Oleh: Khadijah Ibrahim
SIAPA yang tak teruja kalau dapat bekerjasama dengan Biduanita Negara Datuk Seri Siti Nurhaliza. Bagi yang baru menceburi diri dalam bidang penciptaan lagu atau menulis lirik, pasti mengharap karya mereka akan dinyanyikan oleh penyanyi tersohor itu.
Komposer muda atau mereka yang baru berjinak-jinak dalam bidang tersebut tidak dipandang rendah oleh penyanyi yang sudah 30 tahun membabitkan diri dalam bidang seni. Bagi Siti, beliau terbuka menerima hasil kerja siapa sahaja asalkan karya tersebut menepati garis panduan yang telah ditetapkan.
Berkongsi pengalamanya dalam menghasilkan album tradisional “Gema Bumantara”, Siti memberitahu 10 lagu yang dimuat dalam album tersebut dihasilkan oleh komposer muda dan ada yang pertama kali menghasilkan lagu bergenre tradisional.
“Saya memang mengharapkan lagu-lagu dalam album ini boleh pergi jauh, dimainkan di setiap radio dan dihargai oleh peminat bukan saja di Malaysia tapi di Singapura, Brunei, Indonesia dan di luar Asia Tenggara.

“Sebab itu album ini juga kita cuba sesuaikan dengan kemajuan, permodenan lagu itu tanpa mengurangkan kelebihan yang ada pada lagu tradisional tersendiri. Untuk album ini juga saya bekerjasama dengan orang muda.
“Saya terbuka terima karya-karya komposer baharu yang terlibat dalam album ini. Tidak dinafikan ada di antara komposer yang gementar tapi saya kagum kerana mereka ada prinsip yang tersendiri dan tidak mengikut saya 100 peratus.
“Setiap komposer termasuk yang baharu seperti Firdaus Rahmat, dia tetap nak melodi ikut kehendaknya untuk lagu “Kumbang Bunga”. Setiap komposer ada melodi yang mereka sayang dan tidak mudah untuk saya sesuka hati menggubah lenggok itu, jika mereka tidak izinkan.
“Saya memang banyak belajar dengan anak muda dalam pembikinan album ini. Alhamdulillah, pengalaman memang sangat menarik. Ada rakaman lagu yang ambil masa lama juga. Rakaman saya kalau satu jam adalah normal tapi kalau panjang sampai tiga empat jam untuk pastikan saya dapat result yang puas hati komposer. Kalau mereka minta tambah atau betulkan mana-mana part, saya okey saja,” kata Siti yang menghormati kerja-kerja komposer walaupun mereka orang baharu dalam bidang tersebut.
Tambah Siti, proses untuk pembikinan album “Gema Bumantara” bermula sejak awal 2024, di mana pihaknya terbuka menerima kira-kira 200 karya yang diberi oleh komposer baharu atau lama. Daripada situ, dibuat tapisan dan penilaian kepada 40 karya sebelum memilih 10 lagu yang benar-benar sesuai untuk dimuatkan dalam album “Gema Bumantara”.

“Jujur saya katakan dalam merakam album “Gema Bumantara” ini saya teruja sebab bila dapat lagu saja saya tahu ia akan jadi macam mana. Kita tetapkan syarat juga kepada komposer yang nak bagi lagu kali ini. Lagu yang nak diberi mesti yang hampir siap, melodi sudah dapat didengar dan bukan yang raw saja.
“Dari situ saya boleh nampak gambaran dan struktur lagu yang akan dinyanyikan. Mesti ada orang nyanyikan lagu dan baru saya boleh bayangkan nak buat balik semula. Siapa yang tak bagi ikut syarat yang ditetapkan, saya tak terima. Hantar balik dan suruh dia buat semula.
“Sama juga macam sebelum in, dalam banyak-banyak lagu kita ada peringkat-peringkat buat pilihan. Bila tapis-tapis, melodi itu kena dengan apa yang saya inginkan untuk album “Gema Bumantara”, kita tak ada pilih kasih, kalau tak kena dengan apa yang saya nak memang kita tak pilih. Peringkat awal memang kita tak pilih siapa komposer, dia bagi kita dengar saja.
