Oleh: Nafsiah Jani
Insan hebat!… Siapa sangka, seorang kanak-kanak yang suatu ketika dahulu hanya mengayuh basikal mengelilingi kampung untuk menjual buah-buahan seperti duku dan jagung, akhirnya mampu membina empayar perniagaan dalam pelbagai bidang.
Bagi Haji Imran Abd. Wahid, 58, segala-galanya bermula sejak kecil.
Anak kelahiran Muar, Johor itu sudah mengenal erti berdikari sejak usia tadika. Ketika kanak-kanak lain mungkin sibuk bermain, beliau memilih untuk mencari wang saku sendiri dengan menjual hasil kampung.
Daripada situlah lahirnya satu sifat yang sehingga kini menjadi pegangan hidupnya – rajin berusaha, berani mencuba dan tidak takut bermula dari bawah.

Sikap tersebut terus dibawa sepanjang zaman persekolahan apabila Imran mengambil pelbagai kerja sambilan selain membiasakan diri menabung.
“Dari kecil memang saya sudah biasa bekerja dan berniaga. Bagi saya, kita kena belajar berdikari dan jangan takut untuk bermula,” katanya.
Dibesarkan dalam keluarga sederhana di kawasan dusun durian, Imran mendapat didikan daripada bapanya yang pernah bekerja di lombong, manakala ibunya pula pernah menjadi guru di Brunei.
Latar belakang keluarga yang sederhana itulah yang membentuk dirinya untuk memahami nilai kerja keras dan pengurusan kewangan sejak usia muda.
Hasil disiplin menabung, Imran berjaya membeli rumah pertamanya di Pinggiran Batu Caves ketika baru berusia 21 tahun, walaupun ketika itu pendapatannya kurang daripada RM1,000 sebulan.
Tiga tahun kemudian, pada usia 24 tahun, beliau sekali lagi memiliki rumah kedua.
Selepas menimba pengalaman dalam bidang perbankan sebelum berkhidmat selama 10 tahun dalam industri percetakan di Petaling Jaya, jiwa keusahawanan yang telah sebati sejak kecil kembali membara.
Pada 1996, Imran memberanikan diri membuka pasar segar dan restoran Kampung Boy Cafe di Pandan Indah, memperkenalkan konsep perniagaan bahan segar yang ketika itu masih dianggap unik.


Namun, titik penting dalam perjalanan hidup dan perniagaannya berlaku apabila beliau mendirikan rumah tangga bersama Dr. Rohaya Isa pada 1999.
Dengan pengalaman dalam pemasaran dan percetakan, Imran membantu mengembangkan Klinik Pergigian Rohaya di Sentul Raya, termasuk menggunakan pendekatan pemasaran secara terus dengan mengedarkan risalah klinik dari rumah ke rumah.
Dua tahun kemudian, pada 2001, beliau sekali lagi mengambil risiko apabila membuka cawangan Klinik Pergigian Rohaya, yang kini dikenali sebagai Rohaya Dental Services Sdn. Bhd., di Kota Damansara.
Ketika itu, kawasan berkenaan masih belum semeriah hari ini.
Namun, keputusan berani tersebut akhirnya menjadi antara asas penting kepada empayar perniagaan yang dibina bersama isterinya.
“Saya berniaga untuk tolong orang”
Bagi Imran, kejayaan dalam perniagaan bukan semata-mata tentang keuntungan.
Prinsipnya cukup mudah – perniagaan mesti membawa manfaat kepada orang lain.
“Niat saya berniaga hanya untuk tolong orang. Itu sebabnya saya cukup menjaga harga yang kami tawarkan kepada pelanggan.
“Di klinik gigi saya, rasanya lebih daripada 10 tahun kami tidak pernah naikkan harga rawatan walaupun selepas COVID, harga barang naik dan sebagainya. Kalau naik pun, mungkin terlalu minimum,” katanya.

Menurutnya, seseorang usahawan juga perlu mempunyai tanggungjawab sosial dan tidak hanya memikirkan soal keuntungan.
“Pada saya, dalam kita berbisnes ini, kita kena juga buat kebajikan kepada orang yang kurang berkemampuan. Kita tidak boleh fikir nak buat keuntungan semata-mata, kita kena ada social welfare juga kepada masyarakat.
“Kami turut menawarkan perkhidmatan kepada rumah orang-orang tua, anak-anak yatim dan sebagainya kerana ia sebahagian daripada tanggungjawab dan projek CSR kami.
“Macam restoran kami juga, boleh tengok harga kita macam harga warung sebenarnya, bukan harga restoran. Bagi saya, itu adalah satu nikmat dan juga satu kepuasan,” katanya.
Maharani Cafe lahir daripada kasih seorang anak
Di sebalik perkembangan perniagaannya, penubuhan Maharani Cafe pula mempunyai kisah yang cukup dekat dengan hati Imran.
Apabila ibunya disahkan menghidap kanser paru-paru tahap 4A dan diberi jangka hayat hanya sekitar enam bulan, Imran mencari jalan untuk memastikan ibunya terus aktif, ceria dan mempunyai semangat untuk menjalani kehidupan.
Lalu lahirlah Maharani Cafe.


