Oleh: Khadijah Ibrahim
SEWAKTU penulis belajar di Institut Teknologi MARA, Shah Alam, antara tempat yang sering dikunjungi adalah Kompleks PKNS yang terletak di Seksyen 14 dan merupakan lokasi ‘terhebat’ ketika itu selain Taman Tasik Shah Alam.
Baru-baru ini penulis berpeluang berkunjung ke premis nostalgia itu dan banyak perubahan berlaku mengikut peredaran masa.
Salah satu tarikan di situ adalah Aneka Walk, sebuah koridor pejalan kaki terlindung dan hab gaya hidup sepanjang 300 meter yang dibangunkan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di bawah projek SA Sentral yang menghubungkan kawasan antara Kompleks PKNS dan SACC Mall.

Aneka Walk dibangunkan sebagai sebuah destinasi pelancongan berteraskan acara, atau event-driven tourism destination, yang meraikan kepelbagaian budaya, gaya hidup, makanan, seni dan hiburan.
Manakala KRU Entertainment pula diberi tanggungjawab untuk mengurus dan menganjurkan acara di Aneka Walk dengan kerjasama PKNS.
Bermula 4 September ini, KRU Entertainment memperkenalkan 18 acara yang bakal berlangsung di Aneka Walk sehingga penghujung 2026 menerusi Temasya Aneka, yang menghimpunkan barisan acara, tarikan dan penyewa utama di destinasi tersebut.

Penganjuran Temasya Aneka secara tak langsung menandakan langkah baharu dalam usaha membangunkan Aneka Walk di SA Sentral sebagai ‘Destinasi Gaya Hidup & Hab Kebudayaan’ dengan pengisian merangkumi muzik, seni, budaya, gastronomi, hiburan serta aktiviti keluarga dan komuniti.
Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif KRU Entertainment, Datuk Norman Abdul Halim berkata, pengisian secara konsisten merupakan antara strategi utama untuk memastikan Aneka Walk sentiasa menawarkan pengalaman baharu kepada pengunjung.
“Sebanyak 18 acara telah dirancang sehingga penghujung tahun ini, dengan setiap acara menawarkan pengalaman dan sasaran pengunjung yang berbeza.

“Kami mahu sentiasa ada aktiviti supaya pengunjung datang dan kembali ke Aneka Walk. Antara tarikan utama ialah ‘Kayangan’ sebuah pengalaman eksklusif yang menggabungkan persembahan budaya dengan sajian tradisional Melayu yang dikurasi oleh Datuk Chef Zam,” jelas Norman yang merupakan anggota trio KRU itu.
‘Kayangan’ bakal menjadi persembahan mingguan utama Aneka Walk dengan tiga sesi setiap minggu pada malam Jumaat, Sabtu dan Ahad mulai 4 September ini, sekali gus menjadi produk pelancongan budaya yang menyasarkan masyarakat tempatan serta pelancong domestik dan antarabangsa.
Persembahan sulung ‘Kayangan’ , ‘Hikayat Nusantara’ membawa pengunjung menyusuri perjalanan sejarah dan budaya Nusantara menerusi gabungan penceritaan, persembahan langsung, muzik, tarian, visual dan pengalaman gastronomi.

Lain-lain acara yang akan berlangsung hingga hujung tahun ini adalah Aneka Rasa Warisan, Rockustik, Super Universe iaitu Festival Cosplay Adiwira tempatan dan antarabangsa, Game On! – Expo Sukan dan e-Sports, Superbikes, Aneka Rasa Taj Mahal – Festival Makanan Halal India, Hallyu Jam – Festival Muzik K-Pop, dan juga acara untuk kanak-kanak seperti Kids Fest serta Aneka Rasa Creamilicious
Sebagai tanda komitmen KRU terhadap Aneka Walk, pihaknya akan membuka outlet pertama KRU Cafe di situ.
“KRU Cafe akan dibangunkan dengan kerjasama Sony Music Entertainment dan Babah Ventures sebagai rakan strategik yang berpengalaman dalam pembangunan rangkaian F & B.
“Ia bukan sekadar tempat untuk makan dan minum sahaja tapi KRU Cafe akan menjadi sebahagian daripada pengalaman Aneka Walk yang menggabungkan makanan, muzik, hiburan dan gaya hidup di bawah satu bumbung,” katanya.


