Altimet “Pegang Tangan” bersama Adam Nuqris

Oleh: Khadijah Ibrahim

KITA hanya merancang, Allah yang menentukan kerana Allah adalah sebaik-baik Perancang. Pada November 2018, penyanyi rap Altimet mengumumkan persaraannya dari dunia seni suara.

Keputusan tersebut dibuat ketika usianya mencecah 40 tahun selepas berkhidmat selama sedekad dalam bidang muzik.

Kini selepas lapan tahun tidak merakam suara, Altimet, 48, kembali merakam lagu bersama penyanyi baharu Adam Nuqris menerusi single berjudul “Pegang Tangan”. Kali terakhir beliau tampil dengan album berjudul “O”.

Altimet atau Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadah, 48, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor bagi kawasan Lembah Jaya, membuat kemunculan yang tidak dijangka.

Gandingan dua generasi yang berbeza mencerminkan keserasian kreatif antara mereka.

“Pegang Tangan”, adalah sebuah karya daripada arkib penulisan muzik peribadinya yang kini diberi nafas baharu melalui perspektif vokal dan interpretasi Adam Nuqris.

Diterbitkan di bawah Altimet Holdings Sdn. Bhd. dan diuruskan oleh SVLTAN Management, “Pegang Tangan” hadir sebagai sebuah karya yang lahir secara organik, bukan dirancang sebagai sebuah kempen besar, tetapi terbentuk daripada momen sebenar dan konteks kehidupan semasa kedua-dua artis.

Kolaborasi antara Altimet dengan Adam Nuqris tidak bermula dengan perancangan industri atau strategi pemasaran, sebaliknya terbentuk secara semula jadi.

Altimet menjelaskan bahawa karya ini hadir pada waktu yang sangat peribadi dan bermakna dalam hidupnya.

“Lagu ini datang dalam keadaan yang sangat organik. Ia bukan tentang kembali semula secara besar-besaran, tetapi lebih kepada satu karya yang jujur, lahir daripada momen dan perasaan sebenar. Kadang-kadang lagu yang paling ringkas itulah yang paling dekat di hati,” katanya.

Jelasnya, lagu tersebut diinspirasikan daripada hubungan antara ibu dan anak. “Pegang Tangan” membawa naratif emosi yang berkembang melalui beberapa fasa kehidupan.

Bermula daripada zaman kanak-kanak, saat bergantung kepada bimbingan, kepada fasa dewasa yang lebih berdikari, sehinggalah detik apabila peranan itu bertukar ketika berdepan dengan cabaran kehidupan dan kesihatan.

Lagu tersebut disampaikan dengan pendekatan yang sederhana, tanpa elemen dramatik berlebihan, sebaliknya menekankan kejujuran emosi dan pengalaman yang dekat dengan realiti kehidupan manusia.

Gandingan ini mencerminkan keserasian kreatif antara dua generasi, seorang figura berpengaruh dalam hip hop tempatan, dan seorang pendatang baharu yang sedang membina identiti melalui pendekatan penceritaan yang lebih peribadi.

Adam Nuqris, yang baru sahaja diperkenalkan menerusi single solo “Alasan”, meneruskan fokusnya terhadap karya berteraskan emosi, kejujuran dan pengalaman hidup, menjadikan “Pegang Tangan” sebagai kesinambungan kepada perjalanan artistiknya.

Lagu “Pegang Tangan” dekat dengan hati pendengar kerana ia berkisar realiti kehidupan.

Dari sudut kreatif, “Pegang Tangan” merupakan sebuah karya hip-hop mellow yang ditulis oleh Altimet dan digubah oleh Mas Dewangga, dengan susunan muzik yang minimalis namun hangat serta reflektif.

Pendekatan produksi yang sederhana ini memberi ruang kepada lirik dan penyampaian vokal untuk menjadi teras utama lagu.

Adam Nuqris pula menyifatkan peluang bekerjasama dengan Altimet sebagai satu penghormatan besar dalam perjalanan awal kerjayanya.

“Bagi saya, ini bukan sekadar kolaborasi. Ia adalah ruang untuk belajar dan memahami bagaimana sebuah lagu boleh membawa makna yang sangat dalam walaupun disampaikan secara sederhana.

“Saya bersyukur diberi kepercayaan untuk menjadi sebahagian daripada karya istmewa ini,” kata Adam Nuqris.

Menurut kedua-dua artis, “Pegang Tangan” tidak pernah dirancang sebagai sebuah projek besar. Ia hadir secara organik hasil daripada situasi semasa, menjadikan rakaman ini lebih bersifat peribadi dan dekat dengan pengalaman sebenar.