“Saya tak kisah bekerjasama dengan komposer baharu sebab kalau saya tak bagi peluang macam ni, macam mana kita nak dapat pelapis-pelapis yang bagus. Kita kena tengok pada kebolehan dan ilmu yang mereka ada. Kita patut menghargai bakat-bakat generasi baharu. Ada setengah tu baru nak cipta lagu tradisional tapi saya okey sebab ia ada gabungan muzik tradisional dengan moden jadi kontemporari.
“Kalau kita tidak terbuka dalam menerima penciptaan generasi baharu ini kita nak mengharapkan siapa lagi untuk jadi pelapis. Saya terkejut tengok hasil karya komposer muda ini. Macam lagu, ciptaan Melly Goeslaw, memang saya sewaktu dia datang ke konsert di Genting. Saya minta lagu tapi bagi tahu ini album tradisional dan dia kata tak pernah buat tapi dia akan cuba. Bila dia bagi pada saya dan dengar memang sedap dan dia nak saya yang tulis lirik.
“Dia bagi guide dalam bahasa Indonesia, dia nyanyi dan saya cuba faham apa yang dia maksudkan dan saya terjemahkan dalam bahasa Melayu. Mood lagunya usik mengusik dan nak naik pelamin,” cerita Siti tentang lagu “Jenjang Cinta”.
“Gema Bumantara” merupakan kesinambungan daripada siri album tradisional terdahulu yang telah menjadi tanda aras dalam perjalanan seni Sit, seperti “Cindai”, “Sahmura”, “Sanggar Mustika” dan “Lentera Timur”.
Bagi Siti, “Gema Bumantara” adalah manifestasi cinta beliau terhadap warisan muzik tradisional dan tanda tanggungjawabnya untuk terus memperkasa irama warisan bangsa agar tidak dilupakan oleh generasi baharu.
“Album tradisional sentiasa mempunyai tempat istimewa di hati saya. Semoga “Gema Bumantara” menjadi hadiah buat semua pencinta muzik warisan dan terus mengalunkan keindahan irama Melayu kepada seluruh dunia. Saya juga menjadikan ini sebagai salah satu tanggungjawab saya dalam bidang seni,” ujar Siti.
Lebih membanggakan, album ini turut mendapat sokongan daripada Kementerian Komunikasi melalui MyCreative Ventures menerusi Dana Kebolehanpasaran (Domestik) 2.0 bagi memperkukuh usaha pemerkasaan karya seni tempatan serta memastikan muzik tradisional terus mendapat tempat dalam pasaran arus perdana.
Sokongan ini juga mencerminkan keyakinan bahawa muzik berteraskan warisan budaya masih mampu bersaing dalam industri moden yang dinamik.
Album Gema Bumantara mengandungi 10 buah lagu baharu, hasil gabungan bakat hebat daripada komposer dan penulis lirik seperti Firdaus Rahmat, Iqie Hugh, Usop Kopratasa, Hafiz Hamidun, Aubrey Suwito, Omar K, Shazriq Azeman, Aiman Sidek, Wan Saleh, Affan Mazlan, Danish Norr.
Turut terlibat adalah Aisha Retno, RADi, Melly Goeslaw, Amni Musrifah, Irena Taib dan Jamilah Abu Bakar, Ahmad Fedtri Yahya, Datuk Habsah Hassan, Datuk Seri Siti Nurhaliza.
Lagu-lagu yang menghiasi album ini ialah “Kumbang Bunga” (duet bersama Lesti Kejora), “Hati Yang Rindu”, “Rencong”, “Pesanan Buat Diri”, “Kaca dan Permata” (duet bersama Umairah), “Syurgaloka”, “Hujung Bumi”, “Kesuma”, “Jenjang Cinta” dan “Cenderamaya”.
Proses penghasilan album ini mengambil masa hampir setahun merangkumi fasa pencarian lagu, penyusunan muzik, rakaman vokal dan produksi akhir yang dilakukan dengan penuh ketelitian serta sepenuh jiwa oleh seluruh pasukan produksi.
Album “Gema Bumantara” yang diterbitkan bersama oleh SN Legacy Sdn. Bhd., Siti Nurhaliza Productions (M) Sdn. Bhd. dan Universal Music Sdn.Bhd., boleh dinikmati di semua pelantar digital utama. Sementara itu, album edisi fizikal dijangka akan dilancarkan pada Januari 2026 bersempena Konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza.


