Eco-Fest 2026 tonjol eco print sempena Tahun Melawat Malaysia

Oleh: Khadijah Ibrahim

SUDAH lama kita mengetahui tentang batik canting atau batik tulis. Batik canting ialah seni tekstil tradisional di mana corak yang rumit dilukis menggunakan alat seperti pen yang dipanggil canting untuk melakar lilin panas pada kain.

Kain batik canting boleh dipelbagaikan menjadi pakaian lelaki dan wanita seperti baju kurung, baju Melayu, kemeja korporat, kaftan (baju kelawar) dan blazer. Pemilihan fabrik yang betul seperti sutera, kapas, atau viscose sangat penting bergantung pada kesesuaian gaya.

Apa kata sekarang ini kita mendalami ilmu mengenali eco print (cetakan eco) batik pula. Eco print adalah teknik menghias fabrik menggunakan pigmen dan bentuk semula jadi daripada tumbuhan.

Proses mesra alam ini memindahkan warna dan corak daun, bunga, atau batang pokok ke atas bahan asas melalui kaedah susunan, tekanan, dan haba.

Heintje Nazaruddin bakal mempamerkan fesyen rekaannya yang dibuat menggunakan kaedah eco print sempena Eco-Fest 2026 pada September ini.

Menggunakan tumbuhan sebenar; tiada bahan pewarna kimia sintetik berbahaya yang digunakan. Setiap cetakan adalah satu-satunya di dunia. Corak bergantung pada tindak balas semula jadi daun. Paling berkesan pada fabrik serat semula jadi seperti kapas, sutra, atau linen.

Jika anda ingin melihat hasil seni eco print, jangan ketinggalan untuk hadir ke Festival Eco-Fest 2026, pada 4 hingga 6 September ini di Fahrenheit 88, Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Festival yang menampilkan slogan ‘Think Sustainable, Act Responsible’ itu dianjurkan oleh Legasi Indah dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Acara itu bakal menghimpunkan penggiat industri seni dan budaya termasuk pereka fesyen serta kraftangan menerusi pelbagai aktiviti berteraskan kelestarian alam sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.

Pengasas festival yang juga pereka fesyen terkenal, Heintje Nazarudin berkata, penganjuran festival tersebut, bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan memelihara alam sekitar menerusi penggunaan teknik ‘eco print’, iaitu penghasilan fabrik menggunakan pewarna semula jadi daripada daun dan bunga.

Antara rekaan Heintje yang pernah dihasilkan.

“Di festival ini, pengunjung dapat melihat produk eco print, selain memberi pendedahan mengenai fesyen lestari yang mesra alam yang berpotensi menjadi produk pelancongan negara yang unik.

“Menariknya, sepanjang festival berlangsung, pengunjung berpeluang menyaksikan pameran pelbagai produk eco print termasuk pakaian, fabrik, aksesori, beg tangan dan kasut melalui pertunjukan fesyen yang menampilkan koleksi eksklusif daripada tiga pereka fesyen tempatan,” katanya.

Menurut Heintje lagi, acara tersebut juga akan dimeriahkan dengan pelbagai persembahan, pertandingan dan perarakan berskala besar bagi menarik perhatian pengunjung di sekitar Bukit Bintang.

“Selain pameran dan pertunjukan fesyen, kita juga menampilkan persembahan daripada penyanyi popular tanah air, termasuk pemain biola, Dr. Julian Lee.

“Festival ini juga terbuka untuk kanak-kanak kerana kita akan adakan pertandingan pencarian Dewi Rimba yang para pesertanya adalah kanak-kanak antara usia 7 hingga 13 tahun. Untuk pertandingan tersebut, mereka akan memakai pakaian-pakaian yang diperbuat daripada elemen fauna dan flora.

“Paling menarik pada hari Sabtu dan Ahad itu nanti, kita akan ada perarakan yang akan berarak di hadapan pancutan air Pavilion tu dengan paluan kompang dan sebagainya.

