Oleh: Khadijah Ibrahim
KITA hanya mampu merancang, Allah yang menentukan sebab Dia sebaik-baik perancang yang menetapkan takdir yang terbaik untuk hamba-Nya.
Justeru itu, setiap insan perlu reda atas apa yang telah Allah aturkan, walaupun kita telah buat yang terbaik.
Jika ikut perancangan, pada 29 Ogos ini akan berlangsungnya Konsert Kelate KL 2026 di Zepp Kuala Lumpur, namun konsert anjuran Natriya Enterprise dengan kerjasama Ikarl Project serta sokongan Irama Entertainment, terpaksa ditangguhkan ke satu tarikh baharu.
Keputusan tersebut dibuat setelah mengambil kira beberapa perkara yang tidak dapat dielakkan serta memerlukan pertimbangan dan penyelarasan lanjut bagi memastikan keseluruhan perjalanan acara dapat dilaksanakan dengan sebaik-baiknya.

Pihak penganjur memahami bahawa penangguhan konsert, mungkin menimbulkan sedikit kesulitan kepada para peminat yang telah membuat perancangan awal untuk menghadiri Konsert Kelate KL 2026.
Konsert Kelate KL 2026 bakal menampilkan barisan artis seperti Eda Ezrin, Den Manjo, Man Khan, Rosalinda, Adik Waniey, Fendi Kenali serta persembahan Dikir Barat dan Wayang Kulit.
Peminat yang nak dengar lagu duet Eda Ezrin dengan Den Manjo iaitu “Adek Saye Abe Sore” dan “Cinta Setandan Pisang” atau “Bea Sobar Bea” pasti kecewakan. Begitu juga bagi pengikut setia Man Khan, pasti tidak dapat menonton persembahannya bersama Adik Waniey menerusi lagu “Abe Love U All” dan “Mek In Kelate” kolaborasi dengan Rosalinda.
Sehubungan itu, pihak penganjur memohon maaf atas segala kesulitan yang timbul dan amat menghargai kesabaran, pemahaman serta sokongan berterusan daripada semua peminat dan pihak yang telah bersama-sama menyokong perjalanan acara berkenaan.
Bagi pemegang tiket yang telah membuat pembelian melalui platform Ilasso, pihak penganjur akan menyediakan proses pemulangan wang (refund).

Maklumat lanjut berhubung proses refund, termasuk kaedah dan tempoh pemulangan wang, akan diumumkan melalui saluran rasmi penganjur dan platform tiket Ilasso dalam masa terdekat.
Pemegang tiket dinasihatkan untuk menyimpan bukti pembelian, nombor pesanan dan maklumat tiket masing-masing bagi melancarkan proses tersebut.
Penganjur akan mengumumkan tarikh baharu Konsert Kelate KL 2026 selepas segala proses penyelarasan berkaitan dimuktamadkan. Pengumuman rasmi berhubung tarikh baharu akan diuar-uarkan melalui saluran komunikasi rasmi sebaik sahaja keputusan tersebut dimuktamadkan.
Konsert Kelate KL 2026 diwujudkan sebagai sebuah platform untuk meraikan muzik, budaya dan identiti Kelantan di Kuala Lumpur, berteraskan semangat: “Suaro Kito, Jiwo Kito -100% Ori Kelate”.
Konsep acara ini turut membawa elemen warisan Kelantan termasuk Dikir Barat dan Wayang Kulit, sebagai sebahagian daripada pengalaman yang ingin diketengahkan kepada para peminat.
Pihak penganjur percaya penangguhan ini adalah langkah yang terbaik bagi memastikan segala perancangan dapat disusun semula dengan lebih baik sebelum acara diteruskan pada tarikh baharu.


