Kenapa Sarimah digelar Primadona filem Melayu?

Oleh: Syed Yusof Wafa
Foto: Koleksi Syed Wafa

BILA bercakap mengenai seorang pelakon atau seniwati dalam filem-filem Melayu sejak era 1950-an sehingga hari ini memang ramai. Tetapi untuk seseorang pelakon atau seniwati yang layak dipanggil PRIMADONA boleh dibilang dengan jari.

Sebabnya menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, ‘Primadona’ bermaksud pelakon wanita utama (dalam opera atau pementasan) atau sri panggung iaitu pelakon wanita terpenting. Ia juga merujuk kepada wanita yang paling cantik, diminati atau dikagumi terutama dalam konteks persembahan pentas atau filem yang mana mereka sering menjadi tumpuan para penonton dan para peminat!

FILEM “Ali Baba Bujang Lapok” (1961) arahan dan lakonan P. Ramlee telah melahirkan sebutir bintang yang terus bersinar dalam industri filem Melayu…Sarimah!

Tetapi tahukah anda sebelum mencipta nama sebagai Primadona filem Melayu Klasik, Seniwati Datuk Dr. Sarimah Ahmad yang pernah menghadiri sesi ujibakat di Studio Cathay Keris di Singapura gagal menjadi pelakon yang mana akhirnya beliau pulang ke kampung halamannya di Pekan, Pahang.

P. Ramlee yang terbaca cerita berkenaan di majalah telah mengarahkan Penolong Pengarahnya, S. Sudarmaji bersama beberapa wakil Malay Film Productions (MFP) menjejaki Sarimah di kampungnya.

SARIMAH sebagai Sabariah Mansoor dan berpasangan dengan Ahmad Mahmud sebagai Dr. Ismadi filem keenam lakonannya, “Ibu Mertuaku” (1962).
SARIMAH sebagai Rohani isteri ketiga Jamil (P. Ramlee) dalam satu babak filem “Madu Tiga” arahan Tan Sri P. Ramlee yang diterbitkan pada tahun 1964.

Setelah menjalani ujibakat yang dijalankan P. Ramlee, Sarimah bukan setakat berjaya menawan hati P. Ramlee malah mereka yang hadir pada sesi ujibakat berkenaan.

Bertolak dari kejayaan itu, P. Ramlee menawarkan Sarimah satu watak kecil dalam filem “Ali Baba Bujang Lapok” (1961).

WAJAHNYA yang tidak jemu dipandang membuatkan Sarimah menjadi rebutan majalah hiburan pada era 1960-an antaranya Berita Filem.

Walaupun wataknya sebagai Marjina dianggap sebagai pengenalannya dalam dunia filem namun beliau terus diberikan watak utama dalam filem kedua lakonannya iaitu “Indera Bangsawan” (1961).

Selepas filem itu, Sarimah berlakon satu demi satu filem terbitan MFP dengan filem seterusnya “Si Tanggang,” “Indera Bangsawan,” (1961) diikuti “Lubang Daik,” Neracha” dan “Ibu Mertuaku” pada tahun 1962.

SATU lagi terbitan Majalah Berita Filem menampilkan Sarimah sebagai ‘cover girl.’
DUA Seniwati jelita dari Shaw Brothers…Sarimah dan Allahyarham Seniwati Roseyatimah sering menjadi penghias muka depan majalah hiburan pada tahun 1960-an antaranya MASTIKA FILEM.

Benarlah kata pepatah Melayu ‘tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tak siapa yang tahu’ kerana filem keenam lakonannya “Ibu Mertuaku” (1962) telah menjulang nama Sarimah sebagai Primadona baru MFP pada era 1960-an dan 1970-an dengan gaya lakonan yang memukau, raut wajah cantik menawan serta personaliti yang memikat!

Penghayatan Sarimah dalam “Ibu Mertuaku,”7 filem keenam lakonannya dan sebagai Sabariah Mansoor atau Maimunah Ismadi, seorang isteri yang termakan hasutan ibunya, Nyonya Mansoor (Seniwati Mak Dara) sanggup meninggalkan suaminya, Kassim Selamat yang kemudian dikenali Osman Jailani “Ibu Mertuaku” demi hidup senang benar-benar membuatkan penonton membencinya.

FILEM “Si Tanggang” terbitan tahun 1961 arahan Jamil Sulong adalah filem kedua lakonan Sarimah selepas “Ali Baba Bujang Lapok. Dalam filem ini beliau berlakon sebagai Puteri Indera Kachik yang sombong!
KEJELITAAN semulajadi Sarimah, bintang popular Malay Film Productions.

