Faizal Tahir salurkan semangat patriotik menerusi muzik

Oleh: Khadijah Ibrahim

SUDAH 20 tahun Faizal Tahir terbabit dalam bidang seni dan beliau sudah melakukan apa yang ingin dilakukan.

Kedudukannya sebagai selebriti membuatkan Faizal berpeluang menjelajah ke luar negara, namun sejauh mana beliau melangkah hatinya tetap pada Malaysia.

“Tarikan hati dan jiwa saya tetap kepada Malaysia. Saya nak sampaikan rasa cinta saya sebagai anak Malaysia dan mengajak orang ramai supaya ada rasa cinta kepada negara.

“Melalui suara saya, melalui muzik dan melalui ilham yang diberikan oleh Allah, saya harus menggunakan apa yang saya ada ini untuk menyediakan generasi akan datang dengan satu rasa , satu semangat apa sahaja pun, biarlah benda itu ada manfaat kepada orang sekeliling kita. Dan biarlah benda itu dapat memberi sesuatu yang baik untuk negara kita.

Faizal Tahir mendendangkan lebih 20 buah lagu di konsert “Suara Rakyat” yang berlangsung di Unifi Arena, Bukit Jalil, baru-baru ini.

“Saya berani mencabar untuk sesiapa yang boleh memberi satu contoh negara yang macam Malaysia, yang berbilang kaum ini. Sentiasa terbuka kepada perubahan, disebabkan itulah saya rasakan hari ini “Suara Rakyat” adalah satu konsert yang saya hadiahkan khas untuk semua orang, khususnya yang pernah menyokong saya selama ini.

“Kepada seluruh rakyat Malaysia sama ada anda hadir ataupun tidak ke konsert ini, saya rasa marilah sama-sama kita sedarkan diri kita dan anak-anak kita bahawa kita ada satu tanggungjawab yang besar iaitu untuk memelihara negara kita daripada benda-benda yang mungkin buatkan satu hari kita sendiri tidak ada tanah air,” kata Faizal memberi semangat jati diri kepada kira-kira 10,000 penonton yang hadir ke konsert “Faizal Tahir: Suara Rakyat” yang berlangsung di Unifi Arena, Bukit Jalil, pada 3 Oktober baru-baru ini.

Bukti Faizal atau Ahmad Faizal Mohamad Tahir, 48, berjiwa patriotik dapat dilihat sewaktu beliau mendendangkan lagu “Gemuruh”, ciptaan Aubrey Suwito dan lirik oleh Tessh RS.

Lagu “Gemuruh” sering dijadikan sebagai lagu patriotik atau pembakar semangat nasional dan automatik penonton turut menyanyi bersama.

Sebelum melangkah sebagai penyanyi solo, Faizal Tahir pernah menganggotai kumpulan nasyid Mirwana.

Bapa kepada tujuh orang anak itu juga mendendangkan lagu “Negaraku/ Malaysia” yang juga bersifat patriotik dan lagu “Aku Berjanji”, ciptaan beliau sendiri sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2026.

Tidak dapat dinafikan hubungan karya-karya Faizal dengan semangat kebangsaan telah lama menjadi sebahagian daripada perjalanan seninya, dan segmen tersebut diterjemahkan menerusi gabungan muzik, visual serta penyertaan ribuan penonton di dalam arena.

Pada ketika itu, nama “Suara Rakyat” diterjemahkan secara nyata — ribuan individu daripada latar dan generasi berbeza berkumpul dalam sebuah ruang, disatukan melalui muzik dan satu suara.

Konsert “Suara Rakyat” bukan sekadar menghimpunkan lagu-lagu popular Faizal, sebaliknya dirangka bagi menggambarkan evolusi beliau sebagai seorang penyanyi, penulis lagu dan penghibur.

Kejutan buat peminatnya, apabila Faizal mengundang M.Nasir di konsert “Suara Rakyat”.

Antara karya yang dipersembahkan termasuk “Coba”, “Hanyut”, “Karma”, “Anti Gravity”, “Sejati”, “Santai”, “Teknologia”, “Kasih Tercipta”, “Dirgahayu”, “Sampai Syurga”, “Aku Berjanji” dan “Mahakarya”.

Pemilihan lagu daripada era yang berbeza memberikan peluang kepada peminat yang telah mengikuti Faizal sejak awal untuk mengimbau perjalanan mereka bersama muziknya, sementara generasi baharu pula dapat menikmati karya-karya yang terus diberikan nafas segar.

Untuk “Suara Rakyat”, susunan muzik serta produksi pentas turut diberikan pendekatan baharu khusus bagi sebuah persembahan berskala arena, sekali gus memberikan pengalaman berbeza kepada lagu-lagu yang sudah cukup dikenali pendengar.

Faizal yang memulakan perjalanan seninya bersama kumpulan nasyid Mirwana pada 2003 sebelum menarik diri dan memulakan kerjaya sebagai penyanyi solo turut mengundang Mirwana pada konsertnya itu.

Faizal ingatkan penonton supaya sentiasa sayangkan negara Malaysia.

Pada malam itu Faizal dan Mirwana bersatu suara mendendangkan lagu ” Aku Tanpa Cintamu” dan “Biar Satu Dunia Tahu” yang dikeluarkan pada 2024. Lagu ini dihasilkan sebagai tanda solidariti dan sokongan perjuangan terhadap isu kemanusiaan di Palestin.

Selain Mirwana, Faizal turut membuat kejutan kepada penonton apabila beliau menjemput Datuk M.Nasir untuk tampil ke pentas.

Kehadiran figura legenda muzik tanah air itu disambut meriah oleh penonton sebelum beliau bergandingan bersama Faizal menerusi persembahan “Campak Bintang”.