Sering terlibat dalam acara bertaraf antarabangsa.

“Saya percaya ia akan menarik perhatian orang ramai termasuk pelancong yang berada di kawasan itu untuk singgah dan melihat sendiri keunikan Eco-Fest 2026,” katanya penuh yakin.

Ujarnya lagi, sebanyak 16 vendor akan mempamerkan produk masing-masing sepanjang festival tersebut berlangsung.

“Designer yang akan sertai eco print ini adalah vendor yang terdiri daripada pelbagai produk eco print. Untuk fesyen show peragaan pakaian-pakaian daripada eco print ada tiga designer termasuk saya. Kita juga akan tampilkan model-model yang terdiri daripada Ratu Cantik untuk lebih menarik.

“Saya sendiri akan tampil dengan lapan design, ego print. Saya akan mengetengahkan koleksi eco print bertaraf antarabangsa bagi memperkenalkan fesyen lestari Malaysia ke peringkat dunia.

“Kita juga ada perancangan untuk membawa program ini ke Dubai tahun depan, insya-Allah kalau ada rezeki kita akan memasarkan produk eco print ini di ekspo Dubai. Itu kita punca perancangan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata Eco-Fest 2026 mampu mengangkat warisan negara sambil mempromosikan budaya, seni dan kelestarian selaras dengan aspirasi Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Saya yakin eco print merupakan satu produk yang boleh kita bangunkan untuk Malaysia, dengan harapan masyarakat berganding bahu mempromosikan produk ini, kerana ia juga mampu menyumbang kepada sektor pelancongan negara kita,” jelasnya yang berusia awal 60-an itu.

Bermula sebagai penari, kini Heintje berjaya meletakkan dirinya sebagai salah seorang pereka fesyen terkenal di dalam dan luar negara.

Insan yang dikurniakan pelbagai bakat itu mengakui beliau tidak pernah mendapat pendidikan khusus tentang dunia fesyen yang diceburinya hingga kini.

“Saya asalnya adalah seorang penari Kebudayaan di Kompleks Budaya Negara. Kemudian saya sertai RTM sejak awal 80-an dan bersama RTM kira-kira 20 tahun di bahagian hiburan. Banyak konsert, program Kebudayaan berbentuk moden dan banyak kali mewakili RTM sendiri untuk joint venture dengan negara-negara ASEAN untuk program besar.

“Saya dah terlibat lebih dari 300 program TV, konsert TV dan sebagainya. Selain menjadi koreografer di RTM, saya juga membantu untuk stylist kepada penyanyi-penyanyi yang terlibat dalam program hiburan.

“Kemudian saya menubuhkan kumpulan saya sendiri. Dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dan Malaysia Airlines kita membuat promosi pelancongan ke luar negara. Hampir seluruh negara Eropah, Amerika Syarikat, Timur Tengah serta Asia saya dah pergi buat promosi..

“Sekarang ni saya banyak terlibat untuk Ratu-Ratu Cantik peringkat international. Contohnya, Miss Universe, Miss Global, Miss Global Asian, Miss Worldwide, Miss Asia dengan beberapa penganjur di dalam dan luar negara. Saya selalu diberi tanggungjawab untuk pakaian tradisional dan banyak kali menang juga.

“Saya dah design lama kerana sebagai koreografer dah mula design pakaian penari-penari saya. Saya juga adalah wedding planner untuk beberapa negara termasuk di Brunei. Masa Stacy dan Akim pun saya yang jadi wedding planner dia dan juga untuk Bella Daly,” cerita Heintje tentang pengalamannya.

Tambah anak ketiga daripada enam beradik yang berasal dari Kluang, Johor itu, sebaik tamat sekolah menengah beliau terus mengatur langkah ke ibu kota untuk menjadi seorang penari.

“Saya build up saya punya karier daripada seorang penari. Saya pernah juga bekerja di bank, syarikat swasta sebagai GM, sebagai Pegawai Kebudayaan di Telekom Malaysia dan beberapa lagi tapi itu semua tidak menepati kemahuan jiwa saya dan balik semula ke dunia saya.

