Oleh: Khadijah Ibrahim
JIKA anda ada impian nak menjadi penyanyi, jangan lepaskan peluang untuk hadir ke acara Community Members – Pahang Auto Show 2K26, pada 29 Ogos hingga 31 Ogos 2026, di Perkarangan Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang, bermula jam 10 pagi hingga 12 tengah malam.
Pelbagai acara menarik disediakan oleh penganjur Riuh Entertainment & Trading, termasuklah pertandingan karaoke yang bermula pada 29 Ogos dan kemuncaknya pada keesokan hari.
Peserta yang ingin sertai pertandingan tersebut mesti berumur 17 tahun hingga 30 tahun sahaja kerana para finalis akan dipilih untuk menjadi penyanyi rakaman di bawah label Nova Music dan Kijang Music.

Pertandingan yang mewajibkan peserta menyanyi lagu-lagu era 80-an dan 90-an berdasarkan minus one yang dibawa sendiri akan dijuri oleh komposer tersohor Eddie Hamid yang juga dilantik sebagai Ikon Community Members untuk acara Community Members – Pahang Auto Show 2K26.
“Kita tak kata juara akan dipilih untuk menjadi artis rakaman kerana peluang tersebut dibuka kepada finalis. Mungkin pada malam itu, peserta tersebut tidak muncul sebagai juara tapi kalau dia mempunyai ciri-ciri yang kami cari, insya-Allah mungkin dia yang kami ambil.
“Untuk menjadi artis rakaman, perlu ada bakat, gaya tersendiri dan yang penting disiplin. Saya harap orang ramai tak melepaskan peluang yang sudah ada di depan mata,” kata Eddie yang mencipta lagu popular dendangan Eda Ezrin dan Den Manjo iaitu “Adek Saye Abe Sore” dan “Cinta Setandan Pisang”.
Finalis pertandingan karaoke juga berpeluang untuk berduet dengan salah seorang daripada penyanyi iaitu Blank Gamma, Shafie Rio, Isa Gravity dan Tuah Azmi yang akan menjayakan Malam Ambang Merdeka.

Selain pertandingan karaoke, acara yang berlangsung selama tiga hari itu juga memberi peluang kepada orang ramai untuk test ride motor Harley Davidson.
Pasti ramai yang teruja untuk test ride motosikal berkuasa tinggi itu, maklumlah kalau nak miliki tak kemampuan. Biasanya orang yang memiliki motor Harley Davidson ini individu dewasa yang bekerjaya stabil serta ahli kelab konvoi tempatan.
Ini kerana harga motosikal reka bentuk cruiser tradisional Amerika dan bunyi enjin V-Twin yang unik itu lebih mahal berbanding jenama lain. Jadi inilah masanya untuk peminat-
peminat motor berkuasa tinggi mencuba.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Entertainment & Trading, Ady Hafize, yang mendapat kerjasama Harley Davidson, Petaling Jaya serta Harley Davidson Malaysia itu, acara tersebut bertujuan menghimpun komuniti Harley Davidson dan secara tak langsung membuka ruang kepada orang ramai untuk mengetahui lebih lanjut tentang jenama tersebut.

Acara tersebut turut mendapat sokongan daripada Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan dan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK).
Menurut Ady Hafize, sesiapa saja pemilik Harley Davidson yang nak sertai acara konvoi “Sunset Ride Merdeka” dialu-alukan, terbuka kepada penunggang Harley Davidson. Kalau yang berminat nak sertai bolehlah rujuk pada ketua kelab masing-masing.
“Setakat ini yang sudah setuju untuk turut sertai konvoi ke Kuantan adalah ahli HOG PJ, ahli HOG JB, HOG Kuantan, Pahang, Seven MC dan Bikers Chef Malaysia.
“Acara yang akan berlangsung selama tiga hari itu akan dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti menarik yang jarang diadakan, seperti test ride motor Harley Davidson.

“Kita tak nak rakyat pandang kalau Harley saja, ekzos bising. Sebab sistem enjinnya memang macam tu dan bukan diubah suai. Kita nak bagi pendedahan kepada orang ramai.
“Bila kita buat perhimpunan dan pameran macam ni serta test ride, jadi orang ramai boleh tahu pasal motor Harley. Pada mereka yang berminat pasal Harley tapi tak mampu miliki boleh test ride. Harap rebutlah peluang ini di event itu nanti,” katanya yang banyak menganjur acara-acara besar sebelum ini.
Tambahnya, seperti motosikal lain, Harley Davidson pun mampu dimiliki oleh sesiapa saja. Justeru itu, beliau harap peminat-peminat motor hadir untuk mengetahui lebih lanjut tentang Harley Davidson yang sering dianggap harga ‘kayangan’ itu.
Paling menarik kata Ady Hafize, pengunjung yang hadir ke acara tersebut dan membeli barangan (merchandise) yang dijual di booth jualan baju Community Members siri Merdeka berpeluang untuk menyertai cabutan bertuah yang akan dibuat pada pukul 2 petang, 31 Ogos nanti.

“Bagi yang gemar kumpul merchandise Harley Davidson, jangan lepaskan peluang ini. Kalau anda beli waktu acara berlangsung, anda layak untuk sertai cabutan bertuah.
“Hadiah utama untuk pemenang cabutan bertuah adalah sebuah motosikal. Manakala lain-lain hadiah adalah barangan keluaran Harley Davidson,” katanya.
Aktiviti yang diadakan tidak hanya tertumpu kepada penggemar-penggemar motosikal berkuasa tinggi saja tapi ia juga terbuka kepada orang ramai tanpa mengira usia.
Perhimpunan Community Members – Pahang Auto Show 2K26 juga tidak lupa untuk menghiburkan kanak-kanak. Pada hari pertama acara bermula, akan berlangsungnya pertandingan mewarna bagi kanak-kanak untuk usia 5 – 7 tahun dan 8 – 10 tahun. Tiada bayaran dikenakan untuk menyertai pertandingan mewarna ini.
Untuk mengetahui lebih lanjut tentang aktiviti yang bakal diadakan sepanjang tempoh Community Members – Pahang Auto Show 2K26, sila rujuk di TikTok: Community members


