15 karya pelukis ternama warnai pameran Masters of Reality: Seni Realisme Kembali Mengajak Manusia ‘Berhenti Sejenak’ Dalam Era AI

Oleh : Nafsiah Jani

Ketika dunia semakin pantas bergerak seiring ledakan teknologi kecerdasan buatan (AI), pameran seni “Masters of Reality” tampil membawa mesej yang cukup berbeza – mengajak manusia berhenti sejenak, melihat dengan lebih teliti dan kembali menghargai nilai kemanusiaan.

Pameran yang dianjurkan bersempena sambutan Merdeka dan Hari Malaysia 2026 itu menghimpunkan 15 pelukis realisme berpengalaman dan dihormati. Mereka tampil memaparkan karya tentang kekuatan pandangan manusia (the human gaze), ketelitian pemerhatian serta pengalaman sebenar seorang seniman dalam menghayati objek, wajah, suasana dan kehidupan.

Pameran Masters of Reality Art Exhibition ini telah berlangsung dari 19 Ogos hingga 19 September 2026 di KL City Art Gallery, 8-G4-C4, Publika, Jalan Dutamas 1, Kuala Lumpur, dari jam 11.30 pagi hingga 6.30 petang. Majlis perasmian dilakukan Tan Sri Dato’ Sri Dr. Sulaiman Mahbob, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Malaysian Institute of Economic Research (MIER).

Konsep pameran itu berteraskan idea pandangan manusia, sesuatu yang semakin penting dalam dunia yang dipenuhi kandungan pantas, media sosial, telefon pintar dan teknologi AI.

Antara lukisan yang menanti pengunjung di pameran Master of Reality di KL City Art Gallery Publika.

Pengarah dan Kurator KL City Art Gallery, Maizon Omar berkata, kehidupan moden menyebabkan manusia semakin terbiasa bergerak pantas sehingga tidak lagi benar-benar memberikan perhatian kepada perkara yang berada di depan mata.

“Kita bangun dan terus mencapai telefon. Semuanya bergerak dengan pantas dan berterusan sehingga kita semakin kurang memberikan perhatian kepada apa yang kita lihat.

“Melalui Masters of Reality, kita mahu membawa kembali pandangan manusia. Apabila kita melihat seseorang atau sesuatu objek, kita memberikan perhatian, menghormatinya dan cuba memahami kepentingannya,” katanya.

Menurut Maizon, kemunculan AI turut menjadikan genre realisme kembali mendapat perhatian di peringkat global apabila masyarakat mula menghargai semula karya yang mempunyai sentuhan dan pengalaman manusia.

AI hari ini mampu menghasilkan imej dalam tempoh yang amat singkat, malah menghasilkan gambaran kompleks berdasarkan arahan tertentu. Namun, teknologi itu tidak semestinya mempunyai sensitiviti, pengalaman hidup dan emosi manusia yang menjadi asas kepada penghasilan sesebuah karya seni.

Johan Marjonid bersama dua karyanya yang dipamerkan di pameran Master of Reality.

“Ini bukan revolusi menentang teknologi dan bukan juga pameran yang menolak AI. Kita perlu hidup bersama teknologi kerana AI boleh melakukan banyak perkara.

“Tetapi kita tidak boleh membiarkan teknologi atau AI mengambil alih perasaan, pandangan dan cara kita melihat dunia. Kita perlu kekal sebagai manusia,” katanya.

Pameran berkenaan turut mengangkat kepentingan memperlahankan rentak kehidupan dalam apa yang disifatkan sebagai zaman yang sentiasa tergesa-gesa.

Menurut Maizon, budaya bergerak terlalu pantas bukan sahaja mengubah cara manusia melihat dunia, malah boleh menjejaskan kesejahteraan mental apabila seseorang sentiasa dibanjiri maklumat, imej dan gangguan digital.

“Seni ini mampu menjadi ruang untuk manusia berhenti seketika, menarik nafas dan memberikan perhatian kepada sesuatu secara lebih mendalam. Ambil masa anda. Lihat sesuatu dengan lebih teliti. Ia baik untuk kesihatan mental. Kita perlu memperluaskan sensitiviti dan horizon kita, bukannya membiarkan perkara yang pantas mengambil perhatian kita setiap saat.

