Oleh: Khadijah Ibrahim
MESKIPUN Amylea Azizan, 40, lebih banyak bergerak di belakang tabir sebagai komposer dan penulis lirik, bakatnya sebagai penyanyi tidak pernah padam.
Bekas peserta Akademi Fantasia musim ketiga pada 2005 itu juga mempunyai beberapa single popular dan pernah memiliki album berjudul “Selepas 3” yang diterbitkan pada 2009.
Seperti penyanyi lain Amylea juga menyiimpan impian untuk menjayakan showcase atau konsert sendiri. Untuk permulaan, pada 21 Jun 2026 beliau bergabung dengan kumpulan Quarto menjayakan Amylea X Quarto Live Showcase 1.0 di One City Subang Jaya.

Memandangkan sambutan yang menggalakkan daripada peminat, maka sekali lagi pemenang tempat ketiga AF3 itu bergandingan dengan Quarto untuk menjayakan Amylea X Quarto Live Showcase Showcase 2.0, di Saudagar Heritage Kitchen, Pejabat Pos Besar KL, Bangunan Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur, pada 25 Julai baru-baru ini.
“Alhamdulillah, selepas menjayakan showcase pertama, kami mendapat maklum balas positif daripada peminat. Atas sokongan dan komen positif daripada mereka, kami bersedia meneruskan persembahan tersebut.
“Untuk showcase kedua ini, ia bukan sekadar ulangan kepada persembahan terdahulu, tetapi merupakan penghargaan kepada peminat yang sentiasa memberikan sokongan. Sokongan itu sangat bermakna buat kami.
“Amylea X Quarto Live Showcase 2.0 lahir daripada kasih sayang peminat terhadap muzik kami. Kali ini kami hadir dengan susunan muzik yang lebih segar, lebih intim dan sarat dengan emosi.

“Saya berharap setiap yang hadir akan membawa pulang sebuah pengalaman yang tidak dapat dilupakan,” kata Amylea.
Rata-rata yang hadir ke showcase 2.0 yang berdurasi 90 minit itu tampak terhibur dan berpuas hati kerana penonton menghayati lebih 10 buah lagu yang dipersembahkan dalam susunan muzik eksklusif, menggabungkan kekuatan vokal Amylea dengan sentuhan muzik Quarto yang cukup sinonim dengan persembahan elegan dan berkualiti.
Quarto adalah sebuah ensembel muzik kontemporari yang dianggotai oleh Migo (Gitar), Hadi (Biola), Qura (Biola), Jill (Cello) dan Adam (Jurutera Audio).
Di bawah pengurusan Migo’s Garage, Quarto dikenali dengan gabungan instrumen bertali, gitar klasik dan elemen moden yang menghasilkan identiti muzik tersendiri, menggabungkan pengaruh Pop, Muzik Klasik dan Melayu Asli dalam satu persembahan kontemporari yang segar.

Manakala, Amylea yang sudah 21 tahun terlibat dalam industri muzik, terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara penyanyi, komposer dan penulis lirik yang dihormati di Malaysia.
Sepanjang kerjayanya, beliau telah menghasilkan lebih 100 buah lagu, bukan sahaja untuk nyanyiannya sendiri malah untuk ramai artis popular tanah air.
Kerana konsisten menghasilkan karya yang menyentuh emosi dan dekat di hati pendengar, Amylea sering digelar oleh peminat sebagai “Melly Goeslaw Malaysia”.
Pada malam istimewa itu, Amylea mempersembahkan lagu-lagu yang menjadi kegemaran peminat seperti Kendati, Bukan Cinta, Tak Pernah Hilang dan Satu Cinta. Amylea juga turut mendendangkan karya terbaharu beliau yang bertajuk Genasara dan Binasa yang menjadi runut bunyi Sujud Terakhir Encik Norman.
Selain itu, Amylea turut membawa penonton menyelami perjalanan beliau sebagai pencipta lagu menerusi karya-karya yang telah dipopularkan oleh penyanyi lain, antaranya Akan Tiba (Alif Satar), Satu Cinta (Ernie Zakri) dan Seribu Tahun Lagi (Imran Ajmain).

Gabungan vokal Amylea yang penuh penghayatan bersama susunan muzik Quarto menjadikan setiap lagu dipersembahkan dalam dimensi baharu yang lebih elegan dan dekat di hati penonton.
Dengan latar suasana warisan di tengah-tengah ibu kota, Amylea X Quarto Live Showcase 2.0 bukan sekadar sebuah persembahan biasa, tetapi sebuah malam yang meraikan karya, persahabatan dan kecintaan terhadap muzik tempatan.
Sebagai kejutan istimewa, turut menyaksikan penampilan khas usahawan kosmetik terkenal Datuk Sri Alha Alfa, yang bergandingan bersama Amylea menerusi lagu Pamit dan Kita Bikin Romantis.
Selain persembahan utama, malam tersebut turut menyaksikan pra-pelancaran CLUB AMY, sebuah komuniti rasmi yang diwujudkan sebagai platform untuk menghimpunkan peminat setia Amylea.
Penubuhan CLUB AMY ini menjadi simbol penghargaan terhadap sokongan yang diberikan sepanjang lebih dua dekad perjalanan seni beliau, di samping membuka ruang kepada pelbagai aktiviti eksklusif bersama peminat pada masa hadapan.