Ketiadaan tekanan komersial dalam proses penghasilannya membolehkan lagu ini berkembang secara lebih telus dan jujur, tanpa terikat kepada tuntutan pasaran atau formula muzik semasa.

Walaupun sebelum ini Altimet mengumumkan pengundurannya daripada dunia rap, “Pegang Tangan” menjadi bukti bahawa muzik masih mempunyai ruang dalam kehidupannya, walaupun dalam bentuk yang berbeza.

Kemunculan ini tidak dilihat sebagai “comeback”, sebaliknya sebagai satu karya yang hadir pada masa yang tepat, dengan mesej yang dekat dengan hatinya. Sebagai pelengkap kepada perjalanan lagu ini, sebuah visualiser rasmi dilancarkan.

Pelancaran visualiser tersebut dijangka memperkukuhkan lagi naratif dan emosi yang dibawa menerusi “Pegang Tangan”, sekali gus memberikan dimensi visual kepada karya yang telah menyentuh hati ramai pendengar sejak dilancarkan.

“Pegang Tangan” oleh Altimet feat. Adam Nuqris yang dilancarkan pada 8 Mei lalu, kini boleh distrim di semua platform digital utama serta YouTube.

Latest

SHOWCASE “UNTUKMU” HASNOL: KETIKA MELODI BERTEMU MEMORI, SATU MALAM YANG AKAN MERESAP DI JIWA

Oleh: Syed Yusof Wafa Bagi generasi yang membesar dengan irama...

PENGASIH Malaysia Cemerlang Di NATCOM 2026, Raih Dua Pingat Emas Melalui Inovasi Pemulihan Ketagihan

Oleh: Syed Yusof Wafa Foto: Ehsan PENGASIH Malaysia Dua inovasi, dua...

Konsert Rindu Sumayyah, rai tiga dekad Hijjaz

Oleh: Khadijah Ibrahim PADA 16 dan 17 Oktober ini akan...

‘Live Concert: Elegant Selamanya’, himpun wanita jelita berkarisma

Oleh: Khadijah Ibrahim INILAH masanya untuk rakyat tempatan menyokong produk...
spot_img

Jangan Terlepas!

Konsert Rindu Sumayyah, rai tiga dekad Hijjaz

Oleh: Khadijah Ibrahim PADA 16 dan 17 Oktober ini akan...

One Legendary Night, rai 35 tahun Hard Rock Cafe KL

Oleh: Khadijah Ibrahim SEMPENA sambutan ulang tahun Hard Rock Cafe...

SHOWCASE “UNTUKMU” HASNOL: KETIKA MELODI BERTEMU MEMORI, SATU MALAM YANG AKAN MERESAP DI JIWA

Oleh: Syed Yusof Wafa Bagi generasi yang membesar dengan irama...

‘Live Concert: Elegant Selamanya’, himpun wanita jelita berkarisma

Oleh: Khadijah Ibrahim INILAH masanya untuk rakyat tempatan menyokong produk...

AKAR//NEXT 2026 ajak pengunjung terokai pelbagai sisi budaya, kreativiti dalam satu ruang

Oleh: Khadijah Ibrahim PASAR Seni atau Central Market merupakan salah...
Khadijah Ibrahim
Khadijah Ibrahim
Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia, pernah menjadi wartawan hiburan di Ladybosz.com serta berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7 terbitan theStar.
spot_imgspot_img

SHOWCASE “UNTUKMU” HASNOL: KETIKA MELODI BERTEMU MEMORI, SATU MALAM YANG AKAN MERESAP DI JIWA

Oleh: Syed Yusof Wafa Bagi generasi yang membesar dengan irama slow rock dan balada jiwang yang menusuk kalbu, nama Hasnol bukanlah nama asing. Suaranya pernah...

PENGASIH Malaysia Cemerlang Di NATCOM 2026, Raih Dua Pingat Emas Melalui Inovasi Pemulihan Ketagihan

Oleh: Syed Yusof Wafa Foto: Ehsan PENGASIH Malaysia Dua inovasi, dua pingat emas dan satu misi besar: memperkukuh usaha pemulihan ketagihan melalui pendekatan yang lebih tersusun,...

Konsert Rindu Sumayyah, rai tiga dekad Hijjaz

Oleh: Khadijah Ibrahim PADA 16 dan 17 Oktober ini akan berlangsung 'Konsert Hijjaz 3 Dekad: Rindu Sumayyah' di Istana Budaya, Kuala Lumpur. Konsert anjuran Inteam Records...