Oleh: Khadijah Ibrahim
TAHUN ini merupakan 25 tahun , penyanyi Shila Amzah terbabit dalam bidang seni suara. Sempena sambutan Jubli Perak beliau bergelar anak seni, Shila bakal mengadakan konsert istimewa, “KITA – 25 Tahun Bersama”, yang akan berlangsung pada 15 Ogos 2026, jam 7.30 malam di Arena of Stars, Resorts World Genting.
Konsert anjuran Pink Asia itu merupakan simbol penghargaan terhadap perjalanan seni Shila selama suku abad, selain meraikan sokongan tidak berbelah bahagi daripada para peminat yang sentiasa bersama beliau sejak awal pembabitannya dalam dunia hiburan.
Shila memulakan kerjaya seni sejak zaman kanak-kanak lagi dan pada usia 10 tahun, beliau sudah ada album pertama, “Terima Kasih Guru”. Pada ketika itu beliau lebih dikenali dengan nama lengkapnya, Nurshahila Amir Amzah.
Anak sulung daripada empat beradik itu juga pernah menggunakan nama pentas Sha-Hila sewaktu tampil dengan album kedua. Selepas menyertai program realiti One In A Million sebagai pemenang tempat kedua, beliau lebih dikenali dengan nama Shila OIAM dan kini beliau berjaya dengan nama Shila Amzah.
Shila yang bakal mencecah usia 36 tahun pada 13 Ogos ini, mengakui sebelum berada di kedudukan sekarang sudah banyak suka duka yang dilalui.

“Banyak perkara yang saya lalui dalam kehidupan sebelum ini menghalang saya untuk terus bergerak ke depan. Jadi apabila saya dapat peluang ini sekarang, walaupun pada usia sekarang, saya rasa itu menginspirasikan diri saya sendiri untuk kuat, tak kira di umur berapa pun kita boleh mengatur langkah baharu.
“We can develop our self, kita boleh buat benda yang kita suka. Saya dah merasakan banyak peluang untuk saya belajar. Sejujurnya tahun ke-25 tahun ini saya sangat menghargai sebab saya ada 100 peratus kebebasan, ini yang saya selalu mimpikan.
“Saya ada kebebasan bersuara untuk melakukan apa-apa keputusan besar untuk hidup dan kerjaya saya. Inilah masa yang tepat, saya sangat bersyukur kerana apa-apa yang berlaku sebelum ini menjadikan siapa saya sekarang.
“Ubai (suami) adalah orang yang paling memberi dorongan dan sokongan, sekarang kami sama-sama mengorak langkah untuk pencapaian saya bagi zaman ini dan mendatang. Saya rasa cukup bersyukur,” kata Shila tanpa berselindung.
Tambahnya, jika apa yang disasar berjalan lancar dan pantas, beliau tidak akan menolak seandainya beliau perlu berhijrah kembali ke China pada hujung tahun hadapan.
“Pada 1 Ogos ini, saya akan berada di China dan saya akan stay sampai 8 Ogos sebab tour saya kat sana. Kemudian saya balik ke Malaysia seminggu untuk konsert dan kemudian fly balik ke sana.

“Di bulan Ogos, bulan kelahiran saya, saya rasakan alhamdulillah atas apa perit lelah yang telah saya lalui sebelum ini dan saya merasakan ini adalah rezeki yang tak ternilai,” katanya yang bakal tandatangani kontrak yang lama di China.
Shila yang sedang menyiapkan album Mandarin yang bakal berada di pasaran tahun depan itu berkata, beliau tiada masalah jika perlu menetap di China kerana sebelum ini sudah pernah berada di sana selama lapan tahun.
“Saya duduk di China dari 2012 selama lapan tahun. Saya kembali ke Malaysia sebab kahwin dulu. Bagi saya di mana ada rezeki di situlah saya.
“Sekarang saya sedang buat album Mandarin. Mungkin hujung tahun depan album dipasarkan dan progres kerja dah bermula daripada sekarang,” jelasnya.
Sebelum ini Shila pernah mengeluarkan album Mandarin, “My Journey” pada 2016 yang menggandingkan beliau dengan komposer, penulis lirik dan penerbit dari Hong Kong, China dan Malaysia kerana album tersebut diterbitkan oleh syarikat rakaman beliau, Shilala (HK) Limited di Beijing, China.
Memandangkan peminatnya bukan sekadar rakyat tempatan, untuk konsert “KITA – 25 Tahun Bersama”, Shila akan mendendangkan kira-kira 40 buah lagu, di mana 17 daripadanya adalah lagu Mandarin dan selebihnya lagu Melayu dan Inggeris.

