Precious of Malaysia Citraloka 2026 Sasar 500,000 Pengunjung, Bawa Warisan Lebih Dekat Dengan Rakyat

Oleh: Syed Yusof Wafa/Faizah Yasmin Tan Sri Mustapa

KUALA LUMPUR: Warisan budaya Malaysia tidak seharusnya hanya muncul ketika musim perayaan, festival atau sambutan tertentu, sebaliknya perlu dihidupkan dalam kehidupan seharian supaya terus dekat dengan masyarakat dan kekal relevan kepada generasi masa kini.

Berpegang kepada aspirasi itu, FM Group yang diasaskan pereka fesyen Farel Mikhail bersama Pengerusi Program, Jonathan Kok, meneruskan penganjuran Precious of Malaysia Citraloka 2026, yang menyasarkan sehingga 500,000 pengunjung sepanjang enam hari penganjurannya.

Acara berkenaan bakal berlangsung dari 11 hingga 16 September 2026 di Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur, dengan menghimpunkan pelbagai elemen termasuk fesyen, seni, muzik, tarian, warisan, pendidikan, kreativiti dan keusahawanan dalam satu ekosistem budaya yang lebih terbuka serta interaktif.

Penganjuran tahun ini juga dilihat sebagai usaha memperkenalkan warisan Malaysia dalam bentuk yang lebih segar tanpa mengorbankan identiti dan nilai tradisinya.

Budaya perlu dekat dengan masyarakat

Farel berkata, sasaran 500,000 pengunjung bukan sekadar angka, sebaliknya mencerminkan cita-cita pihak penganjur untuk membawa kekayaan budaya Malaysia kepada khalayak yang lebih luas.

“Kami mahu Precious of Malaysia menjadi acara yang benar-benar dekat dengan masyarakat. Kami tidak mahu budaya hanya dilihat ketika sambutan tertentu, sebaliknya orang ramai perlu datang, belajar, mengambil bahagian dan merasai sendiri kepelbagaian budaya Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Pelancaran Precious of Malaysia Citraloka 2026 di Royal Chulan Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurut Farel, pendekatan memperkenalkan warisan juga perlu bergerak seiring perubahan zaman, terutama dalam usaha menarik minat generasi muda yang semakin dekat dengan dunia digital dan kandungan visual.

“Warisan tidak perlu diubah identitinya untuk menjadi trendy. Cara kita mempersembahkannya yang perlu berubah,” katanya.

Atas sebab itu, Precious of Malaysia menggunakan pelbagai pendekatan termasuk fesyen, media sosial, pertandingan, catwalk, muzik, bengkel pendidikan dan kolaborasi bersama pemain industri serta institusi pendidikan.

Pendekatan berkenaan bukan sahaja memberi peluang kepada pengunjung untuk melihat budaya dari sudut tradisi, malah membolehkan mereka mengalami sendiri proses di sebalik penghasilan sesuatu karya budaya.

Enam hari sarat aktiviti budaya

Sepanjang enam hari penganjuran, pengunjung bakal disajikan dengan pelbagai program yang merangkumi aspek fesyen, seni persembahan, makanan, kraf dan warisan.

Antara pengisian utama ialah International Cultural Fashion Week, Gema Tari Etnik Malaysia, Si Cilik Busana Kreasi Tradisi, Lenggok Si Bulus, selain aktiviti masakan dan bakeri, persembahan muzik dan tarian serta seni tradisional Telepuk.

Program yang dirangka itu turut memberi ruang kepada golongan kanak-kanak dan generasi muda untuk mengenali budaya melalui pengalaman yang lebih santai, kreatif dan menyeronokkan.

Menurut Farel, pengunjung bukan sekadar hadir sebagai penonton kerana pelbagai aktiviti dirancang supaya mereka boleh belajar, mencuba, menyertai pertandingan, berinteraksi dengan artisan dan memahami proses penghasilan seni tradisional.

Pendekatan sebegini penting kerana pengalaman secara langsung mampu menjadikan warisan lebih mudah difahami dan diingati, terutama dalam kalangan generasi muda.

Precious Cultural Walk sempena Hari Malaysia

Kemuncak penganjuran dijadualkan berlangsung pada 16 September, bersempena sambutan Hari Malaysia, menerusi Precious Cultural Walk.

Program berkenaan bakal menghimpunkan peserta dalam pelbagai busana tradisi dan elemen budaya untuk berjalan mengelilingi kawasan tasik, sekali gus membawa mesej perpaduan dan kepelbagaian masyarakat Malaysia.

