih kerana tidak dapat hadir untuk menjayakan konsert di Malaysia kerana masalah dengan imigresen.
Tempat Tyo yang sepatutnya mengiringi Virzha atau Di Muhammad Devirzha sewaktu menyanyikan lagu “Perempuan Paling Cantik Di Negeriku Indonesia” diganti oleh anak sulung Ahmad Dhani iaitu Al Ghazali atau nama lengkapnya, Ahmad Al Ghazali Kohler.
Ternyata kejadian yang sama pernah berlaku sewaktu ‘Dewa 19 Reunion Live in Concert’ di Stadium Malawati, Shah Alam, pada 2 Februari 2019.
Ketika itu Ahmad Dhani tidak dapat hadir kerana masalah undang-undang dan diganti oleh anaknya, Abdul Qodir Jaelani (Dul Jaelani), anak ketiganya bersama bekas isteri, Maia Estianty untuk bermain keyboard.

Selepas Virzha, muncul pula Ello mendendangkan lagu “Arjuna”, “Dewi” dan “Sudah”.
“It’s good to be back. Inilah masanya untuk you guys to joget-joget sikit,” kata Ello yang gaya persembahannya ala-ala mendiang Freddie Mercury, vokalis utama kumpulan Queen yang ditubuhkan di London pada 1970.
Kemudian muncul pula Ari Lasso yang merupakan penyanyi terawal mewakili Dewa 19 berbanding Virzha dan Ello. Beliau memulakan persembahan dengan lagu “Aku Milikmu”, “Kirana” dan “Satu”.
Kehadiran Javier Parissi bukanlah sebagai vokalis untuk Dewa 19 tapi sebagai penyanyi jemputan kerana penampilannya ibarat klon kepada John Lennon yang merupakan vokalis dan pemain gitar rythm untuk kumpulan The Beatles.
Selain menjadikan kumpulan Queen sebagai rujukan kerjaya seninya, Ahmad Dhani juga menjadikan karya mendiang John Lennon sebagai ‘gurunya’.

Pada malam itu Javier Parissi, penyanyi kelahiran Argentina itu mendendangkan lagu “Flowers In The Desert”, ciptaan Ahmad Dhani yang dimuatkan dalam album “Republik Cinta” pada 2006 serta lagu popular John Lennon, “Imagine”.
Konsert anjuran Icon Entertainment yang berdurasi kira-kira tiga jam lebih itu menampilkan lebih 24 buah lagu dan yang pasti penonton terhibur mendengar lagu-lagu yang menjadi sebahagian daripada nostalgia kehidupan masing-masing.
Bagi yang ingin berulang kali menjayakan konsert seperti Dewa 19, pastikan lagu-lagu yang dikeluarkan mampu menarik perhatian ramai dan bukan popular sementara sahaja.
Jika lagu yang dikeluarkan berjaya ‘melekat’ di hati pendengar, maka karya tersebut tidak akan ada tarikh lupus.