Nama tersebut mengambil inspirasi daripada Bandar Maharani, Muar, selain menjadi simbolik kepada ibunya yang dianggap sebagai ratu dalam keluarganya.
Dengan berada di kafe, berinteraksi dengan pelanggan dan sibuk dengan pelbagai aktiviti, ibunya terus mempunyai sebab untuk bangun dan menjalani hari-hari seperti biasa.
Apa yang lebih mengagumkan, jangka hayat enam bulan itu akhirnya menjadi lapan tahun.
Kisah tersebut bukan sekadar tentang sebuah restoran, tetapi menjadi bukti bagaimana sebuah perniagaan boleh lahir daripada kasih sayang seorang anak kepada ibunya.
COVID mengajar Imran erti bertahan
Lebih sedekad mengendalikan Maharani Cafe, Imran sekali lagi diuji apabila pandemik COVID-19 melanda.
Ketika banyak restoran terpaksa menutup operasi, Maharani Cafe berjaya bertahan tanpa ditutup walau sehari.
Menurut Imran, pihak polis dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) banyak membantu mereka memahami dan melaksanakan prosedur operasi standard (SOP), termasuk aspek penjarakan serta pengurusan operasi ketika pandemik.
“Waktu COVID, kebanyakan syarikat ataupun restoran semua menutup perniagaan, tetapi alhamdulillah Maharani Cafe tidak ditutup walau sehari pun.
“Saya rasa kita telah melalui satu zaman yang memang tidak pernah dilalui sebelum ini. Waktu itu sangat mencabar, tetapi alhamdulillah kami belajar sesuatu yang positif daripada peristiwa tersebut.
“Waktu itu jualan Foodpanda dan GrabFood begitu melonjak, mungkin empat kali ganda daripada biasa,” katanya.
Daripada pengalaman tersebut, Imran melihat perubahan tabiat pengguna yang semakin selesa dengan urusan secara dalam talian sebagai satu peluang yang perlu dimanfaatkan.
“Selepas PKP ataupun COVID, orang kita sudah terbiasa dengan online. Jadi bagi saya, kita sekarang kena memberi penekanan kepada perniagaan online.
“Seperti surat khabar, TV dan sebagainya, semuanya bergerak ke arah online. Bagi saya, kita memang harus bersama-sama kerana ini adalah keperluan semasa,” katanya.
Dari klinik dan kafe, berkembang ke dunia pelancongan
Semangat untuk terus berkembang membawa Imran ke satu lagi bidang apabila beliau menubuhkan Kembara Khalifah Travel Sdn. Bhd. pada 2018.
Bermula dengan fokus kepada pakej umrah, syarikat itu kemudiannya berkembang kepada pelancongan antarabangsa termasuk destinasi di Asia seperti China, Hong Kong, Korea dan Vietnam, selain India, Kashmir serta rantau Timur Tengah.
“Alhamdulillah, kita telah pun memulakan produk utama kita iaitu umrah. Selepas COVID, kita telah mengembangkan lebih kepada outbound.
“Kita telah berkembang ke Asia seperti China, Hong Kong, Korea, kemudian Vietnam dan sekarang India, Kashmir serta Middle East,” katanya.
Imran yang baru pulang daripada perjalanan ke Morocco, Spain dan Portugal itu turut memberi bayangan mengenai perancangan untuk memperkenalkan pakej pelancongan yang lebih eksklusif dan mencabar.
“Insya-Allah kita ada pakej Aurora. Nantikan hujung tahun ini untuk menikmati pakej yang jarang-jarang sekali kami tawarkan.
“Kebanyakan syarikat tidak buat pakej sebegini sebab risikonya sangat tinggi dan ground dia juga agak susah,” katanya.


