Oleh: Khadijah Ibrahim
SELEPAS konsert GenKRU selesai, Datuk Yusry tidak berhenti di situ saja. Anggota trio KRU itu yang sempat tampil dengan album “Kaset bersama Datuk Norman dan Edry sempena konsert GenKRU, kini meneruskan perjuangannya sebagai penyanyi solo.
Kali pertama Yusry Abdul Halim, 53, tampil dengan album solo adalah pada 2003 menerusi album berjudul “Yusry” dan antara lagu popular dari album tersebut adalah “Dekat Padamu” dan “Jika Kau Tiada”, duet bersama Erra Fazira.
Kini beliau kembali dengan single solo terbaharu berjudul “Jiwa & Raga” yang diterbitkan oleh Sony Music Entertainment.
Karya berentak balada moden penuh emosi, yang mengangkat tema cinta, pengorbanan dan keikhlasan yang lahir daripada hati itu merupakan ciptaan dan penulisan penyanyi rap serta penulis lagu, Luca Sickta.

Menurut Yusry, perkara pertama yang benar-benar menyentuh hatinya sewaktu pertama kali mendengar demo “Jiwa & Raga” adalah kekuatan emosi yang dibawa oleh lagu tersebut.
“Bila saya dengar demo lagu ini buat pertama kali, saya terus rasa ada sesuatu yang sangat jujur dalam melodi dan liriknya. Ia bukan sekadar lagu cinta biasa, ia ada rasa kehilangan, pengorbanan dan ketulusan yang dekat dengan kehidupan sebenar.
“Bagi saya, lagu ini menggambarkan seseorang yang mencintai dengan sepenuh hati, bukan separuh jalan, dan bukan sekadar kata-kata. Apabila seseorang sanggup memberi ‘Jiwa & Raga’, itu adalah tahap cinta yang paling dalam,” katanya yang merupakan suami kepada pelakon Datin Lisa Surihani.
Tambah Yusry, “Jiwa & Raga” membawa maksud cinta yang diberikan sepenuhnya tanpa syarat, sehingga seseorang sanggup menyerahkan seluruh jiwa dan dirinya demi insan yang dicintai.
Walaupun terkenal dengan vokal dan gaya persembahan yang cukup ikonik sepanjang
kerjayanya, Yusry mengakui cabaran terbesar ketika merakamkan lagu ini bukanlah dari sudut teknikal nyanyian, tetapi bagaimana untuk menyampaikannya secara tulus dan sederhana.

“Lagu ini tidak memerlukan nyanyian yang terlalu besar atau berlebihan. Cabaran sebenar adalah untuk buat pendengar percaya pada setiap rasa yang disampaikan. Kadang-kadang emosi yang paling perlahan itulah yang paling kuat,” ujarnya.
Meskipun “Jiwa & Raga” membawa tema cinta, kesetiaan dan pengorbanan, Yusry percaya mesej yang disampaikan dalam lagu ini bersifat “universal” dan dekat dengan pengalaman
ramai pendengar.
Menurut beliau, setiap insan pasti pernah melalui fasa-fasa tertentu dalam kehidupan yang melibatkan cinta, kehilangan, kerinduan atau pengharapan, menjadikan emosi yang dibawakan dalam lagu ini mudah untuk difahami dan dihayati.
“Siapa sahaja yang tidak pernah melalui pengalaman mencintai, merindui atau kehilangan
seseorang dalam hidup? Saya rasa itulah yang menjadikan lagu ini dekat dengan ramai orang. Emosi yang ada dalam “Jiwa & Raga” bukan milik seorang individu sahaja, tetapi sesuatu yang boleh dirasai oleh sesiapa sahaja,” jelasnya.
Bagi memastikan mesej dan emosi lagu ini dapat disampaikan dengan sebaiknya, Yusry menggunakan pendekatan yang lebih ‘natural’ ketika sesi rakaman berlangsung.
“Saya cuba sampaikan lagu ini dengan sejujur mungkin. Bagi saya, lagu seperti ini tidak
memerlukan nyanyian yang berlebihan kerana kekuatannya sudah ada pada cerita dan
emosinya. Saya hanya mahu pendengar dapat rasakan setiap bait lirik itu dengan cara mereka sendiri,” akuinya.
Dalam masa sama, Yusry turut memuji keupayaan Luca Sickta dalam menghasilkan karya yang bukan sahaja mudah melekat di ingatan, tetapi juga memiliki emosi yang mendalam.
“Luca ada kelebihan menghasilkan melodi yang terus ‘masuk’ bila kita dengar, tapi pada masa sama dia sangat bijak bermain dengan emosi dalam penulisan lirik. Itu yang menjadikan “Jiwa & Raga” lebih istimewa,” kata Yusry tanpa berselindung.

Beliau juga menyifatkan lagu tersebut sebagai antara karya solo paling mendalam pernah
dirakamkannya sepanjang perjalanan seninya.
Yusry berharap lagu tersebut mampu menjadi teman emosi kepada sesiapa yang pernah mencintai dan memberi sepenuh hati dalam sebuah hubungan.
“Saya harap lagu ini dapat menemani mereka yang sedang melalui rasa kehilangan, kesetiaan atau pengorbanan dalam cinta. Kadang-kadang kita cuma perlukan sebuah lagu untuk faham bahawa setiap perasaan itu pernah dirasai oleh orang lain,” katanya yang kini popular dengan watak Datuk Muzaffar dalam drama “Dendam Seorang Mentua”.
Watak tersebut berjaya mencetuskan fenomena tersendiri dalam kalangan penonton, sekali gus memperlihatkan aura dan karisma beliau yang terus kukuh sebagai figura hiburan tanah air.
Sementara itu, kata Luca, sejak awal proses penciptaan, beliau sudah membayangkan suara Yusry kerana percaya penyanyi itu mempunyai kematangan dan kejujuran yang diperlukan untuk menghidupkan emosi karya tersebut.
“Saya mahu “Jiwa & Raga” kedengaran jujur dan dekat dengan kehidupan sebenar. Lagu ini berkisar tentang cinta, kesetiaan dan pengorbanan yang ramai pernah lalui.
“Sejak awal lagi, saya dapat membayangkan Yusry menyampaikan emosi itu dengan cara yang sangat tulus dan bermakna,” ujar Luca.
“Jiwa & Raga” kini boleh distrim di semua platform penstriman digital utama seperti Apple Music, Spotify dan YouTube.


