Oleh: Khadijah Ibrahim
JIKA berada di persekitaran Jalan Wangsa Delima 10, Wangsa Maju, Kuala Lumpur, anda pasti akan ‘gelap mata’ tak tahu nak menuju ke kedai emas mana.
Salah satu kedai emas ternama yang beroperasi di situ adalah Kedai Emas Sri Semantan (KESS).
Tatkala ditanya kepada Pengerusi Eksekutif KESS, Mohamad Hafizal Mahmood, kenapa membuka cawangan ke-23 di lokasi yang telah sedia ada kedai emas?
Jawapannya mudah saja, supaya pengguna mempunyai banyak pilihan dan jika KESS dibuka di kawasan yang tiada saingan kedai emas lain, baginya itu tidak menarik.

“Alhamdulillah, kami berjaya membuka cawangan yang ke-23 di Wangsa Maju. Meskipun di kawasan in banyak kedai lain yang menjual produk (emas) yang sama tapi KESS berbeza.
“Kelebihan kedai kami adalah kami utamakan emas preloved. Matlamat kami adalah untuk menjadikan kedai kami sebagai kedai emas preloved nombor satu di Malaysia.
“Emas preloved ini adalah barangan yang telah dipakai tapi telah diolah menjadi seperti emas baharu. Kami berazam untuk menjadikan Emas Sri Semantan sebagai Syurga Emas Preloved Nombor Satu di Malaysia, sebuah platform yang bukan saja dipercayai tapi turut memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya sewaktu majlis perasmian kedai emas di Wangsa Maju, baru-baru ini.
Beliau yang memulakan perniagaan KESS sejak 2020 secara kecil-kecilan menyasarkan sehingga hujung tahun ini akan ada 30 buah kedai emas Sri Semantan.

Tegasnya, sejak penubuhan, misi dan visi Emas Sri Semantan tidak pernah berubah iaitu menyediakan produk dan perkhidmatan yang berkualiti tinggi serta layanan yang mesra kepada pembeli secara am dan komuniti Emas Sri Semantan secara khasnya.
“Kami sentiasa komited untuk memastikan setiap pelanggan yang datang mendapat pengalaman yang memuaskan dan berbaloi.
“Dalam bisnes, kami percaya layanan yang baik dan mesra pelanggan adalah kunci utama untuk memastikan pelanggan selesa dan terus memiliki produk kami tanpa mengira usia atau latar belakang,” katanya yang sering mendapat sokongan daripada keluarga, rakan-rakan dan seluruh pasukan kerja.
Selain berniaga, Mohamad Hafizal juga mahu menyedarkan masyarakat bahawa emas bukan sekadar perhiasan tapi boleh dijadikan aset yang mampu menjadi benteng ketika sukar dan sandaran untuk masa hadapan.
“Kami akan terus berusaha untuk memperkasakan Emas Sri Semantan sebagai satu wadah perjuangan untuk mempertingkatkan ekonomi rakyat Malaysia khususnya di kalangan bumiputera.

“Dalam dunia ekonomi moden yang tidak menentu, emas kekal sebagai pelindung nilai yang hebat. Bila mata wang melemah, emas tetap berdiri teguh. Justeru itu, semakin ramai memilih emas sebagai simpanan jangka panjang, bukan kerana nilainya yang stabil tapi ia mudah dicairkan bila perlu,” katanya.
Di majlis perasmian itu juga, KESS memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Pertubuhan Ibu Bapa Anak-Anak Istimewa Malaysia (PRISMA) yang diwakili pengasas dan pengerusinya, Dr. Ahmad Idham.
Matlamat utama program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu adalah untuk memberi manfaat kepada keluarga, komuniti dan anak-anak istimewa di seluruh Malaysia.
Selain menjalin kerjasama strategik antara kedua-dua belah pihak, CSR itu juga bertujuan untuk memperkasa bantuan kebajikan dan sokongan kepada komuniti anak istimewa.
Bagi memastikan program dan aktiviti PRISMA berjalan lancar KESS bersedia menyalurkan dana untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap komuniti anak istimewa.


