Oleh: Khadijah Ibrahim
KALAU menonton drama jangan ‘sesuka’ hati nak buat andaian tersendiri, kerana penulis skrip dan pengarah pasti ada kejutan untuk penonton
Bagi yang telah menonton drama ‘Ikatan Terlarang’, arahan Riza Baharuddin dan skrip oleh Oka Aurora, pasti rasa ‘bersalah’ kerana sejak awal lagi sudah bersangka buruk kepada Rasyid yang dilakonkan oleh Alif Hadi.
Drama 28 episod yang disiarkan menerusi slot MegaDrama Astro, karakter Rasyid berjaya membuat penonton ‘geram’ tapi siapa sangka di penghujung, ramai pula yang sedih apabila kisahnya berakhir dengan kematian.
Melihat kepada situasi tersebut, Alif, 38, mengakui perubahan penerimaan penonton merupakan perkara yang paling tidak dijangkakan sepanjang drama tersebut.

“Yang paling best bila saya tengok perubahan penonton. Saya baca banyak komen di Threads. Ramai cakap mula-mula benci Rasyid sebab dia selalu timbulkan masalah dalam keluarga.
“Tapi bila cerita berkembang, orang mula faham kenapa dia jadi macam itu. Ramai cakap sebenarnya Rasyid adalah hero yang banyak selamatkan keluarga dan bantu Azura mendapatkan semula syarikat,” kata Alif.
Alif atau Muhammad Alif Abdul Hadi turut meluahkan rasa terharu apabila penonton begitu teliti sehingga setiap babak kecil menjadi topik perbualan.
“Babak mata kena cucuk, kena tampar, semua itu orang perasan. Bila orang mula bercakap pasal karakter kita, itu satu kepuasan sebagai pelakon,” katanya lagi.
Berbicara lanjut mengenai watak Rasyid, Alif memberitahu karakter itu telah melalui perjalanan emosi yang sangat kompleks bermula daripada kemurungan, kecewa dengan keluarga, perniagaan gagal, sehinggalah menerima hakikat dirinya mandul.

“Rasyid bukan jahat, dia cuma rasa kesunyian dan sebab itu mentalnya tak stabil. Lepas Azura mula bagi semangat, dia cuba berubah menjadi lebih baik, tetapi ujian tetap datang bertimpa-timpa,” ulasnya tentang watak yang dipegang.
Malah sebagai pemegang karakter Rasyid yang tentunya sangat jauh daripada sikap asal dirinya, Alif sempat menitipkan pesanan kepada golongan lelaki yang sedang dalam dilema sama atau ‘Rasyid’ di luar sana.
“Kena kuat, kena sabar dan jangan ikut emosi. Percayalah setiap apa yang berlaku adalah perancangan Allah dan pasti ada hikmah di sebaliknya,” ujar Alif.
Oleh kerana itu, akui Alif meski riwayat hidup Rasyid berakhir dengan tragis, dia masih terasa ‘roh’ karakter tersebut hidup di dalam dirinya.
“Sampai sekarang saya masih rasa macam ada lagi Rasyid dalam diri,” ujarnya yang pernah meraih Anugerah Aktor Pembantu Filem Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) Ke-36 menerusi filem ‘Jemputan Ke Neraka’ pada 2024.

Alif juga mengaku berkat karakter Rasyid, berlaku ‘plot twist’ dalam karier lakonannya. Menurutnya, watak itu membuka lebih banyak pintu rezeki dalam dunia lakonan.
“Ramai sebelum ini tak pernah tengok saya berlakon dalam platform atau slot drama yang besar. Bila orang mula nampak bakat dan menghargai usaha saya, rasa penat lebih 15 tahun itu macam terbalas.
“Saya tidak perlukan apa-apa balasan, cukup orang hargai kerja saya. Alhamdulillah sekarang tawaran pun semakin banyak,” katanya penuh syukur.
Sementara itu disebabkan hampir 80 peratus penggambaran dilakukan di dalam rumah bersama pelakon lain, hubungan mereka menjadi terlalu rapat sehingga terasa seperti keluarga sebenar.
Lain-lain pelakon yang terlibat dalam drama terbitan iFAME (iFabulous Art, Media & Event) yang disiarkan di saluran Astro Ria (Saluran 104),
ialah Erysha Emyra sebagai Azura, Hisyam Hamid (Lukman), Mawar Rashid (Bella), Raja Azura dan Arash Mohamad.


