Oleh: Khadijah Ibrahim
BAGI yang mengikuti Griya atau Griya: Rahsia Seorang Lelaki, drama bersiri genre thriller misteri yang disiarkan di platform penstriman iQIYI Internatianol dan Netflix, pasti geram melihat watak Razman lakonan Nazim Othman itu.
Drama 10 eisod, terbitan Skop Productions hasil arahan Faisal Ishak itu menampakkan perwatakan yang jarang dilakonkan oleh Nazim, namun beliau berjaya membuat penonton tidak sabar untuk mengetahui apa kesudahan nasib Razman.
Nazim atau nama sebenarnya Nushrul Alif Othman, 42, berkata, untuk melakonkan watak Razman yang psiko memang mencabar tapi berbekalkan pengalaman dalam bidang lakonan, beliau dapat menjayakan peranan tersebut dengan berkesan.

“Watak Razman, dia bukan narsistik tapi dia ada personality disorder. Dia bukan sekadar personaliti tapi mentally dan lain daripada narsistik. Dia perlu dapatkan profesional help kerana itu bukan anxiety depresi.
“Nak kata susah untuk ‘hidupkan’ watak sebegitu ya juga. Apapun saya bersyukur sebab dengan pengalaman dalam kehidupan dan pengalaman sebagai pelakon membantu saya untuk menjayakan watak Razman. Selain itu saya ada team yang sangat bagus,” katanya yang sempat pergi ke Phuket untuk mendalami watak yang bakal dilakonkan sebelum penggambaran dilakukan pada tahun lalu.
Tambah Nazim, beliau bukan sahaja didampingi barisan pelakon dan tenaga kru yang baik dan komited dengan tugasan masing-masing, malah s penerbit (Syamin Yusof) juga membantunya.
“Untuk cerita ini, Syamin sediakan saya personal trainer dan plan makanan untuk besarkan badan sikit kerana waktu itu saya kurus. Jujur, saya memang suka berlakon dengan team ini kerana kami saling membantu.
“Tak ada sesiapa boleh bekerja seorang diri. Sebagus mana pun pelakon itu, dia tak boleh bekerja sendiri. Saya sangat menghargai bukan saja barisan pelakon dan pengarah, tapi kru di sebalik tabir,” akuinya.
Bercerita tentang karakter Razman, seorang duda kaya yang berkarisma dan misteri serta suspek utama Dektektif Liana berikutan kehilangan dan kematian dua bekas isterinya, Nazim perlu menampakkan kelainan dalam lakonannya.
“Untuk karakter Razman ini saya banyak main mata untuk membezakan karakter saya dengan lakonan terdahulu. Saya kurangkan kerdip mata dan saya fokus dengan melihat ke mata pasangan lakon. Dari segi emosi tu, saya tak ada masalah.

“Saya tak mengambil masa lama untuk bawa watak ini sebab berdasarkan pengalaman. Bila kita guna pengalaman sebaliknya dan fokus memang tak mengambil masa yang lama untuk menjiwai watak” katanya lagi.
Namun di sebalik lakonan yang ditonjolkan, Nazim tidak dapat menolak rasa bersalah apabila dalam satu adegan jatinya tercocok mata Nia Antasha yang berlakon sebagai Sara (isteri kedua Razman).
“Dalam adegan di basement (bawah tanah) saya berlakon sama Nia dan Dynas. Untuk scene tu saya kena mengasari watak Nia. Jadi dalam nak cari sudut kamera yang baik, secara tak sengaja tercucuk mata dia.
“Saya terus kena anxiety masa tu sebab kasar is one thing walaupun berlakon, lepas tu tak berjaya menipu (angle kamere trick) dan terkena pula. Sudah tentu saya disulam rasa bersalah. Saya rasa takut sebab kena mata orang, perempuan pula tu. Saya rasa bersalah sangat tapi saya salute pada Nia kerana dia pelakon profesional, individu yang sangat matang dan dia pula yang menenangkan saya.
“Mestilah saya risau sebab mata sangat sensitif tapi alhamdulillah. Lepas saya tercucuk mata Nia, saya tertampar Dynas pula. Watak Razman memerlukan dia ganas tapi saya sangat bersyukur untuk watak ini,” akuinya.
Bercakap mengenai watak, kata Nazim jika diberi ruang beliau ingin berlakon dalam karya genre aksi tapi belum berkesempatan.
“Sebagai pelakon saya nak mewarnai saya punya portfolio. Antara watak yang saya idamkan adalah watak aksi sebelum saya punya circle berakhir. Kita ada circle, kita kena berpihak di bumi nyata.

“Selagi saya masih sihat dan ada kudrat, saya harap sangat dapat peluang itu. Tapi saya tak nak sangat terlalu berharap, saya percaya pada rezeki kerana itu semua Allah yang tentukan.
“Kalau tanya saya sebagai pelakon, ya saya idamkan watak aksi berpakain uniform sebab bapa saya dulu TLDM (Tentera Laut Diraja Malaysia). Teringin juga watak military. Saya yakin berdasarkan pengalaman saya dan keyakinan diri saya sekarang, saya mampu untuk menjayakan watak sebegitu. Cuma menunggu ruang saja,”katanya terus terang.
Tambahnya lagi, jika ada watak yang ditawar memerlukan beliau membotakkan kepala, Nazim tidak keberatan.
“Kalau ada tawaran untuk botakkan kepala, saya sangat terbuka. Orang ada satu naratif pada saya iaitu Nazim ni terlalu menjaga penampilan. Dia mat smart dan tak willing untuk ubah penampilannya demi untuk menjayakan sesuatu watak.
“Itu cuma persepsi orang terhadap saya. Saya tahu apa yang saya nak dan kemampuan saya berdasarkan keyakinan diri saya dan pengalaman saya terbuka.
“Kalau watak itu kena botak dan saya rasa sesuai dengan jalan cerita, kenapa tidak. Saya terbuka dari dulu lagi cuma mungkin orang tak nampak,” ujarnya.


