Oleh: Khadijah Ibrahim
MENGIKUT kamus Bahasa Melayu ‘sadis’ membawa maksud suka atau bersifat menyakiti atau menyeksa orang dari segi fizikal atau mental untuk mendapat keseronokan ataupun kepuasan.
Kenapa agaknya penyanyi Aina Abdul memilih ‘Sadis’ sebagai judul single baharunya. Adakah penyanyi yang juga komposer itu pernah melalui situasi di sebalik maksud sadis itu?
Sejak lagu ini dimuat naik di YouTube Aina Abdul Entertainment (M) Sdn. Bhd., pada 19 Jun 2026, 123,000 telah menonton dan ternyata ramai yang meminati karya tersebut kerana dekat dengan diri masing-masing.
Aina mengaku bahawa lagu tersebut menampilkan sisi penulisan yang lebih mendalam dan jujur, dengan lirik yang menyentuh tentang rindu, ego, penyesalan, dan penghargaan terhadap seseorang yang sering dipandang biasa ketika masih ada.

Lagu yang menyatukan Aina dengan Vega Antares Setianegara, pemuzik dan arranger dari Indonesia itu berjaya membawa nuansa melankolik dan dramatik seiring dengan emosi yang ingin disampaikan dalam karya ini.
“Sadis adalah sebuah kesinambungan emosi daripada ‘Berjauh-an’. Kalau sebelum ini lagu
tersebut lebih menggambarkan tentang jarak dan perpisahan, ‘Sadis’ pula membawa pendengar masuk ke fasa selepas kehilangan itu berlaku, saat seseorang mula menyedari nilai dan kehadiran insan yang pernah ada dalam hidupnya.
“Lagu ini sangat dekat dengan emosi yang ramai orang pernah rasa, especially bila kita
terlalu lambat menghargai seseorang. Kadang-kadang bila dia masih ada, kita tak sedar
betapa pentingnya dia… tetapi bila sudah hilang, barulah rasa rindu itu datang dengan sangat mendalam,” kata Aina yang mencipta karya tersebut berdasarkan pengalaman sendiri.
Aina atau nama sebenarnya Nurul Aina Abdul Ghani, 32, yang kini sibuk menyiapkan keseluruhan album baharu yang dijangka akan dilancarkan pada tahun ini, menegaskan ‘Sadis’ bukan sekadar lagu baharu, tetapi sebuah sambungan cerita daripada ‘Berjauh-an’ yang membawa pendengar menyelami fasa selepas perpisahan, kehilangan, dan penyesalan yang tidak pernah benar-benar sembuh.

Tambahnya lagi, ‘Sadis’ sebenarnya menjadi salah satu karya penting yang membawa warna dan perjalanan emosi kepada album tersebut.
Aina juga meluahkan rasa teruja dapat kembali bekerjasama dengan Vega Antares untuk
lagu ini.
“Saya juga sangat teruja dapat kembali bekerjasama dengan Vega Antares untuk lagu ‘Sadis’ ini. Vega merupakan seorang pemuzik dan arranger yang sangat hebat.
“Menerusi lagu ini saya rasa keserasian kami dalam menghasilkan muzik kali ini sangat kuat. Dia benar-benar memahami emosi dan suasana yang saya mahu sampaikan dalam ‘lagu tersebut,” katanya.
Menerusi ‘Sadis’, Aina terus memperkukuhkan identitinya sebagai seorang pengkarya
yang tidak takut untuk menyampaikan emosi secara telus dan mendalam, sekali gus
memberikan pengalaman muzik yang dekat dengan realiti kehidupan ramai pendengar.

Sebelum ‘Sadis’, Aina terlebih dahulu tampil dengan single ‘Berjauh-an’ yang dipilih sebagai single utama untuk album kedua yang dijangka menemui peminat tahun ini, sekali gus memberi bayangan awal terhadap hala tuju muzik dan konsep yang bakal dibawakan.
Terkenal dengan kekuatan vokal serta keupayaan menyampaikan emosi, Aina sekali lagi
mempertaruhkan karya yang dekat dengan kehidupan.
‘Berjauh-an’ mengangkat kisah hubungan yang diuji oleh jarak dan masa, menyelami perjalanan emosi apabila perasaan yang dahulunya kuat semakin pudar hingga akhirnya terpaksa dilepaskan.
Lagu ini turut menyaksikan kolaborasi bersama Vega Antares dengan pendekatan berbeza apabila bereksperimen dengan genre yang jarang diterokai sebelum ini.
Jelasnya, langkah itu diambil bagi membezakan identiti antara album pertama dan kedua, selain membuktikan keupayaannya sebagai artis yang fleksibel dalam pelbagai gaya muzik.

Lebih bermakna, lagu ini sepenuhnya hasil idea dan penulisan Aina sendiri dan menganggap ‘Berjauh-an’ sebagai hadiah khas buat peminat yang sentiasa menyokong perjalanan seninya.
“Lagu ini berkisar tentang hubungan yang tewas kerana jarak dan masa. Ada ketika seseorang terpaksa melepaskan pasangan walaupun kenangan dan rasa sayang masih ada. Dalam tempoh yang panjang, jarak itu perlahan-lahan mengubah hati hingga akhirnya
perasaan itu hilang,” katanya.
Aina turut mengakui proses menghasilkan lagu ini bukan sesuatu yang mudah, terutama
dari segi penulisan dan penentuan arah muzik.
“Cabaran paling besar adalah untuk menentukan gaya muzik dan cara penulisan yang tepat. Selepas ‘Imaji’, saya mahu tampil dengan sesuatu yang berbeza. Saya banyak dipengaruhi muzik pop jaz, jadi saya cuba hasilkan lagu yang ada elemen bossanova tetapi masih kedengaran moden.
“Mencari produser yang sesuai juga mengambil masa agak lama kerana saya mahu
pastikan visi muzik ini jelas. Akhirnya saya memilih untuk bekerjasama dengan Vega Antares bagi merealisasikan idea dan susunan muzik yang saya bayangkan,” ujarnya.
Dengan gabungan melodi yang menyentuh perasaan dan lirik yang mendalam, ‘Berjauh-an’
dijangka memberi kesan kepada pendengar terutama mereka yang pernah melalui
hubungan jarak jauh atau perpisahan yang sukar.


