Oleh: Khadijah Ibrahim
RAMAI yang bercita-cita ingin menjadi influencer atau pempengaruh kerana mahu popular seperti selebriti. Seseorang pempengaruh boleh menjadi popular jika beliau berjaya menghasilkan kandungan yang menarik dan memberi nilai berguna kepada pengikut.
Antara peraturan yang perlu dipatuhi adalah menghasilkan video atau gambar yang menghiburkan, memberi inspirasi serta mendidik untuk tontonan warga maya.
Selain itu, perlu konsisten untuk memuat naik hantaran pada waktu yang tetap supaya pengikut sentiasa menanti kemas kini anda. Anda juga perlu membalas komen dan mesra dengan pengikut untuk kuatkan hubungan.
Setiap pekerjaan yang kita lakukan perlu dilaksanakan dengan bersungguh dan bukan sekadar ‘hangat-hangat tahi ayam’. Jika anda mencari ilmu untuk menjadi pempengaruh seperti Khairul Aming, semua itu bakal diperolehi jika anda mendaftar diri dengan KamiSempoi Premier Academy, yang ditubuhkan khusus bagi melatih dan membangunkan generasi baharu profesional live streamer.
Pelancaran akademi ini merupakan sebahagian daripada usaha KamiSempoi International Agency (KSIA) untuk membawa pembangunan live streamer ke tahap yang lebih tersusun dan profesional, merangkumi aspek latihan, kemahiran, penampilan, komunikasi, kandungan serta kualiti produksi LIVE.
Akademi tersebut akan beroperasi di pejabat KamiSempoi di Quill City Mall, Kuala Lumpur, dan menjadi pusat latihan serta pembangunan bagi individu yang serius untuk mendalami bidang live streaming secara profesional.

Ketua Pegawai Eksekutif KSIA, Pakcik Chin Swee atau To Chin Swee berkata, pengambilan ke KamiSempoi Premier Academy akan melalui proses temu duga.
“Setiap orang yang ingin sertai KamiSempoi Premier Academy akan ditemu duga terlebih dahulu bagi memastikan peserta yang dipilih benar-benar mempunyai minat, kesungguhan dan komitmen untuk mengikuti program tersebut.
“Calon turut akan dinilai berdasarkan kebolehan berkomunikasi serta potensi mereka untuk dibangunkan sebagai live streamer profesional,” katanya.
Tambah Pakcik Chin Swee lagi, pihaknya tidak menilai peserta berdasarkan latar belakang tapi lebih kepada mereka yang benar-benar mahu menimba ilmu.
“Kami tidak kisah mereka datang daripada background apa. Penyanyi, pengacara, pelajar, suri rumah atau orang biasa sekalipun.
“Yang penting mereka mahu belajar, mahu bekerja dan betul-betul serius untuk jadikan live streaming sebagai kerjaya.
“Kalau dia pandai bercakap, pandai berkomunikasi dan boleh menghiburkan orang, itu yang kami cari,” katanya.
KamiSempoi Premier Academy akan mempunyai kurikulum khusus dengan tempoh pembangunan selama satu tahun.
Kurikulum akademi akan merangkumi pelbagai aspek termasuk, latihan teknikal, pembangunan kandungan, look & feel seorang hos, ketrampilan diri dan penampilan, persembahan dan penyampaian, komunikasi, live setup, interaksi dan hiburan kepada penonton serta pembangunan prestasi LIVE.
Antara penanda aras yang ditetapkan ialah pencapaian 1 juta diamond dalam tempoh satu tahun sebagai salah satu syarat untuk menamatkan program.
Bagaimanapun, peserta yang mempunyai prestasi dan perkembangan sangat baik berpotensi mencapai sasaran lebih awal, dengan tempoh sekitar enam bulan dilihat sebagai antara perkembangan terpantas yang boleh dicapai oleh seseorang hos.
Pakcik Chin Swee berkata, peserta bukan sekadar datang untuk belajar, sebaliknya perlu membuktikan kemampuan mereka melalui pencapaian sebenar.
“Kami ada kurikulum. Mereka perlu belajar dan bekerja pada masa yang sama. Kalau ada yang boleh berkembang dalam enam bulan dan capai sasaran, itu sangat bagus. Tetapi program ini secara keseluruhannya adalah untuk tempoh satu tahun.
“Kalau mereka tidak mencapai sasaran, mereka perlu melalui penilaian dan latihan seterusnya. Kami mahu mereka benar-benar layak dan bersedia sebelum graduate,” jelasnya.
Katanya lagi, penubuhan KamiSempoi Premier Academy juga merupakan usaha KSIA untuk membuka lebih banyak peluang kerjaya dalam ekonomi digital kepada individu daripada pelbagai latar belakang.
