Oleh: Khadijah Ibrahim
NAMA penyanyi Nuha Bahrin mula mendapat perhatian ramai selepas lagu “Casablanca” dendangannya bersama Naufal Azrin yang dikeluarkan pada 2022, tular sebelum ini.
Kini Nuha atau nama penuhnya Nuha Sakina Saiful Bahrin, 26, tampil dengan single baharu berjudul “Malam-Malam”, ciptaan Ezra Kong di bawah projek kreatif mimpi.
Ini bukan kali pertama Nuha bekerjasama dengan Ezra kerana komposer tersebut pernah menghasilkan lagu “XSempurna” dan lirik oleh A.Ramlee untuk dijadikan single pertama Nuha pada 2021.

Ezra atau Ezra Kong Yi Jia, 38, merupakan antara komposer paling berpengaruh di Malaysia kerana hampir setiap lagu gubahannya menjadi hit besar serta sering meraih anugerah utama.
Untuk lagu “Malam-Malam” elemen bunyi Arabic dan Spanish digabungkan dengan sentuhan moden pop Melayu, untuk membawa pendengar ke dalam suasana yang tenang namun penuh emosi.
Single ini menandakan fasa baharu buat saya melalui projek mimpi., sebuah ruang kreatif untuk saya bereksperimen dan menghasilkan karya yang lebih jujur.
“Projek mimpi adalah projek baharu yang dimulakan sebagai ruang untuk semua penulisan saya ke hadapan. Ia menjadi tempat kolaborasi bersama artis, label, dan A&R untuk menyampaikan karya yang lebih jujur dan dekat di hati saya,” jelas Ezra.
Katanya lagi, melalui projek seperti ‘Malam – Malam’, beliau cuba membawa pendekatan berbeza dari segi sound, susunan, dan lirik untuk mencari titik temu antara cita rasa beliau dan jiwa artis itu sendiri.

Sebagai komposer dan penerbit, Ezra turut berkongsi bahawa inspirasi lagu ini datang daripada kisah nyata.
“Inspirasi “Malam-Malam” hadir ketika mendengar kisah rakan-rakan yang bertugas sebagai polis, yang bekerja di saat orang lain menyambut raya. Perasaan rindu itu kemudian saya olah menjadi sentuhan romansa buat mereka yang menunggu insan tersayang pulang dari tugas.
“Apabila lagu ini dipadankan dengan Nuha Bahrin, terasa jelas bahawa lagu ini menemukan pemilik yang tepat,” katanya.
Lagu ini mengisahkan kerinduan terhadap seseorang yang jauh, berpaksikan memori sederhana tetapi bermakna. Dua insan yang pernah berkongsi waktu bersama di bawah cahaya bulan, yang kini hanya tinggal kenangan.
Dalam karya ini, bulan menjadi simbol masa dan detik yang tidak dapat diulang. “Malam – Malam” dengan indah menggambarkan kontras antara kebahagiaan kebersamaan dan kekosongan akibat jarak, menjadikannya sebuah karya yang dekat dengan jiwa pendengar.
Bagi Nuha, “Malam-Malam” membawa makna yang sangat peribadi, termasuk kerinduan terhadap diri sendiri.
“Nuha relate dengan lagu ini bila teringat versi diri lama. Malam-malam selalunya buat Nuha overthink dan ingat semua kesilapan serta rasa rindu pada diri sendiri yang dulu yang lebih yakin dan lebih carefree.

“Kadang-kadang kita lupa bagaimana untuk tidak terlalu peduli dengan pandangan orang lain, dan Nuha sangat rindukan perasaan itu,” akuinya.
Dalam menyampaikan emosi lagu ini, Nuha menekankan kejujuran dalam vokalnya, selari dengan nuansa muzik yang unik.
“Nuha cuba keluarkan rasa rindu itu dengan cara yang lebih raw dan jujur. Ada sedikit rasa geram, seperti tertanya ‘kenapa you tiba-tiba hilang?’ Jadi dalam delivery, Nuha seimbangkan kelembutan dengan sedikit emosi dan longing supaya pendengar benar-benar dapat rasa kekosongan itu,” jelas Nuha.
Melengkapkan lagi naratif lagu ini, muzik video “Malam-Malam” mengetengahkan konsep visual yang puitis dan penuh simbolik, mengisahkan seorang wanita yang masih terperangkap dalam kenangan cinta yang telah hilang.
Digambarkan seolah-olah dua dunia selari wujud dalam ruang yang sama, watak lelaki hadir dalam setiap momen, hampir disentuh, hampir bersama, namun tidak pernah benar-benar ada.
Seiring perjalanan cerita, penonton akhirnya menyedari bahawa kehadiran itu hanyalah bayangan memori dan perasaan rindu yang belum terlerai, sekali gus menguatkan tema kehilangan dan kesunyian yang menjadi inti pati lagu ini.
Kolaborasi ini juga menjadi pengalaman bermakna buat Nuha, yang kembali bekerjasama dengan Ezra Kong bersama penulis Sufairah Mohd.
“Ini kali kedua Nuha bekerjasama dengan Ezra, dan proses ini sangat membuka ruang untuk explore benda baharu. Nuha belajar untuk tidak takut keluar dari comfort zone. Gabungan bunyi Arabic, Spanish dan Malay dalam lagu ini sangat berani dan inspiring. Nuha rasa honoured dapat menjadi suara untuk karya ini.
“Dengan gabungan bunyi yang unik serta emosi yang mendalam, “Malam-Malam” diharapkan dapat menjadi teman setia pendengar, khususnya ketika sunyi di waktu malam.
“Nuha harap pendengar akan rasa mereka tidak keseorangan. Rindu, sama ada kepada seseorang atau diri mereka pernah sangat bermakna dalam hidup kita, dan cinta itu tidak pernah sia-sia,” katanya lagi.
“Malam-Malam” boleh didengari di semua platform penstriman digital mulai 24 April 2026


