Oleh: Khadijah Ibrahim
LAGU “Masing-Masing’ dendangan Ernie Zakri mendapat sambutan hebat di Malaysia mahupun di Indonesia kerana lagu itu merupakan ciptaan komposer Ade Govinda yang berkolaborasi menulis lirik bersama Nabila V.
Bagi meneruskan perjalanan karier seninya agar terus mendapat dokongan daripada peminat dari seberang, kini Ernie memilih berkolaborasi dengan komposer Andi Rianto, 53, yang juga pemimpin Orkestra Magenta.
Andi pernah menghasilkan lagu “Menjaga Cintamu” runut bunyi untuk filem ‘Anwar: The Untold Story’ yang dinyanyikan oleh Datuk Seri Siti Nurhaliza pada 2023.
Untuk single baharu Ernie yang berjudul “Perjalanan”, selain menyanyi, penyanyi itu juga bertindak sebagai penulis lirik untuk karya ciptaan Andi.

“Perjalanan” menyatukan kekuatan penceritaan dan keindahan melodi dalam sebuah karya yang mendalam dan penuh penghayatan. Dengan sentuhan melodi yang penuh jiwa dan lirik yang jujur, lagu ini hadir sebagai refleksi dan penghargaan terhadap perjalanan setiap insan.
Menurut Ernie, idea menghasilkan “Perjalanan” tercetus sewaktu sesi awal kerjasama antaranya denga Adni.
“Idea lagu ni muncul bila Andi minta saya tulis lirik sendiri, tentang apa yang saya rasa. Pada waktu itu, masing-masing teringat tentang perjalanan hidup yang penuh cerita dan dari situ kami putuskan untuk menulis lirik ini berdasarkan pengalaman sendiri,” jelas Ernie.
Bercerita tentang proses kolaborasi dengan Andi, Ernie menjelaskan ia jauh lebih mudah dan natural daripada jangkaannya.
“Pengalaman bekerja dengan Andi memang sangat mudah. Saya sangka akan ada banyak arahan, tapi sebaliknya, beliau sangat menghormati ruang kreatif saya. Dia bagi saya kebebasan untuk menulis kisah sendiri, malah dia cakap dia lebih suka mencipta melodi berdasarkan cerita saya.”

“Walaupun lagu ini ada sentuhan Andi, penyampaian dan vibe itu tetap Ernie Zakri kerana kita mahu mengekalkan identiti saya dalam lagu ini. Saya harap semua peminat dapat merasai lagu ni. Setiap orang ada perjalanan mereka, ada susah, ada senang. Sentiasa percaya ada sinar di hujung jalan.
“Paling penting, jangan lupa untuk sentiasa berbuat baik, sebab kita tak tahu apa yang orang lain sedang lalui. Saya harap pendengar dapat menjadikan lagu “Perjalanan” ini sebagai ruang untuk mereka merasa dilihat dan difahami,” katanya penuh harapan.
Bagi maestro muzik Indonesia ini pula, inspirasi utama komposisi “Perjalanan” datang daripada sosok Ernie sendiri. Tegasnya, inspirasinya adalah Ernie Zakri sendiri.
“Saya rasa dia sudah melalui banyak pengalaman dan suka duka dalam industri, dan saya fikir inilah masa yang tepat untuk dia menyanyikan lagu seperti ‘Perjalanan’.”

“Proses ciptaan lagu ini juga berlaku secara spontan dan sangat organik. Everything happened spontaneously. Masa workshop, tiba-tiba saya jumpa melodi yang terasa tepat untuk jalan cerita Ernie. Kami bincang tentang konsep dan semuanya mengalir dengan sangat natural. Sangat menyenangkan.
“Bagi saya, elemen muzik paling penting adalah vokal Ernie Zakri. Saya suka tone dia, teknik dia, tapi paling penting feeling yang dia bawa. Dia sangat penuh emosi bila menyanyi, dan itu yang saya mahu tonjolkan,” katanya sebagai produser, dia amat menekankan elemen paling penting dalam setiap lagu yang dihasilkan.
Tambahnya lagi, cabaran terbesar sewaktu pembikinan lagu ini bukanlah aspek teknikal, tetapi memastikan bakat Ernie diserlahkan sepenuhnya.
“Cabaran utama adalah saya mahu semua orang tahu betapa hebatnya Ernie Zakri, bukan sahaja sebagai penyanyi, tetapi juga sebagai penulis lagu. Itu yang saya mahu orang rasai melalui “Perjalanan”,” jelas Andi.
Lagu “Perjalanan” turut dijadikan runut bunyi untuk drama terbaharu TV3, “Cinta Anak Lorong” kerana vokal Ernie yang penuh jiwa bersama susunan muzik yang bermood dramatik mampu menjadi pelengkap utama dalam penceritaan drama tersebut.
Kelahiran single ini juga membuatkan Ernie mahu mengadakan majlis perjumpaan dengan peminatnya supaya mereka dapat mendengar karya-karyanya secara dekat.