“KSIA percaya bidang live streaming boleh menjadi pilihan kerjaya kepada sesiapa sahaja yang mempunyai kesungguhan dan kemahuan untuk belajar, tanpa mengira sama ada mereka mempunyai pengalaman dalam industri hiburan.
“Kami mahu jadikan KSIA sebagai satu pusat sehenti untuk mereka belajar, bekerja dan membina kerjaya sebagai profesional live streamer,” katanya.

Sementara itu, pada 28 Ogos ini, bertempat di Glitz Gala Ballroom, Pusat Perdagangan Mines 2, Mines Wellness City, Seri Kembangan akan berlangsung KamiSempoi Golden Award 2025 buat tahun keempat berturut-turut.
Malam yang ditunggu-tunggu oleh pempengaruh, merupakan acara bagi mengiktiraf, menghargai dan meraikan pencapaian para pencipta kandungan digital serta hos TikTok LIVE dari seluruh negara.
Penganjuran Kami Sempoi Golden Award 2025 yang turut mendapat tajaan daripada M Route 19 sebagai penaja utama dan MK Media Studios sebagai penaja bersama mencerminkan perkembangan berterusan KSIA sebagai salah satu pemain utama dalam industri TikTok LIVE Malaysia dan Asia Tenggara.
Daripada sekadar meraikan pencapaian hos, acara ini turut menjadi platform untuk KSIA memperlihatkan hala tuju baharunya dalam membangunkan bakat, meningkatkan standard produksi serta membuka lebih banyak peluang kerjaya dalam industri live streaming.
Dengan komuniti yang kini mencecah kira-kira 4,300 live host di Malaysia, 1,500 di Indonesia dan 200 di Singapura, KSIA melihat potensi industri tersebut masih sangat besar.
Pakcik Chin Swee berkata, matlamat akhirnya adalah untuk melahirkan live streamer Malaysia yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.
“Kami mahu orang melihat live streaming sebagai satu kerjaya profesional. Kami mahu lahirkan generasi baharu yang bukan sahaja boleh mendapatkan tontonan, tetapi boleh menghasilkan sebuah live show yang berkualiti dan mempunyai standard produksi yang tinggi.
“Ini bukan sesuatu yang boleh berlaku dalam satu malam. Tetapi kita perlu mula bergerak sekarang. Kami percaya masa depan live streaming Malaysia sangat besar,” katanya.
Menurut Pakcik Chin Swee, penganjuran KamiSempoi Golden Award 2025 bukan sekadar acara untuk memberikan pengiktirafan, tetapi menjadi platform bagi meraikan usaha dan pencapaian semua pihak yang bersama-sama membangunkan ekosistem KSIA.
“KamiSempoi Golden Award, kita adakan untuk menghargai semua pihak dalam platform kami. Bukan sahaja live host, tetapi juga sub-agency, gifter dan rakan penaja yang memainkan peranan masing-masing.
“Kami mahu mereka tahu bahawa kerja keras dan pencapaian mereka dihargai. Pada masa sama, anugerah ini juga menjadi motivasi kepada lebih ramai live host untuk meningkatkan prestasi mereka,” ujarnya.
Penganjuran tahun ini menyaksikan sebanyak 20 kategori pengiktirafan disediakan bagi meraikan pencapaian pelbagai pihak dalam ekosistem KamiSempoi.
Daripada jumlah tersebut, 13 kategori dikhususkan kepada Live Host, tiga kategori kepada Sub Agency dan Talent Manager, satu kategori Gifter, serta tiga pengiktirafan utama mengikut pasaran iaitu Top Host Malaysia, Top Host Singapore dan Top Host Indonesia.
Selain kategori yang dipertanding, penghargaan khas turut diberikan kepada penaja utama sebagai tanda apresiasi atas sokongan dan kerjasama terhadap penganjuran acara ini.
Pengenalan kategori mengikut negara turut mencerminkan perkembangan KSIA di peringkat serantau, dengan komuniti yang kini merangkumi kira-kira 4,300 live host di Malaysia, 1,500 di Indonesia dan 200 di Singapura.
Menurut Pakcik Chin Swee, pertumbuhan komuniti ini menunjukkan bahawa industri live streaming semakin berkembang dan mendapat tempat sebagai sebahagian daripada ekonomi digital, sekali gus membuka lebih banyak ruang kepada pencipta kandungan untuk membina komuniti dan mengembangkan potensi mereka menerusi platform digital.
Melalui KamiSempoi Golden Award 2025, KSIA meraikan kejayaan yang telah dicapai, manakala menerusi KamiSempoi Premier Academy, KSIA bersedia untuk membina generasi seterusnya lebih profesional, lebih berkemahiran dan lebih bersedia untuk bersaing dalam landskap live streaming global.


