Oleh: Nafsiah Jani
Foto: Ehsan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW)
Meriah dan berjaya. Itulah yang boleh digambarkan mengenai Program Sentuhan Kasih Desa@Tuaran yang berlangsung di Pusat Latihan RELA, Tuaran, Sabah pada 14 hingga 15 November yang lalu.
Lebih 1000 orang memenuhi dewan bagi menyaksikan konsert anjuran Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) serta artis-artis kesayangan mereka beraksi.


Pada malam konsert tersebut, Datuk Khadijah Ibrahim, Datuk Jeffrydin, Ameng Spring dan Ani Mayuni turut menghiburkan tetamu vip termasuk YAB Datuk Seri Panglima Dr. Ahmad Zahid Hamidi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah selepas majlis perasmian.
Ani Mayuni selaku pengacara persembahan turut menyampaikan lagu Mati Lampu. Majlis dihangatkan lagi dengan gandingan Ani Mayuni dan Atu Maharaja Lawak sebagai pencara majlis. Ameng menyampaikan lagu hit beliau iaitu Butakah Cinta, Sampai Hati dan Pesanan.


Datuk Jeffrydin pula dengan lagunya Kenanganku, Seruling Anak Gembala dan Mas Mona. Persembahan istimewa Datuk Khadijah Ibrahim dengan lagu-lagu yang memukau dan mengimbau nostalgia iaitu, Ku Gembira Di Sampingmu dan Ku Pendam Sebuah Duka. Majlis yang sedia hangat dimeriahkan lagi dengan gandingan duet Datuk Khadijah dan Ameng Spring menyampaikan lagu Doa Buat Kekasih.
Majlis juga turut dimeriahkan dengan persembahan selebriti popular Sabah, Joveana Jim Lajim dan Tati Atitih Yati Robert yang merupakan Juara Uduk Ngadau Kaamatan Negeri Sabah 2025.


Ketua Penolong Setiausaha Kanan KKDW, Encik Ahmad Syah Ejaz Ismail berkata, kami bersyukur kerana Program Sentuhan Kasih Desa@Tuaran ini mendapat sambutan luarbiasa daripada masyarakat setempat.
“Konsert ini bukan sahaja bertujuan untuk menyerikan majlis, malah menjadi wadah merapatkan hubungan antara pemimpin dan rakyat dalam suasana yang harmoni dan penuh mesra. Persembahan yang ditampilkan juga mencerminkan kepelbagaian budaya serta kekayaan seni tempatan yang menjadi kebanggaan negara.



“Selain konsert, pelbagai aktiviti menarik yang melibatkan penyertaan masyarakat setempat seperti Pertandingan E-Sports dan Pertandingan Karaoke (Tuaran Golden Voice) turut mendapat sambutan yang menggalakkan.
“Penganjuran aktiviti-aktiviti ini bukan sahaja bertujuan untuk memeriahkan suasana program, malah berperanan sebagai medium interaksi dan penglibatan komuniti dalam suasana yang santai dan harmoni. Selain itu, ia juga menjadi platform untuk mencungkil bakat serta menggalakkan semangat kerjasama dan perpaduan dalam kalangan peserta.”


Program Sentuhan Kasih Desa (SKD) merupakan salah satu inisiatif strategik di bawah KKDW yang dilaksanakan secara berkala bagi memperkukuh usaha pembangunan luar bandar serta memartabatkan komuniti desa di seluruh negara. Program ini berperanan sebagai platform bersepadu bagi menghimpunkan usahawan desa yang berdaftar di bawah Kementerian atau pelbagai agensi di bawah Kementerian bagi mempromosikan produk keluaran mereka sekaligus melatih usahawan ini menjalinkan hubungan perniagaan dengan pihak yang mampu membantu memasarkan produk mereka dengan lebih luas.
Tambah Encik Ahmad Syah Ejaz lagi, Kemuncak pelaksanaan SKD adalah penganjuran Karnival Usahawan Desa (KUD) yang dilaksanakan setiap dua tahun sekali.



“Nampaknya program turun padang yang kami anjurkan ini dapat memberi ruang kepada Kementerian untuk berinteraksi secara langsung dengan masyarakat desa, menyantuni rakyat, mendengar permasalahan sebenar di lapangan serta menyalurkan bantuan dan inisiatif yang bersesuaian mengikut keperluan setempat. Memperkasa komuniti desa melalui pelaksanaan aktiviti pembangunan modal insan, keusahawanan, kemahiran dan ekonomi tempatan.
“Bagi pelaksanaan SKD di Tuaran, Sabah, sejumlah 55 orang usahawan di bawah seliaan KKDW telah dijemput untuk terlibat bagi memberi peluang kepada para usahawan mempamerkan serta mempromosikan produk-produk keluaran mereka kepada orang ramai, sekali gus membuka jaringan perniagaan baharu dan memperluas pasaran produk ke peringkat yang lebih tinggi. Diharap penganjuran program sebegini dapat melahirkan lebih ramai usahawan desa untuk terus berdaya saing serta menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi setempat yang mampan.”






Menurut Encik Ahmad Syah Ejaz, YAB Timbalan Perdana Menteri juga telah menyampaikan bantuan bakul makanan secara simbolik kepada 5,000 orang penerima merangkumi kumpulan penerima e-Kasih, mangsa bencana, komuniti kelas KEMAS serta keluarga B40 pelajar Tabika KEMAS.
“Selain itu, pengunjung turut mendapat akses kepada kaunter geran keusahawanan, pemeriksaan kesihatan, khidmat institusi TVET KKDW, PKD Mobile, serta perkhidmatan GIATMARA seperti gunting rambut dan servis penyaman udara kenderaan. Sebanyak 2,000 kupon penggalak jualan bernilai keseluruhan RM10,000 (1,000 keping setiap hari) telah diedarkan secara percuma kepada pengunjung pertama hari tersebut sebagai insentif berbelanja di reruai usahawan, sekali gus menyuntik ransangan ekonomi setempat sepanjang program berlangsung.










Seramai 240 orang anggota Jawatankuasa Komuniti Desa Madani (JKDM) Parlimen Tuaran turut menghadiri Program SKD @ Tuaran. Kehadiran para anggota JKDM Parlimen Tuaran ini secara tidak langsung telah memeriahkan program serta memperkukuh jalinan kerjasama dan semangat perpaduan dalam kalangan komuniti setempat.
Diharap program sebegini dapat menyemai semangat keusahawanan dan memperkasakan Komuniti Desa Madani ke arah kehidupan yang lebih progresif, mampan dan sejahtera selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI.



