Oleh : Syed Yusof Wafa
Dari keenakan Iga Bakar dan Sate Kambing Madura, hinggalah kelembutan Pukis serta kesegaran manisan dan minuman berasaskan avokado, penggemar makanan Indonesia kini mempunyai satu lagi destinasi baharu untuk meneroka kekayaan rasa Nusantara.
Menghimpunkan pelbagai sajian ikonik dan hidangan popular dari segenap pelusuk Indonesia dalam satu lokasi, AVOCake Pukis & Delight tampil sebagai restoran baharu berkonsepkan family dining yang membawa pengalaman kulinari Indonesia lebih dekat kepada masyarakat Malaysia.
Bukan sekadar menawarkan hidangan yang popular, restoran ini turut mengetengahkan kepelbagaian rasa, tradisi dan keunikan makanan dari pelbagai daerah di Indonesia, sekali gus memberi peluang kepada pelanggan menikmati pengalaman gastronomi Nusantara tanpa perlu merentas sempadan.
Antara menu yang menjadi pilihan termasuk Iga Bakar, Nasi Iga Goreng, Sate Kambing Madura, Nasi Bakar Ikan, Nasi Bakar Ayam, Sempol Ayam, Sempol Daging, Set Sup Janda, Sup Konro, Mi Ayam Cireng, Cilok, Tempe Mendoan, Batagor, Tauhu Goreng Crispy, Pukis, Bakwan dan Somai, selain pelbagai pilihan manisan serta minuman berasaskan buah avokado yang menjadi antara tarikan istimewa restoran berkenaan.
Tujuh Tahun Menyelami Kekayaan Kuliner Indonesia
Di sebalik penubuhan AVOCake Pukis & Delight ialah minat mendalam pengasasnya, Dr. Shamsiah Yaakob, terhadap warisan makanan Indonesia.
Pengalaman selama tujuh tahun menetap di Indonesia ketika berkhidmat sebagai pensyarah di Universitas Diponegoro, Semarang, selain penglibatan bersama beberapa syarikat swasta di negara itu, membuka ruang kepada beliau untuk mengenali dengan lebih dekat pelbagai jenis makanan tempatan serta kaedah penyediaannya.
Lebih menarik, pengetahuan tersebut tidak sekadar diperoleh melalui pengalaman menikmati makanan, sebaliknya Dr. Shamsiah mengambil peluang untuk mempelajari sendiri cara menyediakan pelbagai sajian Indonesia.
“Indonesia mempunyai khazanah kulinari yang sangat luas dan setiap daerah mempunyai keistimewaan tersendiri. Melalui AVOCake Pukis & Delight, kami mahu membawa hidangan yang dekat dengan jiwa masyarakat Indonesia untuk dinikmati pelanggan di Malaysia,” katanya.
Menurut beliau, minat terhadap dunia masakan turut menjadi pencetus kepada idea untuk menjadikan pengalaman yang dikumpul sepanjang berada di Indonesia sebagai sebuah perniagaan.
“Kebetulan saya memang suka memasak. Jadi, sepanjang berada di Indonesia, saya mengambil peluang untuk mempelajari cara menyediakan pelbagai jenis makanan tempatan. Pada tahun 2025, saya terfikir, mengapa tidak saya buka perniagaan makanan dan membawa cita rasa Indonesia ke Malaysia?
“Pada masa yang sama, saya juga mempunyai impian untuk suatu hari nanti membawa makanan Malaysia pula ke Indonesia,” katanya.

Bermula Kecil, Kini Melangkah ke Kuala Lumpur
Impian tersebut bermula dengan langkah sederhana apabila sebuah outlet kecil AVOCake Pukis & Delight dibuka di UTC Ampangan, Seremban.
Sambutan menggalakkan daripada pelanggan kemudiannya memberi keyakinan untuk mengembangkan perniagaan dengan pembukaan sebuah lagi restoran di Sikamat, Seremban, pada penghujung Disember tahun lalu.
Daripada situlah perjalanan AVOCake Pukis & Delight menuju Kuala Lumpur bermula.
Pembukaan restoran di ibu negara tercetus hasil kunjungan Ibu Ratieh Sanggarwaty Zen, Presiden Komunitas Ibu Cerdas Indonesia (KICI), bersama kumpulannya ke restoran AVOCake Pukis & Delight di Sikamat.
Menurut Dr. Shamsiah, pertemuan tersebut membuka ruang kepada idea untuk membawa konsep berkenaan ke Kuala Lumpur.
“Ibu Ratieh bersama kumpulannya pernah berkunjung ke restoran kami di Sikamat dan bertanya mengapa saya tidak membuka restoran di Kuala Lumpur. Daripada pertemuan dan perbualan itu, idea tersebut mula berkembang dan akhirnya, bersama Ibu Ratieh serta beberapa rakan beliau, terhasillah AVOCake Pukis & Delight di Kuala Lumpur,” katanya.

Dari Makanan Popular ke Pengalaman Gastronomi
Pengarah Bersama AVOCake Pukis & Delight, Mohd Azri Ahmad Kamil, berkata pemilihan menu dilakukan dengan teliti bagi memastikan pelanggan bukan sahaja dapat menikmati hidangan yang popular di Indonesia, malah berpeluang mengenali sajian yang mempunyai keunikan tersendiri dalam landskap kulinari semasa.
“Kami melihat perkembangan makanan Indonesia yang semakin mendapat perhatian di rantau ini. Banyak hidangan dari Indonesia menjadi viral kerana keunikan rasa, persembahan dan kisah di sebalik makanan tersebut.

“Kami mahu membawa pengalaman itu ke Sentul untuk dinikmati bersama pelanggan,” katanya.
Bagi AVOCake Pukis & Delight, makanan bukan sekadar tentang rasa di atas pinggan. Restoran ini turut menyasarkan untuk menjadi ruang santapan yang meraikan budaya, komuniti dan pengalaman gastronomi yang berkualiti.
Majlis perasmian dan pelancaran restoran itu turut dimeriahkan dengan kehadiran beberapa rakan selebriti termasuk Ellie Suriaty, Saiful Apek, Raja Azmi dan Rosnan Rahman yang juga merupakan pelanggan tetap cafe terkenal ini.

Restoran berkenaan turut mendapat sokongan daripada selebriti dan ahli politik Indonesia, Ratieh Sanggarwaty Zen, yang merupakan antara pelabur dan pembiaya restoran bersama rakan-rakan pelabur lain iaitu Andi Nilawati Bau Rifai, Soraya Roshanty Yoesoef serta Eny Martuti Kamidjo.
Dengan membawa semangat “rasa Indonesia, pengalaman istimewa”, AVOCake Pukis & Delight berharap dapat menjadi antara destinasi pilihan pencinta makanan di Kuala Lumpur yang ingin meneroka kepelbagaian dan keunikan kulinari Nusantara.
Daripada sebuah idea yang tercetus hasil pengalaman tujuh tahun di Indonesia, kepada sebuah outlet kecil di Seremban dan kini melangkah ke Kuala Lumpur, perjalanan AVOCake Pukis & Delight memperlihatkan bagaimana minat terhadap makanan boleh berkembang menjadi sebuah usaha untuk menghubungkan dua budaya melalui satu perkara yang dekat di hati semua iaitu “makanan” .