Kebencian penonton adalah kejayaan beliau dan sejak itu satu demi satu Primadona filem Melayu ini membintangi filem demi filem terbitan MFP yang terus mengukuhkan namanya sebagai Primadona dengan lakonannya yang penuh penghayatan antaranya “Madu Tiga” dan “Tiga Abdul” (1964), “Bidasari”, “Sayang Si Buta,” dan “Dayang Senandong” (1965).

Walaupun setelah filem “Raja Bersiong” (1967), Shaw Brothers ditutup namun Sarimah meneruskan kerjaya seninya bersama Merdeka Film Productions dengan membintangi filem-filem antaranya “Miang-Miang Keladi” dan “Kanchan Tirana” (1968), “Bukan Salah Ibu Mengandong” (1969), “Dr. Rushdi, “Tuah Badan,” dan “Gelora” (1970).

MAJLIS kenduri sebelum penggambaran filem “Darah Muda” (1963) dimulakan. Pengarahnya, Allahyarham Datuk Jamil Sulong (duduk membelakangi kamera), Pengurus Studio, Kwek Chip Jian (membongkok) dan Sarimah Ahmad (duduk di depan). Kebiasaannya, Jamil Sulong membaca doa selamat dan majlis itu berlangsung di studio set penggambaran filem berkenaan di Shaw Brothers, Singapura.
BABAK terakhir filem “Raja Bersiong” (diterbitkan pada tahun 1967) lakonan Sarimah Ahmad (Permaisuri) dan Allahyarham Seniwati Noor Azizah (Nangti) dengan bintang utama Seniman Ahmad Mahmud sebagai Raja Bersiong. Filem yang ditayangkan pada tahun 1968 adalah terbitan terakhir Malay Film Productions, Singapura milik Shaw Brothers. Babak ini menggambarkan Gemala Sari memberi tanda, Putera Raja dimahkotakan sebagai Raja Besar Kalha dan baginda adalah keturunan Raja Perita Deria. Babak berkenaan juga sebagai simbolik penutupan Studio Malay Film Productions, di Singapura pada November 1967.

Sepanjang kerjayanya, Sarimah telah membintangi banyak filem ikonik namun wataknya sebagai Sabariah Mansoor dalam “Ibu Mertuaku” yang membuatkan dia dibenci penonton dan filem berkenaan telah memenangi Anugerah Fotografi Hitam dan Biasa Terbaik di Festival Filem Asia ke-10 pada tahun 1963.

Selama tiga dekad kerjayanya, Sarimah telah membintangi 44 filem dengan lebih 30 filem beliau diberi watak utama.

Kerjaya seni Sarimah bukan setakat berlakon malah pada tahun 1980 dengan syarikat filem miliknya, Sarimah Film Production beliau menerbitkan lima filem iaitu “Detik 12 Malam” (1980) diikuti empat lagi filem “ Jejak Bertapak,” “Dia Ibuku” (1981), “Kabus Tengahari” (1982) dan filem terakhir “Ranjau Sepanjang Jalan” yang diterbitkan pada tahun 1983.

SARIMAH menari bersama Allahyarham Tan Sri P. Ramlee pada majlis sempena Hari Lahir yang ke-42 seniman berkenaan. Majlis tersebut berlangsung di kediaman seniman itu di No: 22, Jalan Dedap, Taman Forlong, Setapak, Kuala Lumpur.
Dua legenda seni tanah air P. Ramlee dan Sarimah menjadi cover majalah hiburan Mastika Filem.

Seniwati Sarimah kekal digelar Primadona apabila beliau diiktiraf sebagai pelakon wanita terulung dan ikon filem Melayu yang digilai ramai dan masih relevan selepas beliau dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-2 pada 1981 kerana lakonannya sebagai Rohani, ibu tunggal yang menempuh pelbagai dugaan untuk membesarkan dua anaknya, Jamal dan Jamil sehingga berjaya.

Gelaran Primadona diberikan berdasarkan bukan sahaja kerana kecemerlangan lakonan dan popularitinya yang kukuh dalam industri perfileman. Malah ia melambangkan statusnya sebagai idola dan ikon perfileman, mencerminkan pengaruh dan populariti beliau di kalangan para penonton dan para peminat filem Melayu!

