Oleh: Syed Yusof Wafa
Selepas menghimpunkan 14,000 penonton di Johor Bahru, Wali Band bakal menggegarkan Megastar Arena pada 21 November ini, dengan Najwa Latif kembali sebagai artis undangan khas!
Gelombang fenomena Wali Band di Malaysia terus memuncak! Belum pun reda bahang kehangatan konsert mereka di Johor Bahru, sambutan terhadap Wali Exclusive One Night Only di Megastar Arena, Kuala Lumpur semakin hangat apabila 70 peratus tiket telah terjual, menjelang malam yang dijangka penuh dengan nyanyian bersama, nostalgia dan momen istimewa pada 21 November 2026.
Kejayaan ini hadir susulan persembahan bertenaga Wali Band menerusi WALI LIVE IN JB di EduCity Complex, Johor Bahru pada 3 Oktober lalu, yang berjaya menghimpunkan seramai 14,000 penonton. Kehadiran ribuan peminat yang sama-sama menyanyikan lagu-lagu popular mereka membuktikan bahawa muzik Wali Band terus dekat di hati peminat Malaysia.
Kini, fenomena itu bakal beralih ke ibu negara dengan janji sebuah malam yang lebih eksklusif, intim dan sarat emosi. Dianjurkan oleh 25th Studio dan Infinity Love Creative Ventures, Wali Exclusive One Night Only akan berlangsung pada jam 8.00 malam di Megastar Arena, Kuala Lumpur, dengan kapasiti terhad hanya 5,000 penonton.
Dengan 70 peratus tiket sudah terjual, keterujaan peminat semakin terasa menjelang konsert yang bakal menghimpunkan lagu-lagu kegemaran ramai dalam satu malam istimewa. Bagi mereka yang membesar dengan muzik Wali Band, inilah peluang untuk kembali menghayati lagu-lagu yang pernah menjadi siulan, manakala peminat baharu pula berpeluang merasai sendiri keistimewaan persembahan mereka secara langsung.
Antara lagu yang pastinya dinantikan termasuklah Baik-Baik Sayang, Cari Jodoh, Dik, Doaku Untukmu Sayang dan Tobat Maksiat (TOMAT). Dengan melodi yang mudah melekat di ingatan, lirik yang dekat dengan kehidupan serta mesej yang menyentuh hati, lagu-lagu ini menjadi antara kekuatan yang membentuk identiti muzik Wali Band dan menghubungkan mereka dengan peminat merentasi generasi.
NAJWA LATIF KEMBALI! ADAKAH KEJUTAN DUET BAKAL BERULANG?
Menambahkan lagi keterujaan, penyanyi dan penulis lagu popular Malaysia, Najwa Latif, sekali lagi bakal tampil sebagai artis undangan khas untuk membuka tirai Wali Exclusive One Night Only.
Dikenali menerusi lagu popular seperti Cinta Muka Buku, Carta Hati dan Sahabat, Najwa bakal membawa sentuhan muzik tempatan ke pentas Megastar Arena sebelum Wali Band mengambil alih pentas utama.
Namun, persoalan yang pastinya bermain di fikiran peminat: Mungkinkah kejutan duet Wali Band dan Najwa Latif bakal berulang di Kuala Lumpur?
Ketika konsert di Johor Bahru baru-baru ini, Najwa mencuri perhatian apabila kembali ke pentas untuk berduet bersama Faank menerusi lagu popular Wali Band, Yank. Momen spontan itu mencetuskan keterujaan penonton dan menjadi antara detik yang paling mencuri tumpuan sepanjang persembahan berkenaan.
Keserasian mereka di atas pentas pastinya meninggalkan kenangan manis buat peminat. Justeru, kemunculan semula Najwa Latif bersama Wali Band di Kuala Lumpur membuka ruang kepada pelbagai kemungkinan menarik, sekali gus menambahkan debaran menjelang konsert berkenaan.
Sama ada bakal ada kejutan baharu atau tidak, kehadiran kedua-dua nama ini dalam satu acara sudah cukup untuk menjadikan malam tersebut antara persembahan yang dinantikan peminat muzik tempatan dan Indonesia.
TIKET SEMAKIN HANGAT, JANGAN TUNGGU HINGGA TERLEPAS!
Dengan 70 peratus tiket telah terjual dan kapasiti venue yang terhad kepada 5,000 penonton, peminat disarankan mendapatkan tiket lebih awal bagi mengelakkan kekecewaan.
Tiket Wali Exclusive One Night Only ditawarkan mengikut kategori berikut:
– CAT 1 – Dik (Ruang Berdiri): RM182
– CAT 2 – Baik-Baik Sayang (Tempat Duduk Bernombor): RM482
– CAT 3 – Doaku Untukmu Sayang (Tempat Duduk Bernombor): RM322
– CAT 4 – Tobat (Tempat Duduk Bernombor): RM252
– VIP – Berkah (Tempat Duduk Bernombor): RM782
– VVIP – Cari Jodoh (Tempat Duduk Bernombor): RM2,222
Tiket boleh dibeli menerusi platform rasmi www.myticket.asia, tertakluk kepada ketersediaan bagi setiap kategori.
Wali Exclusive One Night Only turut mendapat sokongan Hot FM dan Kool FM sebagai radio rasmi acara.
Bersiaplah untuk menyanyi bersama, mengimbau kenangan dan menikmati lagu-lagu yang dekat di hati. Pada 21 November ini, Megastar Arena bakal menjadi titik pertemuan peminat untuk meraikan muzik, kenangan dan fenomena Wali Band dalam sebuah malam yang cukup istimewa.
Wali Exclusive One Night Only — satu malam, lagu-lagu penuh makna, dan kenangan yang ingin dicipta bersama!


