Oleh: Khadijah Ibrahim
PEMINAT yang hadir ke konsert RadjaWali Live-in Malaysia di Idea Live Arena Damansara pada 10 Januari lalu, kecewa kerana Wali Band tidak berkesempatan membuat persembahan penuh, tepat 12 tengah malam penganjur terpaksa memberhentikan persembahan berikutan kekangan masa.
Tidak patah semangat dengan insiden yang berlaku di konsert tersebut, Wali Band terus bangkit dengan semangat baharu dan bertekad untuk kembali memberikan persembahan terbaik buat para peminat.
Wali Band yang dianggotai Faank selaku vokalis, Apoy (gitar), Tomi (dram) dan Ovie (keyboard) yang berasal dari Tangerang, Indonesia itu akan kembali beraksi di Malaysia menerusi konsert solo mereka, ‘Konsert Wali Band Kembali’ yang bakal berlangsung di Stadium Hoki Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 1 Mei 2026 ini.

Kembalinya mereka di dalam konsert solo ini masih bersama penganjur yang sama iaitu Gis Entertainment & Events bersama Infinity Love Creative Ventures yang merupakan penganjur Konsert RadjaWali.
Vokalis Wali Band, Faank berkata, mereka menyedari ramai peminat berasa kecewa kerana tidak berpeluang menikmati sepenuhnya persembahan lagu-lagu hit mereka pada konsert tersebut.
“Kami memahami perasaan peminat kami di Malaysia. Atas sebab itu, kami mahu kembali menebus kekecewaan mereka menerusi konsert solo kami sendiri.
“Apa yang berlaku sebelum ini tidak mematahkan semangat kami untuk kembali beraksi di Malaysia. Malah, ia membuatkan kami lebih bersemangat untuk menghiburkan peminat.
“Bahkan, kami juga bakal tampil dengan repertoir yang lebih padat dan menarik agar peminat benar-benar terhibur serta memperoleh kepuasan maksimum melalui persembahan kami di kedua-dua konsert solo ini nanti,” katanya.

Tambah Faank lagi, banyak pihak yang turut mempersoalkankenapa Wali Band Masih mahu bekerjasama dengan penganjur yang sama, meskipun sudah berdepan dengan insiden yang tidak diingini dalam konsert terdahulu.
“Jujur… kami punya alasan sendiri. Kami selesa bekerjasama dengan mereka kerana mereka sangat profesional serta berpengalaman luas di dalam penganjuran acara konsert. Bahkan, trek rekod mereka sebagai penganjur konsert sebelum ini juga cukup baik.
“Apa yang berlaku di dalam acara konsert terdahulu itu adalah adalah lumrah yang berlaku di dalam sesebuah penganjuran konsert. Adakalanya, penganjur acara konsert juga terpaksa berdepan dengan masalah atau hal-hal yang tidak diingini,” jelasnya.
Sementara itu, wakil penganjur, Mubarak Akhtar Mohd Aris berkata, ‘Konsert Wali Band Kembali’ ini diadakan bagi menebus kembali kekecewaan penonton dan peminat susulan ketidakpuasan hati yang timbul pada Konsert RadjaWali.
“Apa yang kami lakukan ini juga suatu bukti bahawa kami benar-benar bertanggungjawab terhadap insiden yang berlaku sebelum ini dan kami juga komited untuk menghadirkan persembahan yang lebih tersusun, lancar dan berkualiti.

“Bukan soal keuntungan yang menjadi keutamaan dalam konsert ini tetapi ia lebih kepada kepuasan penonton. Insya-Allah, kami janjikan persembahan konsert yang terbaik kali ini,” katanya.
Wali Band dijangka membawakan lebih banyak lagu hits serta rangkaian lagu popular mereka, selain menampilkan persembahan pentas yang lebih mantap, bertenaga dan penuh interaksi bersama peminat.
Aspek teknikal seperti sistem bunyi, pencahayaan dan susunan acara turut diberi perhatian khusus bagi memastikan pengalaman konsert yang lebih memuaskan.
Konsert ini bukan sekadar persembahan ulangan, tetapi simbol komitmen penganjur untuk memperbaiki keadaan dan mengembalikan kepercayaan peminat, sekali gus menjanjikan malam yang lebih meriah, emosional dan tidak dapat dilupakan buat semua yang hadir.
Jualan tiket ‘Konsert Wali Kembali’ dijual pada harga RM777 (VIP), RM327 (CAT2), RM137 (GA), RM237 (CAT3) RM177 (CAT4), RM157 (CAT5), RM127 (CAT6) dan RM77 (CAT7).
Bagi penonton Konsert RadjaWali yang mahu menebus diskaun 20 peratus untuk ‘Konsert Wali Band Kembali’, anda boleh menggunakan kod promo tiket terdahulu menerusi pembelian secara dalam talian yang bermula sejak 16 Februari lalu. Tiket boleh dibeli menerusi pautan: www.ilassotickets .com.

Sementara itu, sebelum menemui peminat di Stadium Hoki Bukit Jalil, Wali Band terlebih dahulu akan singgah di SICC Kota Kinabalu, Sabah pada 12 April ini bagi menjayakan ‘Konsert Wali Live In Kota Kinabalu’.
Penganjuran untuk konsert di Kota Kinabalu diuruskan oleh 25th Studio & Infinity Love Creative Ventures.
Faank berkata, mereka sedar ramai peminat di Sabah kecewa apabila konsert yang sepatutnya mereka jayakan di Kota Kinabalu pada 2024 tidak menjadi kenyataan.
“Kami turut merasakan kekecewaan itu. Namun, apa yang berlaku ketika itu berada di luar kawalan kami dan kami sendiri tidak mengetahui punca konsert tersebut tidak dapat direalisasikan.
“Apabila menerima tawaran daripada pihak penganjur, 25th Studio & Infinity Love Creative Ventures, untuk menjayakan konsert di Kota Kinabalu, kami melihatnya sebagai peluang terbaik untuk menebus kembali kekecewaan peminat,” jelasnya.
Menurut Faank lagi, beliau sedar mungkin ada peminat di Sabah yang tidak percaya atau berasa was-was apabila mendapat tahu mengenai perkhabaran konsert mereka ini.
Apa yang boleh kami katakan, tunggu sahaja kehadiran kami nanti. Kami tidak sabar untuk beraksi di hadapan kalian semua,” katanya lagi.
Tiket ‘Konsert Wali Live in Kota Kinabalu’ dijual pada harga RM688 – Cari Jodoh (VIP), RM488 – Yank (Gold), RM288 – Baik Baik Sayang dan RM98 – Nenekku Pahlawanku, boleh dibeli menerusi pautan: www.ilassotickets .com.


