Oleh: Khadijah Ibrahim
SEWAKTU menyertai program realiti Talk To My Manager (TTMM) musim pertama pada 2025, Auddra Zulkifli atau Odda, 17, bukanlah juara. Beliau bersama pengurusnya, Sharifah Shahirah atau Shiera menduduki tempat ketiga daripada enam finalis.
Tanpa memegang gelaran juara, Odda tetap berpeluang menjadi artis rakaman. Lagu pertama yang Odda rakam adalah “Dentam Dentum Raya” kolaborasi dengan Ammar Haikal dan Hadie Elfardie yang menduduki tempat keempat dan kelima dalam TTMM.
Malah penampilan Odda turut mendapat perhatian kumpulan Floor 88 untuk bergandingan dengan mereka menerusi lagu “Yeye Raya”.
Siapa sangka rezeki Odda dalam bidang seni suara tidak perlu menunggu lama kerana selepas program tersebut beliau dilamar untuk menjadi artis di bawah naungan syarikat SN Legacy Sdn. Bhd.

Terkini, Odda baru saja melancarkan single solo pertamanya berjudul “Gelanggang Rasa” yang menampilkan irama pop kontemporari dengan suntikan elemen R&B yang sesuai dengan identiti muzik Odda.
“Gelanggang Rasa” merupakan hasil ciptaan Micu Ellis dan Mingaling yang juga bertindak sebagai penerbit, manakala lirik ditulis oleh Micu Elis bersama Aril Armani.
Lagu ini menggambarkan kebebasan serta keyakinan untuk mencari diri dan melepaskan segala bebanan yang ada.
“Apabila pertama kali mendengar demo “Gelanggang Rasa”, saya tahu ini adalah jiwa saya. Lagu ini bercerita tentang bagaimana kita semua berjuang dengan perasaan sendiri dalam menempuh fasa kehidupan.
“Sebagai pertaruhan single solo pertama, saya meletakkan sepenuh hati dan jiwa dalam proses rakaman. Saya berharap lagu ini dapat menjadi titik permulaan yang baik untuk saya menapak lebih jauh dalam industri muzik, sekali gus menyentuh hati sesiapa saja yang mendengarnya,” Odda.
Sementara itu, Datuk Seri Siti Nurhaliza sebagai pemilik SN Legacy berkata, pihaknya memberi kebebasan kepada artis naungannya untuk memilih sendiri karya yang sesuai dengan jiwa artis terbabit.

“Kita memang dah study muzik apa yang paling sesuai dengan karakter dan suara Odda dan apa yang dia minat. Waktu TTMM lagi Odda ni lebih kepada lagu-lagu yang pop dan ala-ala K-pop. Itu yang kena dengan jiwanya.
“Sebab itulah kita pilih konsep macam ni supaya nampak apa yang dia suka. Alhamdulillah, saya sebagai orang dalam bidang seni, saya melihat memang kenalah dengan suara dan perwatakannya.
“Saya harap peminat boleh menerima macam mana penampilan atau muzik single “Gelanggang Rasa” daripada Odda ini. Lagu seperti ini sesuai untuk Gen Z. Odda ada market dan peminat tersendiri.
“Saya bangga dengan Odda dan dia pun sangat bekerja keras dengan usia muda ini. Dia bukan buat satu kerja menyanyi saja tapi dia juga berlakon dan menjadi pengacara. Memang jadualnya susah saya nak dapat. Saya ingat saya jadual saya saja orang susah nak dapat tapi jadual dia pun susah.
“Sebenarnya kita rancang untuk rakaman lebih awal tapi dia banyak job. Baguslah, rezekinya. Akhirnya dapat juga buat rakaman. Odda memang senang dididik, senang menerima nasihat dan biasalah budak, ada dia punya perangai. Saya layan saja dan tak boleh paksa. Kalau kita paksa nanti mereka tak boleh bagi yang terbaik,” cerita Siti tentang Odda yang merupakan artis kedua SN Legacy selepas Umai.
Meskipun Siti ada kuasa menentukan corak muzik untuk Odda, namun beliau lebih suka bersikap terbuka bagi memastikan semuanya berjalan lancar.

“Untuk pemilihan single ini, kita tanya dia dulu, suka atau tak suka. Apa-apa pun artis kena rasa lagu itu kena dengan jiwanya atau tidak. Bila Odda kata okey dengan lagu tu, saya dengar dan komen. Kalau ada kekurangan kita buat penambahbaikan. Sebenarnya dia sudah rakam sebuah lagi lagu, cuma kita tak keluarkan lagi dan fokus pada lagu ini dulu.
“Selain Odda dan Umai, saya memang mencari artis baharu untuk SN Legacy tapi bukan main ambil saja. Bagi saya yang penting adalah disiplin, macam mana saya susah dulu. Saya nak mereka menjadi orang yang sabar dan tabah.
“Sebab kadang-kadang anak-anak muda mudah patah semangat ataupun tak boleh diajar. Biarlah dia sendiri minat. Macam Odda, dia sendiri minat sebab tu dia boleh buat semua kerja. Dia dah melihat ibu ayahnya daripada awal sebab keluarganya orang industri dan dia sudah memahami. Berbeza dengan orang yang hanya suka-suka dan tidak serius.
“Saya nampak kebolehan yang ada pada Odda sejak di TTMM lagi. Ada orang memang ada pakej suara yang hebat tapi Odda ada kelebihan tersendiri. Kita pula dalam bisnes takkan kita nak ambil orang yang kita rasa dah lengkap tapi tak boleh jual.
“Kita fikir juga sebab bisnes is bisnes. Odda ni dia kena menyanyi ikut kelebihan yang dia ada, kita tak boleh paksa dia nyanyi lagu slow atau ballad. Buat masa ini kekuatannya bukan lagu ballad, sebab tu Odda kena konsep begini kerana di situ kelebihannya.
“Dia boleh menari dengan baik dan menyanyi lagu yang simple dan catchy. Cuma dia perlu banyak lagi latihan untuk persembahan yang lebih besar. Sebab itu saya pilih Odda kerana pada saya dia layak,” ulas Siti kenapa Odda menjadi pilihannya.


