Oleh: Syed Yusof Wafa
Atas sokongan, Pengarah Promosi Antarabangsa (ASEAN), Baizuri Baharum, baru-baru ini telah mengadakan lawatan ke Bazaria Laman Kencana @ Dataran Niaga Selayang Mutiara, sebuah pusat makanan dan perniagaan yang dikendali & dibangunkan oleh artis terkenal, Illa Sabry dan keluarganya
Kehadiran Baizuri ke lokasi tersebut bukan sahaja bertujuan meninjau perkembangan pusat perniagaan berkenaan, malah sebagai tanda sokongan terhadap usaha dan kegigihan Illa Sabry dalam mengembangkan bidang keusahawanan selain kerjaya seni yang diceburinya sejak sekian lama.
Dalam lawatan itu, Baizuri meluangkan masa meninjau pelbagai gerai makanan yang beroperasi di Bazaria Laman Kencana serta beramah mesra dengan para peniaga dan pengunjung.

Beliau menyifatkan usaha yang dilakukan oleh Illa Sabry yang juga pemilik restaurant Cik Gebu Rasa Kayangan sebagai satu contoh yang baik kepada golongan artis yang ingin menceburi bidang perniagaan dan memberi sumbangan kepada ekonomi setempat.
Menurut Baizuri, Bazaria Laman Kencana mempunyai potensi besar untuk menjadi salah satu destinasi makanan pilihan di kawasan Batu Caves kerana menawarkan pelbagai jenis hidangan yang mampu memenuhi cita rasa masyarakat pelbagai kaum.
“Tempat ini mempunyai konsep yang menarik dengan kepelbagaian makanan yang ditawarkan. Ia bukan sahaja menjadi pusat perniagaan, malah mampu menjadi lokasi tumpuan pelancong domestik dan antarabangsa yang ingin menikmati makanan tempatan,” katanya.
Bazaria Laman Kencana yang terletak di Dataran Niaga Selayang Mutiara, Batu Caves merupakan medan selera yang semakin mendapat perhatian ramai. Pusat makanan ini menghimpunkan pelbagai gerai terkenal yang menawarkan hidangan masakan panas, sate, makanan tradisional, serta aneka pencuci mulut yang menjadi kegemaran pengunjung serta anda boleh berkaraoke bersama keluarga.

Antara gerai yang menjadi tarikan utama ialah Cik Gebu Rasa Kayangan, Kambing Bakar Hunt to Grill, Ayo Chicken, Aliff Nasi Kukus, Mohamad Roti Nans, Sotong Kangkung Khairol, Kopi Pak Belalang, Smash Burger John Labu, Nakhoda Kassim Char Kuey Teow, Satay Pak Rahim, serta pelbagai pilihan pencuci mulut termasuk kunafa yang mendapat sambutan hangat daripada pelanggan.
Selain menikmati hidangan yang disediakan, pengunjung turut berpeluang merasai suasana santai dan mesra keluarga yang menjadi identiti Bazaria Laman Kencana. Keadaan lokasi yang strategik serta kemudahan yang selesa menjadikan pusat makanan ini semakin dikenali dalam kalangan penduduk sekitar Selayang dan Batu Caves.
Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah Dr. Khairul Helmi Abdul Manap, yang kini berkhidmat sebagai Timbalan Pengarah Kanan di Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Tourism Malaysia. Kehadiran beliau menambahkan lagi signifikan lawatan tersebut dalam usaha memperkasakan sektor pelancongan dan industri makanan tempatan.
Sementara itu, Illa Sabry meluahkan rasa terharu dan berbesar hati atas kesudian Baizuri Baharum serta Dr. Khairul Helmi hadir melawat Bazaria Laman Kencana. Beliau menyifatkan kunjungan tersebut sebagai satu penghargaan besar terhadap usaha yang dilakukan dalam membangunkan pusat perniagaan berkenaan.

“Saya amat bersyukur dan berterima kasih atas sokongan yang diberikan. Kehadiran mereka memberikan semangat kepada saya dan seluruh pasukan untuk terus memajukan Bazaria Laman Kencana sebagai destinasi makanan yang dikenali ramai,” katanya.
Beliau turut berharap Bazaria Laman Kencana akan terus berkembang dan menjadi platform kepada usahawan tempatan untuk mempromosikan produk serta makanan mereka kepada khalayak yang lebih luas.
Maklumat Bazaria Laman Kencana @ Dataran Niaga Selayang Mutiara
Lokasi: Bazaria Laman Kencana, Dataran Niaga Selayang Mutiara, 68100 Batu Caves, Selangor.
Waktu Operasi: Selasa hingga Ahad, 11.00 pagi hingga 1.00 pagi.
Tarikan utama: Pelbagai gerai makanan popular, masakan panas, western, sate, kunafa dan pencuci mulut.
Sesuai untuk: Keluarga, penggemar makanan tempatan dan pelancong yang ingin menikmati suasana santai sambil menjamu selera.
Lawatan Baizuri Baharum ke Bazaria Laman Kencana membuktikan bahawa usaha gigih dan komitmen tinggi dalam bidang keusahawanan mampu membuka peluang baharu serta memberi impak positif kepada komuniti setempat, sekali gus mengangkat industri makanan dan pelancongan negara ke tahap yang lebih baik.


