Tarik Picu selami dunia persahabatan, kekeluargaan dan konflik

Oleh: Khadijah Ibrahim

JIKA sebelum ini kita sering menonton lakonan Idan Aedan di kaca televisyen dan layar filem, kini pelakon tersebut keluar dari zon selesanya dengan mencuba bakat sebagai pelakon teater pula.

Idan Aedan atau nama penuhnya, Muhammad Shahidan Abdullah, 22, bakal muncul dalam teater Tarik Picu pada 16 hingga 19 Julai 2026, di Nero Event Space,Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJPAC).

Teater arahan Fazleena Hishamuddin itu adalah naskhah tulisan Amar Amir dan merupakan karya yang kedua belas terbitan produksi teater Mask Team.

Idan yang pernah berlakon filem Anak Rimau The Movie, Abah Saya Uncle Mike, Akad Yang Hilang dan banyak lagi kerana beliau memulakan kerjaya lakonan sejak 2013, mengakui rasa terkejut apabila ditawar berlakon teater Tarik Picu.

Teater Tarik Picu diarah oleh Fazleena Hishamuddin.

“Saya sangat terkejut apabila mendapat tawaran daripada Shawn Amer. Saya rasa itu adalah satu pertaruhan yang dia buat untuk saya.

“Saya memang nak masuk teater tapi expectation saya untuk projek pertama adalah yang kecil saja dulu. Tapi yang ini akan buat di PJPAC dan bagi saya ini satu tanggungjawab besar.

“Kepercayaan yang diberikan oleh MaskTeam itu saya sahut kerana berlakon teater adalah sesuatu yang saya selalu impikan untuk buat. Bila dapat tawaran tersebut kenapa nak lepaskan pula, baik saya cuba,” katanya yang melakonkan watak Wan, adik kepada Ron, lakonan Arfie Shah.

Tidak menafikan terasa bebanan kerana pertama kali beraksi di pentas terbuka, Idan yakin dengan sokongan tim produksi, beliau dapat melaksanakan tangungjawabnya dengan baik.

Juan Ab Aziz harap teater Tarik Picu dapat memberi kesedaran kepada orang ramai tentang perkara yang tak dijangka.

“Saya rasa dalam setiap projek ada tekanan tersendiri tapi yang ini tekanan itu saya rasa lebih banyak sikit. Kerana ini kali pertama saya berlakon teater.

“Tapi bila saya dikelilingi oleh mereka yang hebat, saya tak nak sangat fikirkan soal tekanan. Walaupun rasa gementar, saya tetap bersyukur kerana dikelilingi orang yang hebat dan sentiasa menyokong saya.

Pementasan yang diterbitkan oleh Juan Ab Aziz ini menjanjikan pengalaman teater yang mendebarkan, penuh emosi dan sarat dengan konflik masyarakat yang dekat dengan realiti masa kini.

“Teater Tarik Picu ini lahir daripada pemerhatian terhadap realiti yang berlaku di sekeliling kita. Ia mengangkat suara dan pengalaman yang mungkin pernah dilalui oleh ramai orang, khususnya golongan muda yang sedang mencari tempat mereka dalam dunia yang semakin mencabar.

“Kami berharap penonton bukan sahaja dapat menikmati persembahan ini, tetapi juga membawa pulang persoalan dan renungan yang ditinggalkan oleh cerita ini,” jelas Juan Ab Aziz selaku penerbit.

Teater Tarik Picu menggabungkan elemen drama, suspens dan tragedi dalam sebuah penceritaan yang mengajak penonton menelusuri sisi gelap kehidupan manusia apabila berhadapan dengan tekanan dan pilihan yang sukar.

Teater Tarik Picu penuh emosi dan sarat dengan konflik masyarakat yang dekat dengan realiti masa kini.

Antara barisan pelakon lain yang menjayakan teater ini ialah Jay Iswazir (Acai), Khenobu (Alan) dan Amalina Arham (Milie).

Manakala Arfie Shah, peneraju watak Ron yang nama sebenarnya Ad Wafri Shaharuddin, 33, juga pertama kali berlakon teater.

Katanya, sebagai anak seni yang bergiat dalam bidang lakonan, semua platform mahu dicuba termasuklah pementasan teater.

“Mesti kena buat sekali seumur hidup. Teater ini adalah yang pertama kali saya lakukan. Memang ada rasa nervous kerana setiap perkara yang kita buat kalau benda tu susah mesti ada rasa takut. Apapun kita kena cari jalan untuk atasi rasa takut itu.

