Oleh: Khadijah Ibrahim
UNTUK tahun ini, penulis boleh katakan antara konsert yang berjaya dan mendatangkan keuntungan besar kepada penganjur adalah konsert GenKRU yang diadakan di Axiata Arena, Bukit Jalil.
Trio tiga beradik yang dianggotai oleh Datuk Norman Abdul Halim, Datuk Yusry Abdul Halim dan Edry Abdul Halim kekal menyala, membuktikan bahawa kehebatan mereka tidak pernah pudar meskipun dekad berganti.
Mulanya KRU mahu mengadakan satu malam persembahan untuk peminat selepas enam tahun tidak beraksi di pentas. Kali terakhir KRU mengadakan persembahan di Istana Budaya pada 2018 yang juga berlangsung selama tiga hari.
Lokasi yang sudah cukup besar itu rupa-rupanya tidak dapat menampung ribuan peminat KRU yang merindui untuk mendengar lagu-lagu kesukaan mereka dan menonton aksi tiga bersaudara itu di pentas.
Akhirnya dari satu malam Konsert GenKRU yang bermula pada 3 Mei 2025, bertambah menjadi dua malam, pada 4 Mei dan masih tidak mencukupi, penganjur Icon Entertainment terpaksa menambah satu hari lagi pada 10 Mei 2025 dan ekstra satu malam lagi pada hari berikutnya.

Sambutan hangat yang diberikan untuk siri Konsert GenKRU di Axiata Arena, Bukit Jalil itu berjaya mencatat dua rekod dalam Malaysia Book of Records (MBOR), Most Shows in a Single Concert Series (Persembahan Terbanyak Dilakukan dalam Satu Siri Konsert) dan Most Concert Tickets Sold Out in an Hour (Penjualan Tiket Konsert Terpantas dalam Tempoh Satu Jam) selepas kira-kira 8,000 tiket habis dijual dalam masa sejam) diberikan kepada penganjur Icon Entertainment.
Memang rezeki KRU kerana atas permintaan peminat, mereka turut mengadakan konsert GenKRu Live In Singapore di The Star Theatre pada 28 Jun lalu.
Sebagai penutup untuk siri konsert GenKRU, kumpulan tersebut akan mengadakan GenKRU The Finale: One More Time di Stadium Hoki Bukit Jalil pada 22 November ini. Bagi yang tidak berpeluang menonton konsert KRU sebelum ini, jangan ketinggalan untuk bersama mereka pada persembahan finale itu.
Selepas buat konsert di darat, KRU bakal melakar satu lagi sejarah baharu dalam arena hiburan tanah air apabila bersedia menghibur penonton di lautan pula.
Kali ini anggota KRU menjadi pilihan SUKA Cruise untuk mempesembahkan STAR KRUise Showcase dengan sokongan StarDream Cruise dan Sony Music Malaysia, penganjuran pertama seumpamanya yang akan membawa KRU dan peminat mereka berlayar bersama di atas kapal mewah Star Voyager Cruise (SVO) selama lima hari, empat malam.
Pelayaran ini bukan sekadar percutian mewah, ia adalah pengalaman eksklusif untuk menjadi tetamu VVIP KRU, menyaksikan persembahan istimewa mereka secara dekat di atas kapal yang membelah samudera, lengkap dengan pelbagai aktiviti hiburan, sajian antarabangsa, dan fasiliti bertaraf dunia.
Pelayaran ini akan berlangsung dari 25 hingga 29 Januari 2026 (Perlepasan dari Singapura) dan 26 hingga 30 Januari 2026 (Perlepasan dari Port Klang, Malaysia). Laluan pelayaran pula merangkumi destinasi menarik iaitu Singapura, Port Klang, Phuket, High Seas (laut lepas), Singapura / Port Klang.

Bagi pihak KRU, idea yang dibawa oleh penganjur disambut dengan penuh keterujaan kerana ia bukan sahaja memperkenalkan konsep baharu, malah menjadi mercu tanda sejarah dalam industri hiburan Nusantara.
“Kami amat teruja untuk membuat persembahan di atas kapal persiaran buat pertama kali dalam kerjaya kami. Star KRUise Showcase di atas Star Voyager Cruise yang merentasi Singapura, Malaysia dan Thailand menjanjikan pengalaman yang cukup unik dan bermakna.
“Persembahan ini direka khas untuk mencipta suasana yang lebih dekat dan peribadi bersama peminat, jauh berbeza daripada konsert berskala besar. Kami ingin peminat merasai kehangatan dan keikhlasan setiap lagu yang disampaikan, dalam suasana yang lebih santai dan eksklusif.
“Lebih daripada itu, kami sangat menantikan peluang untuk berinteraksi dan meluangkan masa bersama peminat sepanjang pelayaran ini. Ia bukan sekadar persembahan, tetapi satu perjalanan penuh kenangan yang akan kami kongsi bersama,” kata Norman mewakili KRU.
Tambah Norman, melakukan Star KRUise Showcase bukan untuk mencari populariti, tetapi untuk memberikan pengalaman yang benar-benar berbeza kepada peminat.
“Persembahan di atas kapal mewah yang berlayar dari Singapura, Malaysia dan Thailand ini akan memberikan satu pengalaman yang sukar dilupakan. Kami berharap peminat tidak melepaskan peluang untuk bersama kami dalam pelayaran bersejarah ini,” ujarnya.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif SUKA Travel & Tours Sdn. Bhd., Adam Kamal, penganjuran showcase tersebut adalah manifestasi komitmen syarikat untuk terus memberi pengalaman unik kepada peminat.

“Kami sentiasa mencari kelainan untuk memberi kepuasan dan pengalaman berbeza, bukan hanya kepada peminat, tetapi juga kepada artis yang kami bawa.
“Selepas kejayaan penganjuran konsert GenKRU, kami mahu mencipta sesuatu yang benar-benar luar biasa, maka lahirlah idea Star KRUise Showcase, persembahan epik di atas lautan yang memadankan kehebatan KRU dengan kemewahan pelayaran bertaraf antarabangsa,” jelas Adam.
Tambahnya, selain menikmati persembahan eksklusif KRU, para penumpang juga berpeluang menjelajahi Phuket dan Singapura, menikmati pelbagai program hiburan, makanan halal antarabangsa serta kemudahan mewah di atas kapal.
“Ia bukan sekadar showcase tetapi pengalaman hidup yang akan dikenang sepanjang hayat. Jangan lepaskan peluang berlayar bersama legenda dan menjadi sebahagian daripada sejarah STAR KRUise Showcase, Januari 2026 ini kerana tempat adalah terhad,” ujar Adam.