DETIK bersejarah: SENIWATI legenda, Sarimah Ahmad menjulang trofi kemenangannya sebagai Pelakon Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke 2 yang berlangsung pada 2 April 1981 di Nirwana Ballroom, Hotel Hilton, Kuala Lumpur. Sarimah memenangi anugerah tersebut kerana lakonannya sebagai Rohani dalam filem arahan Allahyarham Yassin Salleh dengan cerita asal oleh Allahyarham Aimi Jarr dan diolah oleh Yassin Salleh.
SARIMAH dan Allahyarham Tan Sri Jins Shamsuddin menjadi penghias muka depan Majalah Filem & Fesyen keluaran September 1978 terbitan Utusan Melayu (M) Bhd.

Filem “Dia Ibuku” mencatatkan sejarah dalam kerjaya Primadona ini apabila filem berkenaan memenangi 10 anugerah daripada 20 kategori yang dipertandingkan pada Festival Filem Malaysia ke-2 (1981) anjuran EJA (Persatuan Wartawan Hiburan) yang berlangsung pada 12 April di Nirwana Ballroom, Hotel Hilton, Kuala Lumpur.

Pada FFM2, selain Sarimah dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik filem “Dia Ibuku” juga dinobatkan antaranya Filem Terbaik, Lakon Layar Terbaik, Jurukamera Terbaik dan M. Jamil dianugerahkan Bintang Harapan Lelaki.

PENULIS, Syed Wafa mengabadikan kenangan bersama Sarimah Ahmad dan anaknya, Norhayati Zulkifli (bertudung warna kelabu) dan wartawan tersohor dari BebasNews, Muzlina Abu Bakar.

Kini pada usianya mencecah 83 tahun, Primadona Sarimah lebih selesa menjalani kehidupannya sebagai ibu kepada lima orang anak iaitu Norhayati, Farawaheeda, M. Jamil, Shahray Zulkifli dan Yusarimah Puteri Yusof dan lebih 20 orang cucu.

Latest

Selamat Hari Raya Haji

Assalamualaikum semua... Kami di Wafa News. Com mengucapkan Selamat menyambut...

DPDDM jalin kerjasama dengan Standard Chatered

Oleh: Nafsiah Jani Baru-baru ini Dewan Perniagaan Datuk Dato Malaysia...

Filem Kata Hati tampilkan wajah baharu yang serasi

Oleh: Khadijah Ibrahim MULAI 4 Jun ini, filem Kata Hati...

Pendekatan Pelarasan Tulang Tanpa Pembedahan Diperkenalkan oleh MMW Bone Alignment Centre

Oleh : Nafsiah Jani Gaya hidup moden yang melibatkan duduk...
spot_img

Jangan Terlepas!

Pendekatan Pelarasan Tulang Tanpa Pembedahan Diperkenalkan oleh MMW Bone Alignment Centre

Oleh : Nafsiah Jani Gaya hidup moden yang melibatkan duduk...

1 Cinta 1 Rindu daripada Tantari

Oleh: Khadijah Ibrahim MESKIPUN usianya baru menjangkau 9 tahun, namun...

PROGRAM KEMPEN CEGAH OBESITI 2.0 PKCQM CAPAI SASARAN

Oleh : Nafsiah Jani Menyedari ramainya rakyat Malaysia yang mengalami...

KEETH Kembali Dengan EP Hollywood Diaries

Oleh: Syed Yusof Wafa Terus bangkit, selepas Kejayaan Naib Juara...

Selamat Hari Raya Haji

Assalamualaikum semua... Kami di Wafa News. Com mengucapkan Selamat menyambut...
Syed Yusof Wafa
Syed Yusof Wafa
SYED Yusof Wafa pernah menulis dan melukis di Utusan Malaysia (sisipan Remaja), URTV, Mangga, Hai, URS, Hit, Variapop serta pernah menjadi Editor Majalah Oh-Gee dan editor portal terkenal Ladybosz.com
spot_imgspot_img

Selamat Hari Raya Haji

Assalamualaikum semua... Kami di Wafa News. Com mengucapkan Selamat menyambut Hari Raya Haji! Semoga ibadah korban kita diterima dan kita menjadi insan yang lebih sabar...

DPDDM jalin kerjasama dengan Standard Chatered

Oleh: Nafsiah Jani Baru-baru ini Dewan Perniagaan Datuk Dato Malaysia (DPDDM) telah mengadakan satu pertemuan penuh bermakna dan cukup produktif bersama pihak pengurusan Standard Chartered...

Filem Kata Hati tampilkan wajah baharu yang serasi

Oleh: Khadijah Ibrahim MULAI 4 Jun ini, filem Kata Hati yang bergenre komedi romantik akan menemui penonton di pawagam di seluruh negara. Filem arahan Nadiah Hamzah...