Oleh: Khadijah Ibrahim
PADA 30 Ogos ini, Malaysia bakal mencipta sejarah baharu dalam penganjuran acara larian melalui Malaysia Marathon, sebuah platform acara khusus yang berdedikasi dalam menyampaikan pengalaman larian berskala besar bertaraf dunia.
Dengan kepakaran mendalam dalam operasi dan logistik perlumbaan, Malaysia Marathon menghimpunkan komuniti melalui acara yang dirangka dengan teliti, sekali gus menggabungkan elemen sukan, pelancongan dan budaya secara lancar.
Acara ini juga merupakan yang pertama dianjurkan sepenuhnya oleh penganjur tempatan serta antara penganjuran marathon komuniti terbesar di Malaysia.
Penganjuran ini diadakan sempena sambutan Hari Merdeka, sekali gus menyemarakkan semangat patriotisme dan perpaduan dalam kalangan peserta serta pengunjung.

Ia juga bertujuan untuk mempromosikan gaya hidup sihat, di samping mengangkat Malaysia sebagai destinasi pelancongan sukan bertaraf dunia.
Malaysia Marathon menampilkan empat kategori larian iaitu 42km, 21km, 10km dan 5km. Laluan acara ini diiktiraf oleh World Athletics Federation, sekali gus memenuhi piawaian antarabangsa.
Acara ini akan bermula di Pavilion Kuala Lumpur dan berakhir di KLCC, dengan kira-kira 95% laluan menggunakan lebuh raya utama seperti AKLEH dan SUKE, yang menawarkan persekitaran larian yang moden, selamat dan berkualiti tinggi.
Penutupan lebuh raya SUKE dan AKLEH bagi tujuan acara ini turut melibatkan kerjasama konsesi lebuh raya, satu pendekatan pertama seumpamanya di Malaysia.
Presiden Malaysia Marathon, Eddy Casmady berkata, selain perlumbaan, Malaysia Marathon turut dimeriahkan dengan pelbagai elemen hiburan termasuk lapan persembahan di sepanjang laluan, lima pancaragam terbaik serta konsert yang akan bermula seawal jam 9 pagi.

“Acara ini dijangka menarik kira-kira 50,000 pengunjung sepanjang dua hari penganjuran, dengan penyertaan seramai 25,000 peserta dari dalam dan luar negara, merangkumi pelari elit hingga pelari berasaskan gaya hidup (culture run), sekali gus menghimpunkan pelbagai komuniti dalam satu platform.
“Malaysia Marathon turut mencipta keunikan tersendiri dengan menampilkan rekod baharu pengibaran Bendera Malaysia sepanjang dua kilometer di laluan acara. Bersempena sambutan Hari Malaysia ke-69, potongan harga pendaftaran turut ditawarkan khas kepada rakyat Malaysia.
“Dari segi inovasi, Malaysia Marathon memperkenalkan penggunaan sistem pengesahan Face ID untuk proses pendaftaran serta mewajibkan peserta mengambil sendiri nombor bib semasa Race Pack Collection (RPC).
“Langkah ini bertujuan mengelakkan penipuan penyertaan dan meningkatkan integriti acara, sekali gus menjadikan Malaysia Marathon antara pelopor dalam penggunaan teknologi ini bagi acara larian di negara ini,” jelasnya.
Acara ini telah menarik penyertaan pelari dari 69 negara, merangkumi atlet tempatan dan antarabangsa. Seramai 1,200 sukarelawan awam turut digerakkan bagi memastikan kelancaran dan keselamatan sepanjang penganjuran.
Malaysia Marathon juga mendapat sokongan daripada Tourism Malaysia, Lembaga Lebuhraya Malaysia, serta sokongan media rasmi iaitu Hot FM dan Fly FM.

Sebagai galakan kepada atlet tempatan, ganjaran sebanyak RM50,000 ditawarkan kepada peserta Malaysia yang berjaya memecahkan rekod kebangsaan bagi kategori 42km dan 21km.
Di samping itu, penganjuran ini turut menitikberatkan aspek kelestarian, dengan medal acara diperbuat daripada bahan zink kitar semula.
Malaysia Marathon dijangka menjadi penanda aras baharu dalam penganjuran acara larian di Malaysia, dengan menggabungkan kecergasan, hiburan, teknologi dan semangat kebangsaan dalam satu platform yang unik serta berimpak tinggi.
Proses pendaftaran Malaysia Marathon 2026 dibuka mulai 4 Mei, melalui laman web rasmi dan aplikasi MM, dengan akses eksklusif kepada pemegang kad Maybank (Mastercard & Visa). Pendaftaran kepada orang awam akan dibuka
pada 5 Mei.
Pendaftaran boleh dibuat secara dalam talian melalui aplikasi MM atau laman web rasmi di www.malaysiamarathonofficial.com, dengan langkah mudah iaitu cipta akaun, pilih kategori, isi maklumat dan buat pembayaran (akses awal untuk pemegang kad Maybank).
Yuran pendaftaran bagi kategori Malaysia Open/Veteran adalah RM65 (5KM), RM80 (10KM), RM95 (21KM) dan RM120 (42KM), manakala bagi kategori International Open ialah RM280 (5KM), RM320 (10KM), RM360 (21KM) dan RM400 (42KM).