“Untuk menghasilkan karya seperti ini memerlukan ribuan jam melihat dan bekerja. Setiap warna dan setiap perincian perlu diperhatikan. Kita memberikan semula semangat kemanusiaan, sentuhan manusia dan tangan manusia kepada karya seni,” jelasnya.

Keistimewaan karya yang dipamerkan juga terletak pada proses penghasilannya yang menuntut masa, kesabaran dan pemerhatian luar biasa. Sesebuah lukisan realisme bukan dihasilkan dalam sekelip mata. Setiap warna, bentuk, cahaya, bayang-bayang dan perincian memerlukan pemerhatian berulang serta ribuan jam kerja.

Pelukis -pelukis bergambar kenangan bersama tetamu VVIP selepas majlis perasmian Masters of Reality Art Exhibition di KL City Art Gallery, Publika, Kuala Lumpur.

Pameran itu turut mengetengahkan kehidupan dan budaya masyarakat Malaysia melalui karya yang dekat dengan identiti tempatan.Di situlah terletaknya nilai sentuhan manusia yang menjadi teras kepada Masters of Reality.

Pameran itu menampilkan karya daripada 15 seniman, iaitu Abd Rasid Yusof, Ahmad Shaiful Akmal Yahya, Angelo Chia Seng Chai, Anisha Hisham, Fauzi Ab. Rahim, Johan Marjonid, Mohamad Hj. Hassan, Mohamed Razif, Rasila Azman, Ronnie Ahmad Rusdi Mohamad, Ryzalman Misran, Shafie Hassan, Zaharuddin Sarbini, Zaim Durulaman dan Zakaria Ali.

Pemilihan 15 seniman untuk pameran itu dibuat berdasarkan reputasi, pengalaman serta pengiktirafan mereka dalam genre realisme.

Menurut Maizon, kesemua artis yang terlibat merupakan nama yang terkenal dan dihormati, selain mempunyai kepakaran serta disiplin tinggi dalam menghasilkan karya realisme.

Antara perkara yang mahu diketengahkan ialah cara rakyat Malaysia menjalani kehidupan, adat, persekitaran serta kehidupan seharian yang mungkin kelihatan biasa, tetapi mempunyai nilai dan cerita tersendiri apabila dilihat melalui mata seorang seniman.

Pendekatan itu menjadikan Masters of Reality bukan sekadar pameran lukisan, sebaliknya satu bentuk dokumentasi visual terhadap realiti dan kehidupan manusia.

Dalam perkembangan AI yang semakin pantas, persoalan mengenai masa depan seni dan kreativiti turut menjadi antara isu utama yang diketengahkan.

Gambar kenangan…pelukis bersama tetamu yang hadir bagi memeriahkan majlis perasmian Masters of Reality Art Exhibition di KL City Art Gallery, Publika, Kuala Lumpur.

Maizon mengakui tiada siapa mampu meramalkan secara tepat bagaimana perkembangan AI akan membentuk kehidupan manusia pada masa hadapan kerana teknologi tersebut berubah hampir setiap masa.

“Namun, kebimbangan utama bukan semata-mata mengenai teknologi menggantikan manusia, sebaliknya kemungkinan manusia sendiri menjadi terlalu bergantung kepada teknologi sehingga kehilangan keupayaan untuk berfikir secara kreatif dan kritikal.

“AI boleh membuat banyak perkara menjadi mudah. Tetapi apabila semuanya menjadi terlalu mudah, ada risiko fikiran kreatif dan pemikiran kritikal kita semakin berkurangan.

“Mesin boleh berfikir dengan sangat pantas dan memberikan jawapan pada bila-bila masa. Tetapi kita masih perlu menghargai kemampuan manusia untuk melihat, merasai, mengalami dan memahami sesuatu,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa generasi muda perlu diberikan ruang untuk mengenali pengalaman sebelum era AI agar mereka memahami perbezaan antara karya yang lahir daripada pengalaman manusia dengan imej yang dihasilkan secara sintetik.

