Oleh: Khadijah Ibrahim
BERMULA 2024 hingga kini, setiap tahun maestro muzik tanah air, Datuk M.Nasir tidak pernah jemu menghibur peminat-peminatnya dengan menjayakan konsert berskala besar.
Beliau yang sinonim dengan jenama ‘Cipta’ itu telah menjayakan empat edisi konsert iaitu M.Nasir CIPTA 1 pada Ogos 2024 dan pada tahun yang sama juga berlangsungnya konsert M.Nasir CIPTA 2 (Oktober) dan edisi istimewa Cipta Raya pada 13 April 2025 di Zepp Kuala Lumpur.
Manakala konsert N46IR CIPTA 3 pula berlangsung pada 27 September 2025 di Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur dengan tema “Malam Ini Gua Rock”.

Siri konsert tersebut diteruskan lagi dengan edisi Konsert DATO’ M. N47IR CIPTA 4 yang diadakan pada 4 Julai 2026 di Unifi Arena Kuala Lumpur, sebagai meraikan 47 tahun pembabitan seni beliau.
Meskipun pernah menonton persembahan M.Nasir atau Mohamad Nasir Mohamed, 68, sebelum ini, rata-rata yang hadir dengan busana tema batik masih juga kelompok yang sama.
Bagi mereka lagu-lagu dendangan M.Nasir tidak pernah jemu didengar kerana setiap karya ciptaan beliau mempunyai ceritera tersendiri.

Pada malam CIPTA 4, M.Nasir yang pernah menganggotai kumpulan Kembara bersama Allahyarham A.Ali dan S.Sahlan, memulakan persembahan dengan lagu popular trio tersebut, Ekspres Rakyat yang pernah meraih Anugerah khas di Pesta Lagu-Lagu Pop Aswan di Bangkok, Thailand pada 1982.
Kemudian diikuti dengan lagu Hati Emas yang merupakan lagu daripada album sulung Kembara yang dikeluarkan pada 1981, manakala Perjuangan merupakan lagu yang dipetik daripada album kedua Kembara pada 1982.
Menariknya sewaktu M.Nasir menyanyikan lagu ciptaannya Aku Dah Bosan yang diberikan kepada Amy Search yang terdapat dalam album solo Amy iaitu, Magic, kedengaran berbeza. Selaku komposer tersohor, setakat nak buat susunan muzik baharu untuk lagu ciptaannya sendiri bukan masalah untuknya.

“Terima kasih semua kerana sudi datang. Hari ini kita ada penonton yang lembik. Jerit sikit kasi tenaga. Malam ini kita ada lagu-lagu karaoke. Mari kita nyanyi bersama,” kata beliau sebelum memulakan lagu-lagu hits ciptaannya.
Untuk segmen medley karaoke, lagu-lagu yang dinyanyikan merupakan karya ciptaannya untuk kumpulan Ekamatra (Sentuhan Kecundang), Mega (Sekuntum Bunga Sakura Di Gurun Sahara), Spring (Sampai Hati) dan Datuk Jamal Abdillah (Azura).
Jika sesebuah karya yang dicipta itu berkualiti dan sedap didengar, tak kiralah siapa pun penyampainya, orang yang telah jatuh cinta dengan lagu-lagu tersebut tetap terhibur.

M.Nasir merupakan antara insan teristimewa kerana beliau bukan saja boleh mencipta lagu, malah mendendangkan lagu dengan baik.
Di konsert itu juga, M.Nasir yang menyambut ulang tahun kelahiran (4 Julai 1957) turut dirai di pentas bersama rakan-rakan artis yang hadir dan membuktikan beliau masih mampu menjadi rocker.
Untuk itu beliau mendendangkan lagu-lagu ciptaannya yang diberikan kepada kumpulan Search iaitu Fenomena, Musnah dan Pembakar Semangat.

“Terima kasih kerana sanggup tinggal rumah yang empuk, semata-mata datang nak tengok Atuk ini menyanyi,” guraunya dengan penonton.
Untuk segmen medley kedua, M.Nasir memilih lagu-lagu hit yang pernah dicipta untuk Datuk Awie (Ukiran Jiwa), Datuk Hattan (Dari Kekasih Kepada Kekasih), Allahyarham Datuk Sudirman (Milik Siapalah Gadis Ini) dan Rahim Maarof (Jangan Kau Rayu).
Kalau ikutkan pengumuman rasmi yang dikeluarkan oleh penganjur Icon Entertainment, artis undangan untuk CIPTA 4 hanyalah Awie dan Melly Goeslaw.

Namun pada malam itu, secara spontan ditambah lagi dua orang penyanyi jemputan yang hadir sebagai penonton tapi tidak menolak apabila diajak M.Nasir untuk berduet.
Mereka yang tidak ‘berkira’ tenaga itu ialah Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menerusi lagu Bagaikan Sakti dan Ziana Zain untuk lagu Halaman Asmara, duet Ziana bersama Awie.
Kata Siti, demi seorang legenda yang beliau hormati, tambahan pula di hari kelahiran M.Nasir yang dianggap sifu, beliau tidak menolak ajakan tersebut. Malah Siti sempat berseloroh untuk mereka menjayakan konsert bersama nanti.
Bersama Awie, M.Nasir berduet lagu Ghazal Untuk Rabiah yang dirakam bersama Jamal Abdillah sebelum ini. Malah bersama Melly pula lagu gandingan mereka adalah Suatu Masa dan Fantasia Bulan Madu.

“Saya ikuti perjalann seni Datuk M.Nasir sejak dia pertama keluar dalam hiburan. Saya jatuh cinta dengan beliau sebab lagu ini (Suatu Masa).
“Saya idolakan Datuk kerana seni itu bermain dengan hati dan menyapa hati, itulah yang Datuk lakukan. Lagu yang menyentuh hati tak banyak. Tapi hasil kerja Datuk mampu menyentuh hati,” kata Melly.
Persembahan M.Nasir pada malam itu turut diserikan dengan kolaborasi bersama De’Vokalis koir dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)
Untuk lagu Andalusia dan Berikan Nurbisa.