Menurut Farel, pemilihan Hari Malaysia sebagai kemuncak acara mempunyai makna tersendiri kerana ia memberi peluang kepada masyarakat untuk meraikan kepelbagaian identiti budaya dalam suasana yang lebih terbuka.

Ia juga diharap menjadi gambaran bahawa perbezaan budaya bukan penghalang, sebaliknya kekuatan yang membentuk identiti Malaysia.

Sekitar sidang media yang penuh gilang gemilang baru-baru ini.

Telepuk sebagai jambatan kepada generasi muda

Antara elemen yang diberi penekanan dalam penganjuran kali ini ialah seni Telepuk, yang diperkenalkan melalui bengkel dan pengalaman secara langsung.

Farel berkata, pihaknya telah memulakan bengkel bersama pelajar bagi memberi pendedahan kepada mereka mengenai proses menghasilkan Telepuk sebelum karya berkenaan dibawa ke pertandingan dan pentas fesyen.

Usaha itu bukan sekadar bertujuan memperkenalkan teknik seni tradisional, malah memberi peluang kepada generasi muda memahami nilai kreativiti, ketelitian dan kemahiran yang terkandung dalam warisan tersebut.

“Kita mahu anak muda rasa bahawa memakai batik, kebaya, songket atau mengangkat seni tradisi bukan sesuatu yang ‘old-fashioned’,” katanya.

Sehubungan itu, Precious of Malaysia Citraloka 2026 membuka ruang penyertaan kepada pelbagai lapisan masyarakat termasuk pelajar, pereka muda, artisan, usahawan kreatif, model, penggiat seni, sekolah, kolej vokasional, universiti dan orang awam.

Peluang penyertaan itu secara tidak langsung mewujudkan ruang untuk bakat baharu diketengahkan, selain mempertemukan generasi lama yang memiliki kemahiran tradisi dengan generasi baharu yang membawa pendekatan lebih moden.

Warisan perlu mempunyai nilai ekonomi

Sementara itu, Jonathan Kok berkata, usaha memperkasakan budaya perlu bergerak seiring dengan pembangunan industri kreatif supaya warisan bukan sekadar dipelihara, tetapi turut mampu memberikan nilai ekonomi kepada penggiatnya.

“Kita mahu melihat fesyen, muzik, seni dan budaya tempatan bergerak dalam satu ekosistem yang sama,” katanya.

Menurut beliau, selepas lima tahun membina platform berkenaan, FM Group mahu Precious of Malaysia berkembang daripada sekadar acara tahunan kepada sebuah platform yang mampu menghubungkan warisan, masyarakat dan industri kreatif secara lebih berterusan.

Katanya, sasaran besar tahun ini juga diharap membuka lebih banyak peluang kepada pereka fesyen, artisan, usahawan, penggiat seni dan komuniti tempatan untuk memperkenalkan produk serta karya mereka kepada khalayak yang lebih luas.

“Kita mahu budaya bukan sekadar dikenang, tetapi mempunyai nilai dan masa depan,” katanya.

Pendekatan itu selari dengan perkembangan industri kreatif yang semakin melihat warisan sebagai sumber inspirasi untuk menghasilkan produk baharu dalam bidang fesyen, reka bentuk, seni persembahan, makanan, kraftangan dan kandungan kreatif.

Inilah dua insan yang menjayakan event yang penuh berprestij ini iaitu
Pereka fesyen dan penganjur dari FM Group, Farel Mikhail (kanan) dan Jonathan Kok.

Sebahagian daripada Festival Budaya Malaysia 2026

Precious of Malaysia Citraloka 2026 turut dilaksanakan dalam ekosistem Festival Budaya Malaysia (FBM) 2026 dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC).

Penganjuran itu turut membabitkan institusi pendidikan, pereka fesyen, artisan, penggiat seni dan rakan industri, sekali gus memperluaskan jaringan kerjasama antara sektor budaya, pendidikan dan industri kreatif.

Dengan sasaran sehingga 500,000 pengunjung, penganjuran tahun ini diharap dapat mengangkat Precious of Malaysia sebagai platform budaya berskala besar yang lebih moden, inklusif dan dekat dengan generasi baharu.

Farel berkata, matlamat akhirnya adalah memastikan budaya Malaysia bukan sekadar dipertontonkan, tetapi terus diamalkan, digunakan dan dibanggakan oleh masyarakat.

“Warisan tidak perlu diubah identitinya untuk menjadi trendy. Cara kita mempersembahkannya yang perlu berubah.

“Kita tidak mahu budaya hanya dikenang – kita mahu budaya dipakai, digunakan, dikongsi dan dibanggakan,” katanya.

