Oleh: Khadijah Ibrahim
RAMAI peminat sanggup datang awal ke Sunway Velocity Mall, pada 13 September lalu, semata-mata nak melihat aktor dari China, Cheng Lei.
Cheng Lei atau nama sebenarnya Yang Huixiang, 33, aktor kelahiran dari Dongguan, Guandong, China itu cukup dikenali peminat tempatan kerana lakonannya dalam drama “Follow Your Heart”, “Shadow Love”, “Legend of the Female General”, “Footprints of Change” dan “How Dare You!?” yang ditayang di platform penstriman IQIYI.
Selaku Duta Global Antarabangsa iQIYI, Cheng Lei yang juga dikenali dengan nama Ryan Cheng dan pertama kali menjejak kaki ke Malaysia kerana tugasan berharap kunjungannya ke negara ini tidak berakhir di situ sahaja.
Walaupun kehadirannya tidak lama, namun beliau tetap mengambil kesempatan untuk pergi ke beberapa lokasi menarik di sekitar ibu kota untuk merakam foto sebagai kenangan.

Sewaktu pengacara, memperkenalkan beliau di pentas, Cheng Lei yang kelihatan santai itu tersenyum melihat kehadiran peminat yang menunggunya di kawasan concourse (ruang legar) hingga ke aras tiga pusat membeli-belah tersebut.
“Apa khabar, saya cinta kamu,” salam perkenalan yang diucapkan Chen Lei dalam bahasa Melayu kepada peminatnya atau Cheng Tuo.
Bukan setakat itu saja, beliau juga tidak kisah untuk melafazkan beberapa ungkapan lain dalam bahasa Melayu yang diajar oleh pengacara.
Beliau tidak takut untuk belajar atau mencuba sesuatu yang baharu dan kesungguhannya itu secara tidak langsung menceriakan suasana serta mencuri hati para peminat.

“Ini merupakan kali pertama saya menyertai iQIYI STARSHIP di Malaysia dan saya sangat gembira dapat bertemu dengan semua peminat di sini.
“Sambutan yang diberikan sangat luar biasa dan melihat sendiri keterujaan semua orang menjadikan kunjungan kali ini lebih bermakna dan sukar dilupakan.
“Saya amat menghargai segala sokongan yang diberikan dan berharap dapat kembali ke Malaysia pada masa akan datang,” katanya.
Sepanjang tempoh lebih kurang satu jam lebih melayan peminat, Cheng Lei dilihat menjadi dirinya sendiri dan setiap soalan yang dijawab ikhlas tanpa menonjolkan yang beliau adalah aktor popular.

Mungkin kerana sikap merendah diri itu membuatkan peminat menyenangi Cheng Lei walaupun baru pertama kali bertentang mata.
Memandangkan beliau mempunyai ramai peminat di Malaysia, Cheng Lei tidak keberatan untuk berlakon dengan produksi tempatan jika kena dengan caranya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kanan iQIYI Asia Tenggara, Dinesh Ratnam berkata, membawa iQIYI STARSHIP ke Malaysia buat kali kedua pada tahun ini mencerminkan kekuatan pasaran Malaysia serta peningkatan minat dan penglibatan peminat tempatan terhadap hiburan dari China.
“Selepas kemunculan artis seperti Luo Zheng, Chen Zheyuan dan Esther Yu sebelum ini, kami amat berbesar hati untuk mengalu-alukan kehadiran Cheng Lei dan mendekatkannya dengan peminat Malaysia.

“Menerusi promosi drama, acara bersama peminat dan pengalaman eksklusif, iQIYI STARSHIP membolehkan kami membawa pengalaman hiburan melangkaui skrin, di samping mengeratkan hubungan antara artis China dan penonton tempatan,” katanya.
Tambah Dinesh, populariti Cheng Lei terus berkembang dalam kalangan penonton antarabangsa, didorong oleh portfolio drama-drama China yang mendapat sambutan luas.
Drama lakonannya, “How Dare You!?” kini menjadi antara drama China paling popular di iQIYI International, dengan wataknya sebagai Xiahou Dan, seorang “maharaja yang berpindah dunia” dengan sisi perwatakan yang penuh kontras, berjaya menarik perhatian dan mendapat tempat di hati penonton. Para peminat juga tidak sabar menantikan kemunculan drama terbaharunya, “Leading Stars”.


