Oleh: Syed Yusof Wafa
Foto: Koleksi Syed Yusof Wafa
WALAUPUN sehingga hari ini banyak drama bersiri diterbitkan di stesen televisyen namun realitinya ia tidak mampu menandingi populariti drama “Opah” yang pernah bersiaran di RTM1 (kini TV1) pada tahun 1982.
Pertama kali disiarkan melalui slot Drama Minggu Ini (DMI), “Opah” mendapat respon positif daripada penonton meskipun ia meletakkan seorang wanita berusia sebagai watak utama yang dipanggil Opah (nenek) dan menjadi kesayangan cucu-cucunya, anak-anak dan menantu-menantunya!

Selain Opah atau Opah Kalsom yang ditangani dengan baik dan berkesan oleh pelakon utamanya, Seniwati Zaiton Hussain, watak-watak lain seperti anak sulung Jenab, (Khatijah Abu Hassan) dan suaminya, Dollah (Zami Ismail), anak kedua, Razali Buyong (Osman), dan isteri, Timah (Normala Omar), Mohamad Abdullah (Alang Yasin) dan anak bungsu, Amar (Mustaffa Noor) dan isteri, Jessica atau Nor Ain (Yasmin Yusof).
Sementara cucu-cucu Opah, Burn (Aziz M. Osman), Bob (Nornashriq Nornikman) Lina (Asyanti Daud) adalah antara pelakon kanak-kanak yang melengkapi keluarga Opah dan merupakan drama klasik Malaysia yang masih diingati sehingga hari ini


Drama yang bersiaran selama 18 tahun (sehingga tahun 2000) bertemakan kekeluargaan dengan nilai-nilai murni dalam keluarga Melayu dan berlandaskan ajaran Islam merupakan drama mingguan yang menjadi penantian para peminatnya.
Zaiton Hussain sebagai ‘Opah’ ditonjolkan sebagai ibu tunggal yang kematian suami berjaya membesarkan empat orang anaknya – Jenab, Osman, Alang dan Amar menjadi ‘manusia’ dan menjalani kehidupan harian mereka dengan kerjaya masing-masing kecuali Jenab, sebagai surirumah sepenuh masa.


Meskipun Opah, seorang Nenek yang menjadi tunggak utama siri drama berkenaan tetapi sesuatu yang mengejutkan ia bukan sahaja dinantikan para peminat dewasa. Malah kanak-kanak juga meminati siri berkenaan.
Walau mungkin Zaiton Hussein pernah berlakon drama lain tetapi drama ‘Opah’ adalah ‘signature’ atau drama yang telah mempopularkan beliau dengan ‘nama watak berkenaan’ dan menenggelamkan nama sebenarnya, Zaiton Hussain!


Kehebatan Opah menanggani masalah anak-anak serta cucu-cucunya menjadikan siri drama berkenaan satu penantian para peminatnya.
Bukan itu sahaja, malah kanak-kanak yang berusia lima tahun juga mengenalinya apabila terserempak beliau di tempat makan dengan panggilan ‘Opah!


Begitulah hebatnya Opah ‘ditangan’ Zaiton Hussain drama arahan Husner Ahmad.
Walaupun drama tersebut telah berakhir sejak 25 tahun lalu, tetapi mereka yang membesar dengan drama berkenaan pasti merindui ‘Opah’ seorang nenek yang sentiasa menjadi tempat bermanja dan berkongsi masalah cucu-cucunya!


Mendekati Allahyarham Seniwati Zaiton Hussain, yang dilahirkan pada 19 Januari 1938, beliau dikenali melalui drama bersiri “Opah.”
Sejak melakonkan watak yang begitu sinonim dengan dirinya, membuatkan nama sebenar beliau tenggelam, apabila para pelakon dan para peminat lebih mesra menyapanya Opah.


Beliau mendirikan rumahtangga dengan pelakon drama Abdul Samad Arshad yang telah meninggal dunia pada 1998.
Apabila drama “Opah” ditamatkan pada tahun 2000, Zaiton terus berehat dari bidang lakonan
Zaiton, ibu kepada dua orang anak meninggal dunia kerana sakit kencing manis pada usia 63 tahun.

Beliau meninggal pada 12 tengahari 4 Jun 2001 ketika dalam perjalanan ke klinik berhampiran rumahnya di Selayang, setelah mengadu sakit dada dan sukar bernafas.
Jenazah Allahyarham disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Selayang Baru, Batu Caves, Selangor.