“Saya akan nyanyi 40 lagu, dalam 17 lagu adalah lagu Mandarin dan yang lain campuran lagu bahasa Melayu dan Inggeris. Untuk konsert ini ada peminat dari China juga yang sudah membeli tiket dan jualan tiket untuk konsert ini sudah mula dijual di sana. Alhamdulillah kita akan nampak peminat saya berbilang kaum.
“Dari segi pemilihan lagu 90 peratus saya yang pilih. Muzik yang akan iring adalah band saya sendiri, mereka ini yang iringi saya masa konsert kat DFP (Dewan Filharmonik) hari tu. Mereka benar-benar mengenali saya dan tak payah nak cari keserasian. Malah tour saya kat China pun mereka juga.
“Untuk konsert ini juga, saya ambil kesempatan untuk buat tribute kepada Allahyarham Sudirman, Michael Jackson dan kepada Fish Leong, legenda penyanyi Cina tempatan yang dah bawa nama Malaysia ke Taiwan pada tahun 2000-an lagi. Saya rasa sosok-sosok ini yang betul-betul menginspirasikan saya sehinnga saya memasuki 25 tahun dalam bidang seni ini,” jelasnya.
Untuk konsert tersebut Shila bukan seorang diri tapi akan diserikan dengan penampilan rakan artis lain iaitu DJ Fuzz, Balan Kashmir, Kidd Santhe, Mimifly dan Hael Husaini.
Kehadiran mereka dijangka menyuntik kelainan menerusi kolaborasi eksklusif dan persembahan yang hanya dapat disaksikan pada malam tersebut, sekali gus menjadikan “KITA – 25 Tahun Bersama” sebuah produksi yang menghimpunkan pelbagai genre muzik dalam satu pentas.
Shila berkata, beliau teruja dapat berkongsi pentas bersama rakan-rakan artis yang banyak mewarnai industri muzik tempatan.
“Malam tersebut akan menjadi sebuah persembahan yang sangat dekat di hati saya. Saya juga sangat teruja dapat berkongsi pentas dengan rakan-rakan artis yang saya hormati kerana mereka masing-masing mempunyai identiti dan kekuatan tersendiri.
“Saya percaya gabungan ini akan menjadikan “KITA – 25 Tahun Bersama” lebih istimewa dan saya berharap semua yang hadir akan pulang dengan kenangan yang sukar dilupakan,” katanya.

Bagi Shila, “Konsert ‘KITA – 25 Tahun Bersama” bukan sekadar meraikan ulang tahun ke-25 beliau dalam industri muzik, tetapi lebih kepada menghargai setiap insan yang menjadi sebahagian daripada perjalanan kerjaya seninya.
“Saya percaya setiap lagu yang pernah saya nyanyikan mempunyai cerita tersendiri dan saya mahu menghidupkan semula semua kenangan itu bersama para peminat yang sentiasa berada di sisi saya sejak hari pertama,” ujarnya.
Sepanjang persembahan nanti, Shila bakal menyampaikan 40 buah lagu yang merangkumi karya Melayu, Mandarin dan Inggeris, termasuk lagu-lagu ikonik seperti Ada Saja, Tragik, Kita Berdansa, Patah Seribu Hatiku, Oscar Winning Tears, Forever Love, Masih Aku Cinta, Memori Tercipta dan Temberang, selain beberapa lagu Mandarin yang telah melonjakkan namanya di pentas antarabangsa.
Sementara itu, tiket-tiket yang dijual pada harga VIP – RM599, SA1 – RM399, SA2 – RM249,(Restricted View), SA3 – RM249, SA4 – RM199 dan SA5 – RM149 boleh didapati menerusi Ticket2U Malaysia dan Resorts World Genting.
Lebih menarik, pemegang tiket juga layak menikmati diskaun 20% untuk makanan dan minuman kegemaran di mana-mana cawangan The Coffee Bean & Tea Leaf Malaysia yang mengambil bahagian dengan hanya menunjukkan tiket konsert dalam tempoh tiga hari dari tarikh pembelian.
Promosi eksklusif ini merupakan sebahagian daripada kerjasama antara Pink Asia dan The Coffee Bean & Tea Leaf Malaysia bagi memberikan nilai tambah kepada peminat sambil bersama-sama meraikan “KITA – 25 Tahun Bersama” bersama Shila Amzah di Arena of Stars, Resorts World Genting.
Konsert “KITA – 25 Tahun Bersama” merupakan anjuran Pink Asia dengan sokongan The Coffee Bean & Tea Leaf selaku Rakan Rasmi, manakala Resorts World Genting dan Visit Malaysia 2026 tampil sebagai Rakan Strategik dalam menjayakan penganjuran konsert berprestij tersebut.


