Oleh : Nafsiah Jani
Menyedari ramainya rakyat Malaysia yang mengalami masalah obesiti sehingga Malaysia menduduki ranking pertama dunia membuatkan Persatuan Kebajikan Cahaya Qasih Malaysia (PKCQM) terpanggil mengadakan program Kempen Cegah Obesiti 2.0.
Langkah PKCQM ini sekaligus menjadi orang tengah membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menarik lebih ramai komuniti peka menjaga kesihatan. Program Kempen Cegah Obesiti #JomKawal telah berjaya dilaksanakan pada 17 Mei lalu bertempat di Madrasah Al Ehsaniah, Taman Ampang Indah.

Timbalan Pengerusi PKCQM, Azliza Mustaffa berkata, program ini dianjurkan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan menjaga kesihatan, mengamalkan gaya hidup sihat serta mencegah masalah obesiti yang semakin membimbangkan dalam kalangan masyarakat masa kini.
“Pelbagai aktiviti menarik dan bermanfaat telah dijalankan sepanjang program berlangsung antaranya pemeriksaan kesihatan percuma, kempen derma darah, pameran kesihatan, cabutan bertuah, sesi perkongsian pemakanan sihat serta aktiviti komuniti yang mendapat sambutan amat menggalakkan daripada penduduk setempat.
“Kami juga ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat termasuk para petugas kesihatan, pihak Madrasah Al Ehsaniah, Pusat Khidmat Masyarakat DUN Lembah Jaya, Persatuan Wanita Berdaya Maju, Pemadam, Farm Fresh serta Ahli Jawatankuasa program serta para pengunjung yang hadir memeriahkan program ini.


“Kerjasama dan komitmen semua pihak telah memastikan program berjalan lancar dan mencapai objektif yang ditetapkan. Diharapkan program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang dalam usaha melahirkan masyarakat yang lebih sihat, aktif dan peka terhadap penjagaan kesihatan diri serta keluarga.”
Perasmian program Kempen Cegah Obesiti 2.0 disempurnakan Puan Akidah Awang Ahli Majlis MPAJ Zon 10. Manakala Dr Umi Kalsom Md Ariffin juga turut menyampaikan ceramah berkenaan tip pemakanan dan Obesiti.
Menurut Azliza, program ini julung-julung kalinya dianjurkan di Selangor selepas mendapat kerjasama sepenuhnya dari KKM.

“Sebelum ini kami buat kempen larian obesiti di Alor Setar, Kedah. Kali ini kami buat di Lembah Jaya ini kerana madrasah dan Pusat Khidmat Masyarakat Zon Lembah Jaya ini turut memberi kerjasama sepenuhnya.
“Kempen sebegini dah lama kami plan nak buat, namun masalah lokasi menyebabkan ianya tertunda. Disaat akhir semuanya berjalan lancar dan kami bertuah kerana komuniti di sini begitu baik dan memberi komitmen sepenuhnya dengan program anjuran kami ini,” katanya gembira kerana kempen derma darah sebanyak 30 bag berjaya dicapai.

Azliza menambah, selepas ini sesiapa saja boleh mengadakan program kesihatan ditapak yang sudah PKCQM sediakan.
“KKM juga ada menyediakan dana khas untuk NGO atau komuniti yang ingin menganjurkan sebarang program atau kempen berkaitan kesihatan. Mereka tak perlu lagi risau mencari dana kerana kami dah sediakan laluan untuk mereka bergerak sendiri.
“Selepas ini, kami akan bersama sebuah kementerian bagi menganjurkan program untuk golongan B40 pelajar-pelajar perempuan seluruh Negeri. Tajuknya menjurus kepada keselamatan para-pelajar bertajuk cara menangani gangguan seksual.


“Persatuan bukan saja anjurkan program tapi bagi sumbangan pada warga-warga yang terpinggir, membantu komuniti asnaf dan ibu tunggal. Setakat ini kami dah merangka pelbagai program hingga tahun depan. Selepas ini mungkin kami buat majlis makan malam untuk cari dana dan macam-macam lagi.
“Harapan saya semoga ada individu atau syarikat korporat yang sudi bagi bantuan atau sumbangan kepada tabung PKCQM. Buat masa ini kami mempunyai 300 orang ahli terdiri daripada golongan asnaf di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak. Mereka yang bermurah hati boleh hubungi saya ditalian 0136115873.”