Momen tersebut mempertemukan dua generasi pengkarya muzik Malaysia dalam satu pentas dan menjadi antara detik istimewa sepanjang konsert.

Faizal terharu kerana mendapat sokongan daripada peminat sejak dulu hingga kini.

Pada masa sama, kemunculan Datuk M. Nasir turut membawa makna yang selari dengan semangat “Suara Rakyat”, sebuah pentas yang bukan sahaja meraikan perjalanan Faizal, tetapi juga muzik, karya dan pengkarya tempatan yang telah menyumbang kepada pembentukan landskap muzik Malaysia.

“Bila Faizal Tahir masuk dalam industri, saya dah boleh relaks,” seloroh M Nasir sewaktu berinteraksi dengan Faizal sebelum memulakan persembahan.

Malah Faizal turut memberitahu, sewaktu pertama kali bertemu dengan M.Nasir, penyanyi merangkap komposer tersohor itu tidak mengenali dirinya.

“Beliau tanya siapa nama saya? Saya bagi taulah nama saya Faizal Tahir. Beliau kemudian suruh saya tukar nama kerana katanya nama saya macam ustaz,” memori yang dikongsi Faizal itu sekali gus membuatkan penonton tertawa.

Malah Faizal juga berharap untuk masa akan datang, beliau berpeluang untuk mengadakan konsert bersama M.Nasir.

Kira-kira 10,000 penonton hadir ke konsert “Suara Rakyat” Faizal Tahir, baru-baru ini

Bagi Faizal, konsert “Suara Rakyat” bukan tentang dirinya sahaja yang berdiri di pentas dan menyanyikan lagu-lagu popularnya, tapi ada memori indah yang mahu dilakar.

“Suara Rakyat bukan hanya tentang saya berdiri di atas pentas dan menyanyikan lagu-lagu saya. Lagu-lagu ini sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan ramai orang, dan malam ini saya dapat mendengar 10,000 suara menyanyikannya kembali bersama saya.

“Ada yang bersama saya sejak awal, ada yang baru mengenali muzik saya, tetapi malam ini kita semua berkongsi satu suara. Itu yang paling bermakna buat saya. “Suara Rakyat” akhirnya menjadi lebih daripada sebuah retrospektif terhadap lebih dua dekad perjalanan seorang anak seni.

“Ia mempertemukan lagu-lagu lama dan baharu, peminat daripada generasi berbeza serta pengkarya muzik tanah air dalam sebuah ruang yang sama,” ujarnya.

Turut hadir menonton konsert “Suara Rakyat” ialah Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh.

Latest

SHOWCASE “UNTUKMU” HASNOL: KETIKA MELODI BERTEMU MEMORI, SATU MALAM YANG AKAN MERESAP DI JIWA

Oleh: Syed Yusof Wafa Bagi generasi yang membesar dengan irama...

PENGASIH Malaysia Cemerlang Di NATCOM 2026, Raih Dua Pingat Emas Melalui Inovasi Pemulihan Ketagihan

Oleh: Syed Yusof Wafa Foto: Ehsan PENGASIH Malaysia Dua inovasi, dua...

Konsert Rindu Sumayyah, rai tiga dekad Hijjaz

Oleh: Khadijah Ibrahim PADA 16 dan 17 Oktober ini akan...

‘Live Concert: Elegant Selamanya’, himpun wanita jelita berkarisma

Oleh: Khadijah Ibrahim INILAH masanya untuk rakyat tempatan menyokong produk...
spot_img

Jangan Terlepas!

Konsert Rindu Sumayyah, rai tiga dekad Hijjaz

Oleh: Khadijah Ibrahim PADA 16 dan 17 Oktober ini akan...

‘Live Concert: Elegant Selamanya’, himpun wanita jelita berkarisma

Oleh: Khadijah Ibrahim INILAH masanya untuk rakyat tempatan menyokong produk...

SHOWCASE “UNTUKMU” HASNOL: KETIKA MELODI BERTEMU MEMORI, SATU MALAM YANG AKAN MERESAP DI JIWA

Oleh: Syed Yusof Wafa Bagi generasi yang membesar dengan irama...

PENGASIH Malaysia Cemerlang Di NATCOM 2026, Raih Dua Pingat Emas Melalui Inovasi Pemulihan Ketagihan

Oleh: Syed Yusof Wafa Foto: Ehsan PENGASIH Malaysia Dua inovasi, dua...
Khadijah Ibrahim
Khadijah Ibrahim
Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia, pernah menjadi wartawan hiburan di Ladybosz.com serta berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7 terbitan theStar.
spot_imgspot_img

SHOWCASE “UNTUKMU” HASNOL: KETIKA MELODI BERTEMU MEMORI, SATU MALAM YANG AKAN MERESAP DI JIWA

Oleh: Syed Yusof Wafa Bagi generasi yang membesar dengan irama slow rock dan balada jiwang yang menusuk kalbu, nama Hasnol bukanlah nama asing. Suaranya pernah...

PENGASIH Malaysia Cemerlang Di NATCOM 2026, Raih Dua Pingat Emas Melalui Inovasi Pemulihan Ketagihan

Oleh: Syed Yusof Wafa Foto: Ehsan PENGASIH Malaysia Dua inovasi, dua pingat emas dan satu misi besar: memperkukuh usaha pemulihan ketagihan melalui pendekatan yang lebih tersusun,...

Konsert Rindu Sumayyah, rai tiga dekad Hijjaz

Oleh: Khadijah Ibrahim PADA 16 dan 17 Oktober ini akan berlangsung 'Konsert Hijjaz 3 Dekad: Rindu Sumayyah' di Istana Budaya, Kuala Lumpur. Konsert anjuran Inteam Records...