“Sebagai seorang anak seni saya ingin melihat perkembangan seni baik daripada seni tari atau kreatif, kita dapat mengembangkan di Malaysia. Saya yakin di Malaysia kita mempunyai banyak aset dan kita harus tahu macam mana nak mempromosi, menggunkannya dan memasarkannya.

“Saya harap untuk eco print batik ini masyarakat dapat menerima dan dapat membantu usahawan yang pada masa ini bekerja keras untuk menaikkan dan mempromosikan produk eco print ini. Kita juga berkolaborasi melalui media sosial dengan pengusaha di Malaysia, Indonesia, Thailand dan India setakat ini.

“Sesungguhnya, saya bersyukur kerana dilahirkan dengan pelbagai bakat. Sekarang ini juga saya sebagai koreografer, wedding planner, designer dan saya juga sebagai MC di event-event tertentu dan saya juga menyanyi untuk event korporat.

“Kadang-kadang orang kata kita tamak sebab tapau banyak tapi kita tak dapat mengelak sebab Allah dah bagi kita bakat tu dan kita kena pandai menyalurkan kat mana saluran itu,” katanya dengan rasa syukur.

Latest

Sajian menu Pantai Timur di Rumoh Mekda

Oleh: Khadijah Ibrahim JIKA orang Kelantan, Terengganu dan Pahang yang...

Hashimah Yon digelar seniwati paling seksi!

Oleh SYED WAFA Foto KOLEKSI SYED WAFA Sumber : Ladybosz (Terima...

Dulu tak percaya, kini Issey Miyake guna TikTok untuk cari rezeki

Oleh: Khadijah Ibrahim SEKARANG ini antara platform media sosial yang...

Dulu ‘introvert’, kini AG9 Official jadi Pengurus Bakat di KamiSempoi Premier Academy

Oleh: Khadijah Ibrahim SEKARANG ini ramai yang ingin menjadi pempengaruh...
spot_img

Jangan Terlepas!

Aneka Walk tampilkan pelbagai acara menarik untuk pengunjung

Oleh: Khadijah Ibrahim SEWAKTU penulis belajar di Institut Teknologi MARA,...

Hashimah Yon digelar seniwati paling seksi!

Oleh SYED WAFA Foto KOLEKSI SYED WAFA Sumber : Ladybosz (Terima...

Zaharah Agus seniwati serba boleh !

Oleh SYED WAFA Foto KOLEKSI SYED WAFA Sumber : Ladybosz (Terima...

Dulu ‘introvert’, kini AG9 Official jadi Pengurus Bakat di KamiSempoi Premier Academy

Oleh: Khadijah Ibrahim SEKARANG ini ramai yang ingin menjadi pempengaruh...
Khadijah Ibrahim
Khadijah Ibrahim
Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia, pernah menjadi wartawan hiburan di Ladybosz.com serta berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7 terbitan theStar.
spot_imgspot_img

Sajian menu Pantai Timur di Rumoh Mekda

Oleh: Khadijah Ibrahim JIKA orang Kelantan, Terengganu dan Pahang yang menetap di ibu kota, rindu untuk menikmati makanan seperti masakan ibu di kampung, bolehlah singgah...

Hashimah Yon digelar seniwati paling seksi!

Oleh SYED WAFA Foto KOLEKSI SYED WAFA Sumber : Ladybosz (Terima Kasih Datuk Sri Rozita Ramelan) WALAUPUN memulakan langkah sebagai pelakon kanak-kanak ketika berusia 11 tahun dalam...

Dulu tak percaya, kini Issey Miyake guna TikTok untuk cari rezeki

Oleh: Khadijah Ibrahim SEKARANG ini antara platform media sosial yang sering mendapat perhatian warga maya adalah TikTok kerana ia merupakan platform video berdurasi pendek yang...