YAIKK dan FM Group jalin kerjasama strategik

Dalam perkembangan berkaitan, Yayasan Amanah Industri Kreatif Kebangsaan (YAIKK) dan FM Group turut mengumumkan kerjasama strategik bagi memperkasakan seni, muzik dan warisan budaya Malaysia.

Menerusi kerjasama itu, Precious of Malaysia – Citraloka 2026 dan Festival Pancaragam Malaysia 2026 menjadi antara pengisian utama Festival Budaya Malaysia 2026.

Festival berkenaan dianjurkan oleh MOTAC dan dijadual berlangsung dari 11 hingga 16 September 2026 di Taman Tasik Titiwangsa, bersempena sambutan Hari Malaysia pada 16 September.

Pelancaran Precious of Malaysia Citraloka 2026 baru-baru ini turut menyaksikan pelancaran rasmi Festival Pancaragam Malaysia 2026, yang dijadual berlangsung dari 14 hingga 16 September 2026.

Gabungan program berkenaan dijangka menjadikan Taman Tasik Titiwangsa sebagai antara lokasi tumpuan utama sambutan budaya dan kreativiti Malaysia sepanjang tempoh penganjuran.

Lebih penting, usaha tersebut memperlihatkan bagaimana acara budaya boleh berkembang menjadi platform yang menghubungkan masyarakat dengan seni, pendidikan, pelancongan dan industri kreatif.

Dengan pelbagai program yang merangkumi tradisi dan pendekatan moden, Precious of Malaysia Citraloka 2026 bukan sahaja membawa mesej untuk mengenali warisan, malah mengajak masyarakat mengalami, menyertai dan menghidupkan budaya Malaysia dalam bentuk yang lebih dekat dengan kehidupan mereka.

Latest

Sajian menu Pantai Timur di Rumoh Mekda

Oleh: Khadijah Ibrahim JIKA orang Kelantan, Terengganu dan Pahang yang...

Hashimah Yon digelar seniwati paling seksi!

Oleh SYED WAFA Foto KOLEKSI SYED WAFA Sumber : Ladybosz (Terima...

Dulu tak percaya, kini Issey Miyake guna TikTok untuk cari rezeki

Oleh: Khadijah Ibrahim SEKARANG ini antara platform media sosial yang...

Dulu ‘introvert’, kini AG9 Official jadi Pengurus Bakat di KamiSempoi Premier Academy

Oleh: Khadijah Ibrahim SEKARANG ini ramai yang ingin menjadi pempengaruh...
spot_img

Jangan Terlepas!

Wow… Wani Kayrie bakal ‘disunting’ FM Group Kerana Cak Cak Cekuk

Oleh: Syed Yusof Wafa Kerana sebuah lagu yang memartabatkan irama...

Dulu ‘introvert’, kini AG9 Official jadi Pengurus Bakat di KamiSempoi Premier Academy

Oleh: Khadijah Ibrahim SEKARANG ini ramai yang ingin menjadi pempengaruh...

Peluang jadi penyanyi rakaman dan menang motor di Community Members – Pahang Auto Show 2K26

Oleh: Khadijah Ibrahim JIKA anda ada impian nak menjadi penyanyi,...

Zaharah Agus seniwati serba boleh !

Oleh SYED WAFA Foto KOLEKSI SYED WAFA Sumber : Ladybosz (Terima...
Syed Yusof Wafa
Syed Yusof Wafa
SYED Yusof Wafa pernah menulis dan melukis di Utusan Malaysia (sisipan Remaja), URTV, Mangga, Hai, URS, Hit, Variapop serta pernah menjadi Editor Majalah Oh-Gee dan editor portal terkenal Ladybosz.com
spot_imgspot_img

Sajian menu Pantai Timur di Rumoh Mekda

Oleh: Khadijah Ibrahim JIKA orang Kelantan, Terengganu dan Pahang yang menetap di ibu kota, rindu untuk menikmati makanan seperti masakan ibu di kampung, bolehlah singgah...

Hashimah Yon digelar seniwati paling seksi!

Oleh SYED WAFA Foto KOLEKSI SYED WAFA Sumber : Ladybosz (Terima Kasih Datuk Sri Rozita Ramelan) WALAUPUN memulakan langkah sebagai pelakon kanak-kanak ketika berusia 11 tahun dalam...

Dulu tak percaya, kini Issey Miyake guna TikTok untuk cari rezeki

Oleh: Khadijah Ibrahim SEKARANG ini antara platform media sosial yang sering mendapat perhatian warga maya adalah TikTok kerana ia merupakan platform video berdurasi pendek yang...