Dalam konteks itu, Masters of Reality menjadi satu peringatan bahawa kemajuan teknologi tidak seharusnya menyebabkan manusia kehilangan hubungan dengan realiti di sekeliling mereka.

Pameran tersebut dibuka kepada semua peringkat umur, termasuk keluarga, dan orang ramai digalakkan meluangkan masa untuk benar-benar mengamati karya, memahami perincian serta merasai pengalaman yang cuba disampaikan oleh setiap seniman.

Dengan tempoh pameran selama sebulan, Masters of Reality dilihat sebagai peluang untuk masyarakat memperlahankan langkah seketika – bukan untuk melarikan diri daripada teknologi, tetapi memastikan di sebalik kecanggihan AI, manusia masih mampu melihat dunia dengan mata, hati dan pengalaman mereka sendiri.

Kerana pada akhirnya, teknologi mungkin mampu menghasilkan imej dalam beberapa saat, tetapi pandangan manusia, pengalaman manusia dan sentuhan manusia tetap mempunyai nilai yang tidak boleh digantikan.

Latest

Sajian menu Pantai Timur di Rumoh Mekda

Oleh: Khadijah Ibrahim JIKA orang Kelantan, Terengganu dan Pahang yang...

Hashimah Yon digelar seniwati paling seksi!

Oleh SYED WAFA Foto KOLEKSI SYED WAFA Sumber : Ladybosz (Terima...

Dulu tak percaya, kini Issey Miyake guna TikTok untuk cari rezeki

Oleh: Khadijah Ibrahim SEKARANG ini antara platform media sosial yang...

Dulu ‘introvert’, kini AG9 Official jadi Pengurus Bakat di KamiSempoi Premier Academy

Oleh: Khadijah Ibrahim SEKARANG ini ramai yang ingin menjadi pempengaruh...
spot_img

Jangan Terlepas!

Zaharah Agus seniwati serba boleh !

Oleh SYED WAFA Foto KOLEKSI SYED WAFA Sumber : Ladybosz (Terima...

Sajian menu Pantai Timur di Rumoh Mekda

Oleh: Khadijah Ibrahim JIKA orang Kelantan, Terengganu dan Pahang yang...

Precious of Malaysia Citraloka 2026 Sasar 500,000 Pengunjung, Bawa Warisan Lebih Dekat Dengan Rakyat

Oleh: Syed Yusof Wafa/Faizah Yasmin Tan Sri Mustapa KUALA LUMPUR:...

Peluang jadi penyanyi rakaman dan menang motor di Community Members – Pahang Auto Show 2K26

Oleh: Khadijah Ibrahim JIKA anda ada impian nak menjadi penyanyi,...
Nafsiah Jani
Nafsiah Jani
Nafsiah Jani adalah seorang wartawan hiburan. Beliau pernah menulis di Utusan Malaysia, majalah URTV, Wanita, Saji terbitan Utusan Karya serta pernah menjadi wartawan tetap di Ladybosz.com
spot_imgspot_img

Sajian menu Pantai Timur di Rumoh Mekda

Oleh: Khadijah Ibrahim JIKA orang Kelantan, Terengganu dan Pahang yang menetap di ibu kota, rindu untuk menikmati makanan seperti masakan ibu di kampung, bolehlah singgah...

Hashimah Yon digelar seniwati paling seksi!

Oleh SYED WAFA Foto KOLEKSI SYED WAFA Sumber : Ladybosz (Terima Kasih Datuk Sri Rozita Ramelan) WALAUPUN memulakan langkah sebagai pelakon kanak-kanak ketika berusia 11 tahun dalam...

Dulu tak percaya, kini Issey Miyake guna TikTok untuk cari rezeki

Oleh: Khadijah Ibrahim SEKARANG ini antara platform media sosial yang sering mendapat perhatian warga maya adalah TikTok kerana ia merupakan platform video berdurasi pendek yang...