Oleh: Khadijah Ibrahim
DALAM waktu terdekat ini, penonton siaran Radio Televisyen Malaysia (RTM) menerusi saluran TV2 bakal menonton program DJA Show: Siri Muzikal ‘Aku Jamal: Suara Emas Digital’, sebanyak 13 episod yang menggabungkan elemen muzik, penceritaan dan mesej keselamatan dalam talian.
Idea untuk merakam program tersebut tercetus sejak tahun lalu dan rakaman DJA Show hanya berjaya dilaksanakan baru-baru ini, selama 13 hari berturut-turut di Studio Sound Stage FINAS (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia) di Hulu Kelang.
Pengarah Program DJA Show, Rosnan Nordin berkata, program tersebut dilaksanakan bagi merealisasikan impian Datuk Jamal Abdillah seorang penyanyi legenda yang juga dikenali sebagai Raja Pop Malaysia.

“DJA Show ini adalah untuk merealisasikan impian seorang legenda. Datuk Jamal mahu menjadikan sebuah arkib berdasarkan 13 buah album miliknya itu. Memang tak pernah dibuat.
“Dulu kita ada Ahmad Daud Show atau Normadiah Show tapi sudah lama, yang baharu belum ada. Kerana impian Datuk Jamal itulah saya tunaikan hajatnya yang mempunyai 13 album yang diterbitkan dan ada lagi album baharu dan saya terjemahkan dalam show ini.
“Show ini bukan berbentuk konsert tapi ia berbentuk temu bual dan kebetulan kita mendapat kerjasama yang baik daripada MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia).

“Seorang lagi insan yang merealisasikan impian kami agar menjadi kenyataan ialah Tan Sri Azam Baki. Dia kata buat dan jangan takut sebab Datuk Jamal memang the only legend yang tinggal.
“Kalau kita tak buat dan tunaikan impian ini bila lagi anak-anak seterusnya akan melihat tentang laluan Datuk Jamal. Disebabkan Datuk Jamal ini legenda kita harus angkat. Tan Sri Azam Baki yang banyak menyokong projek ini,” jelas Rosnan yang ditemui waktu rakaman program tersebut, pada 25 Jun, baru-baru ini.
Bagi Jamal tujuan utama beliau mahu menjayakan program tersebut adalah untuk mengadakan sebuah rakaman konsert live lagu-lagu yang pernah didendangkan dan juga sebagai tanda terima kasih kepada peminat-peminat yang menyokongnya selama ini.
Juara Bintang RTM 1979 atau nama penuhnya, Jamal Ubaidillah Mohd Ali, 67, berharap program yang diuruskan oleh Aideaz Integrated Sdn. Bhd., itu dijadikan rujukan di masa depan.

“Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih pada semua pihak yang sudi membantu saya merealisasikan impian saya ini. Saya ingin memulangkan semula rasa terima kasih kepada peminat-peminat yang telah menyokong saya selama ini.
“Selain itu saya harap program ini boleh jadi rujukan 100 tahun akan datang supaya orang dapat tengok balik Jamal Abdillah. Itu antara tujuan saya menjayakan DJA Show ini.
“Antara pengisian dalam show ini adalah temu bual dengan penulis lirik, Datuk Habsah Hassan, Datuk Chuari Selamat, S. Amin Shahab, wartawan hiburan dan seorang jurugambar yang bergiat bersama saya selama 48 tahun.

“Esok akan ada lagu-lagu diraja, lagu yang dicipta oleh Almarhum Sultan Idris Shah (Namamu Dibibirku) dan Almarhum Sultan Ahmad Shah (Simfoni Sepi). Saya jemput anakanda Sultan Idris iaitu Raja Mardiah untuk menyampaikan apa hasrat ayahandanya dulu ketika memberi lagu itu kepada saya.
“Sepanjang rakaman ini saya juga telah mengundang ramai penyanyi untuk menyanyikan lagu-lagu saya. Antaranya, Aris Ariwatan, Ameng Spring, Amelina, Aisha Retno, Lan Typewriter, Hijjaz, Hazama, Fauziah Ahmad Daud dan anak-anak saya.
“Untuk program ini juga, dimuatkan kira-kira 117 buah lagu dan saya nyanyi lebih kurang 98 lagu. Selama rakaman ini setiap hari saya nyanyi 12 lagu tanpa rehat. Saya nak orang dengar lagu saya dan mengimbau nostalgia dulu, itu tujuan saya kerana nyanyian saya dari hati yang suci,” katanya.
Tambah Jamal, disebabkan jadual kerja yang padat, beliau dapat merasakan yang penyampaiannya kurang memberi dan perasaan itu dirasai selepas menjalani pembedahan pada awal tahun ini.

“Saya merasai penyampaian saya dah tak berapa. Saya perlu berubat dan berehat untuk betulkan balik kotak suara saya. Kalau sekiranya masih macam tu juga, lebih baik saya bersara.
“Apapun, seorang ahli politik atau penyanyi tidak ada istilah bersara, sampai bila-bila dia akan menyanyi. Saya akan cuba ubati suara saya sampai boleh kembali baik seperti dulu.
“KPI saya, kalau kita menyanyi lagu yang diturunkan key saya tak capai KPI, kerana saya tak dapat nak memuaskan hati penonton yang hadir. Itu adalah tujuan utama saya naik ke atas pentas, bukan sebab duit ringgit atau populariti. Saya nak orang rasa macam mana yang saya nak sampaikan.
“Sebelum saya menjalani pembedahan saya boleh sampaikan lebih kurang 25 lagu dalam satu malam selama tujuh hari. Tapi selepas saya menjalani pembedahan ada nampak berbezaan.

“Mungkin kerana saya tak berehat langsung, setahun ni penuh. Untuk kotak suara, vokal chord saya berehat memang tak ada. Tapi saya sudah terikat dengan tanggungjawab jadi kena selesaikan juga,” akuinya.
Mengenangkan sudah 48 tahun beliau bergelar anak seni, ada pihak yang menyarankan agar Raja Pop itu dianugerah gelaran Biduan Negara dan program DJA Show mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR).
Bagi Jamal apa juga anugerah adalah ketentuan Tuhan, kalau Allah nak bagi beliau terima dengan hati terbuka, kalau tak ada pun beliau okey saja.
Turut hadir menonton rakaman DJA Show pada hari tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib, Ketua Pegawai Eksekutif Aideaz Integrated, Norafizah Shiak Abd Rahman, Ketua Bahagian Koordinasi Wilayah dan Negeri , MCMC, Mohd Faizal Mad Nor dan Tan Sri Azam Baki.


