Oleh: Khadijah Ibrahim
TIDAK ada perasaan menyesal atau serik untuk meneruskan minatnya menakluk gunung yang terdapat di muka bumi ini. Itulah semangat diri yang ada pada RJ Nagarajan, rakyat Malaysia kedua yang berjaya menawan puncak Everest pada Mei 2023.
Kejayaan yang diraih oleh Nagarajan atau lebih mesra dipanggil RJ mahupun Rajan yang kini berusia awal 60-an itu ada impak pada dirinya.
Malang tidak berbau kerana ketika dalam perjalanan turun dari puncak tertinggi dunia itu menuju ke kem empat Everest, beliau mengalami simptom buta salji.
Simptom itu berlaku kerana kesan pantulan pancaran sinar matahari ke atas salji menyukarkan penglihatan dan membataskan pergerakan turun Nagarajan, selepas menawan puncak Everest pada ketinggian 8,848 meter menerusi misi program ZeroTo8000.

Pada ketika itu beliau turut mengalami radang dingin (frostbite) di kedua-dua tangan dan kaki serta pipi kesan cuaca sejuk ekstrem melebihi – 40 darjah Celcius.
Akibat daripada permasalahan tersebut beliau perlu menjalani rawatan secara intensif dan selepas kembali ke tanah air, Nagarajan mendapat perhatian UKM Specialist Centre (UKMSC) untuk merawatnya.
Kes yang dialami oleh Nagarajan, merupakan satu cabaran perubatan yang luar biasa, khususnya apabila beliau mengalami severe pan-digital frostbite yang melibatkan kesemua lima jari tangan kanannya, iaitu keadaan yang amat jarang berlaku dan sangat kompleks di negara beriklim tropika seperti Malaysia.
Namun pasukan multidisiplin UKMSC berjaya memelihara fungsi tangan Nagarajan melalui proses rekonstruksi kompleks selama 10 bulan selepas beliau mengalami kecederaan radang dingin (frostbite) yang teruk ketika ekspedisi Gunung Everest sebelum ini.
Berbanding memilih amputasi keseluruhan tangan yang boleh menjejaskan keupayaan pesakit untuk menjalani aktiviti harian secara kekal, pasukan perubatan UKMSC mengambil pendekatan rekonstruktif yang inovatif bagi memelihara sebanyak mungkin fungsi tangan pesakit.

Kejayaan rawatan ini dicapai hasil kerjasama erat antara Dr. Adzim Poh Yuen Wen, Pakar Perunding Bedah Plastik dan Rekonstruktif, serta Prof. Dr. Shalimar Abdullah, Pakar Perunding Ortopedik (Pembedahan Tangan dan Mikrosurgeri), yang mengetuai keseluruhan proses rekonstruksi dan pemeliharaan fungsi tangan sepanjang tempoh rawatan selama 10 bulan.
“Setiap kejayaan rawatan pesakit merupakan bukti dedikasi, kerjasama dan keprihatinan warga profesional kesihatan kami.
“Di UKM Specialist Centre, kami percaya bahawa proses penyembuhan bukan sekadar merawat penyakit, malah mengembalikan maruah, membina semula keyakinan dan memperkasakan individu untuk menjalani kehidupan yang lebih sihat.
“Berpandukan aspirasi Healing Lives, Empowering Wellness, kami kekal komited dalam memberikan penjagaan kesihatan bertaraf dunia yang berpusatkan pesakit kepada setiap komuniti yang kami berkhidmat,” kata Pengarah Perubatan, UKM Specialist Centre, Prof. Madya Dato’ Badrul Akmal Hisham Md Yusoff.
Ternyata gabungan kepakaran Dr. Adzim dan Prof. Dr. Shalimar dalam bidang pembedahan rekonstruktif, pembedahan tangan dan mikrosurgeri memainkan peranan penting dalam memelihara fungsi tangan Nagarajan serta memulihkan kualiti hidup beliau.

Kejayaan pemilihan luar biasa pendaki itu membuktikan kepentingan pendekatan multidisiplin oleh pakar-pakar dalam menguruskan kes rekonstruktif yang sangat kompleks.
Kes bersejarah ini menunjukkan bahawa kepakaran serta teknologi perubatan Malaysia mampu memberikan rawatan bertaraf dunia. Sekali gus menawarkan harapan baharu, mengembalikan keupayaan berdikari dan meningkatkan kualiti hidup pesakit yang mengalami kecederaan serius serta mengubah kehidupan.
Di sebalik kejayaan perubatan ini, perjalanan luar biasa Nagarajan menjadi simbol ketabahan semangat manusia serta membuktikan bagaimana kemajuan teknologi dan kepakaran penjagaan kesihatan mampu membantu pesakit membina semula kehidupan mereka dan mengejar impian sekali lagi.
Bagi Nagarajan, meskipun doktor menasihatkan beliau agar ‘berehat’ daripada meneruskan minatnya itu, namun selepas merasakan tahap kesihatannya kembali baik selepas rawatan tersebut, beliau kembali aktif dalam aktiviti pendakian dan berjaya menawan Gunung Makalu, gunung kelima tertinggi di dunia.
Nagarajan tidak akan berundur selagi belum memenuhi impian untuk misi penjelajahan ke Kutub Utara dan Kutub Selatan.