Tiga tahun kajian lahirkan Kembara Food
Pengalaman menguruskan jemaah ke luar negara turut membuka satu lagi idea perniagaan kepada Imran.
Melihat kesukaran jemaah mendapatkan makanan tempatan ketika berada di luar negara, beliau mula menjalankan penyelidikan mengenai teknologi pembungkusan makanan selama tiga tahun.
Hasilnya, lahirlah Kembara Food yang kini menawarkan lebih 20 produk makanan sedia dimakan dan telah berada di pasaran sejak dua tahun lalu.
Lebih menarik, produk Kembara Food Legacy menggunakan resipi yang berasal daripada dapur Maharani Cafe sendiri.
“Lama juga kami buat R&D bagi memastikan makanan menggunakan teknik retort itu selamat untuk dimakan dan tidak memudaratkan.
“Waktu mula-mula, kami beri kepada kawan-kawan dan guna untuk diri sendiri sahaja. Selepas tiga tahun saya lihat memang tidak berlaku apa-apa kemudaratan.
“Jadi saya yakin untuk menjualnya kepada jemaah atau sesiapa sahaja yang ingin membelinya,” katanya.
Pekerja dianggap rakan kongsi
Hari ini, Imran mengendalikan empat cabang perniagaan utama.
Namun, antara cabaran terbesar yang dihadapinya bukanlah soal modal atau persaingan, sebaliknya mendapatkan pekerja tempatan yang mempunyai komitmen dan jiwa keusahawanan.
Bagi mengatasi cabaran tersebut, beliau memilih pendekatan berbeza dengan melihat pekerjanya sebagai rakan kongsi dalam perniagaan.
“Sebagai majikan, saya lebih suka layan pekerja saya sebagai partner.
“Macam doktor-doktor yang berkhidmat dengan kami, kami tawarkan profit sharing. Kami ada peratus dan sebagainya.
“Saya cuba terapkan perkara sama kepada semua pekerja. Kami beri komisen kepada staf yang berjaya menjual produk dan sebagainya.
“Begitu juga dengan wakil ejen kita, saya memberikan profit sharing. Alhamdulillah, ada yang dapat pergi umrah berkali-kali kerana mereka membawa beberapa jemaah dan akhirnya mereka sendiri dapat pergi secara percuma.
“Bagi saya, ini adalah cara kita berkongsi rezeki bersama,” katanya.

Impian seterusnya: Dental Tourism
Walaupun sudah mempunyai beberapa cabang perniagaan, Imran masih belum mahu berhenti.
Antara impian terbarunya ialah memperkenalkan konsep Dental Tourism, iaitu menggabungkan pengalaman melancong ke Malaysia dengan rawatan pergigian.
Menurutnya, gabungan antara pengalaman menguruskan syarikat pelancongan dan klinik pergigian membuka ruang untuk membawa pelancong dari Eropah dan negara lain ke Malaysia bagi mendapatkan rawatan pergigian sambil menikmati destinasi pelancongan tempatan.
“Saya ada syarikat pelancongan Kembara Khalifah Travel dan saya juga ada klinik pergigian.
“Saya boleh mempromosikan pakej kepada pelancong dari Eropah dan sebagainya, di mana mereka boleh melancong ke Malaysia dan dalam masa yang sama mendapatkan rawatan pergigian.
“Doakanlah semoga saya dapat merealisasikan impian tersebut,” katanya.
Dalam masa sama, Imran turut merancang untuk membina makmal pergigian sendiri bagi memendekkan tempoh menunggu pelanggan.
“Bila ada makmal sendiri, ia dapat jimatkan masa pelanggan. Saya tidak perlu hantar ke makmal, kemudian ambil balik semula dan sebagainya.
“Mungkin ada pelanggan nak buat gigi palsu pada waktu pagi, petang mereka dah boleh memakainya,” katanya.
Bapa kepada dua cahaya mata lelaki, Muhammad Irfan, 23, dan Muhammad Izani, 19, itu membuktikan bahawa kejayaan tidak semestinya bermula dengan modal besar atau peluang yang sempurna.
Kadangkala, ia bermula dengan sesuatu yang jauh lebih sederhana – sebuah basikal, beberapa hasil kampung untuk dijual dan seorang anak kecil yang mahu berdikari.
Daripada mengayuh basikal menjual buah-buahan di kampung, Imran kini menguruskan rangkaian perniagaan dalam bidang pergigian, makanan, restoran dan pelancongan.
Namun, selepas segala pencapaian yang diraih, satu prinsip masih kekal menjadi pegangan beliau:
perniagaan bukan sekadar tentang berapa banyak yang boleh diperoleh, tetapi sejauh mana rezeki yang diperoleh itu boleh dikongsi dan memberi manfaat kepada orang lain..