“Pelakon drama atau filem, kalau kita nak belajar banyak perkara sebelum penggambaran, kita kena masuk kelas lakonan. Tapi dalam teater bila kita sertai, kita boleh dapat ilmu percuma.

“Pada hari pertama latihan kita dah belajar macam-macam. Belajar dari segi lontaran suara, dialog dan pemahaman cerita. Kita belajar semua benda itu serentak. Jadi itu bagus sebab dapat ilmu free dan di waktu yang sama bekerja juga dan dapat berkarya,” katanya.

Naskhah baharu yang belum dipentaskan ini merupakan hasil karya Amar Amir.

Bagaimanapun kata Arfie, jika kesalahan dilakukan di set penggambaran, pengarah boleh minta lakukan semula tapi tidak di pentas teater kerana lakonan secara langsung.

“Waktu latihan pementasan jika salah kita boleh ulang balik tapi dalam pementasan di hadapan penonton, apa yang ditonjolkan itulah babaknya.

“Saya dapat ilmu baharu daripada coach, kalau kita terbuat salah pastikan itu kesalahan yang ada gaya. Setiap kali latihan kita akan jumpa benda baharu. Apa yang kita rasa waktu itu yang paling penting,” kongsinya.

Menerusi teater Tarik Picu, penonton akan dibawa menyelami erti manipulasi, konflik dalam jiwa dan harga yang terpaksa dibayar demi mempertahankan diri serta nyawa.

Dan di akhirnya, satu persoalan besar akan menentukan segalanya, apabila rahsia mula terbongkar, siapakah yang akhirnya benar-benar akan terselamat?.

Bagi yang ingin menonton persembahan Tarik Picu boleh membeli tiket di www.onetix.com.my dengan harga RM58, RM88 dan RM108.

Latest

CXF’26 Sasar Cipta Rekod MBOR, Satukan Bakat Muda dan Industri Kreatif

Oleh: Syed Yusof Wafa Creative Xperience Festival 2026 (CXF’26) bakal...

ASSABIL FEATURING ED MOIN BUKA LEMBARAN BAHARU POP ROCK TEMPATAN MENERUSI “NAFAS CINTA”

Oleh: Syed Yusof Wafa Industri muzik tempatan bakal diserikan dengan...

Fiza Thomas ‘tunjuk taring’ sebagai pencipta lagu

Oleh: Khadijah Ibrahim MESKIPUN Fiza Thomas pernah menyertai program realiti...

KESS mahu jadi ‘syurga emas preloved’ kepada masyarakat

Oleh: Khadijah Ibrahim JIKA berada di persekitaran Jalan Wangsa Delima...
spot_img

Jangan Terlepas!

Precious of Malaysia Citraloka 2026 Sasar 500,000 Pengunjung, Bawa Warisan Lebih Dekat Dengan Rakyat

Oleh: Syed Yusof Wafa/Faizah Yasmin Tan Sri Mustapa KUALA LUMPUR:...

KESS mahu jadi ‘syurga emas preloved’ kepada masyarakat

Oleh: Khadijah Ibrahim JIKA berada di persekitaran Jalan Wangsa Delima...

CXF’26 Sasar Cipta Rekod MBOR, Satukan Bakat Muda dan Industri Kreatif

Oleh: Syed Yusof Wafa Creative Xperience Festival 2026 (CXF’26) bakal...

Salam Maulidur Rasul 1448H

Oleh : Syed Yusof Wafa Sambutan Maulidur Rasul 1448H di...
Khadijah Ibrahim
Khadijah Ibrahim
Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia, pernah menjadi wartawan hiburan di Ladybosz.com serta berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7 terbitan theStar.
spot_imgspot_img

CXF’26 Sasar Cipta Rekod MBOR, Satukan Bakat Muda dan Industri Kreatif

Oleh: Syed Yusof Wafa Creative Xperience Festival 2026 (CXF’26) bakal mengangkat seni dan budaya tempatan ke pentas lebih besar apabila festival tiga hari itu menyasarkan...

ASSABIL FEATURING ED MOIN BUKA LEMBARAN BAHARU POP ROCK TEMPATAN MENERUSI “NAFAS CINTA”

Oleh: Syed Yusof Wafa Industri muzik tempatan bakal diserikan dengan kemunculan sebuah nama baharu iaitu Assabil yang hadir bukan sekadar untuk mencuba nasib, sebaliknya membawa...

Fiza Thomas ‘tunjuk taring’ sebagai pencipta lagu

Oleh: Khadijah Ibrahim MESKIPUN Fiza Thomas pernah menyertai program realiti Akademi Fantasia musim ke-13 pada 2016, namun buat masa sekarang namanya lebih menonjol sebagai pelakon. Pemenang...