Oleh: Nafsiah Jani
Tahniah diucapkan kepada penyanyi Sissy Imann, apabila berkahwin dengan seorang duda yang mempunyai anak sekali gus menyatakan kesediaannya memikul peranan sebagai seorang ibu tiri.
Sissy atau nama lengkapnya Sissy Imann Muhammad Kamil,30, melihat perkara itu sebagai satu tanggungjawab disamping perlu mengalas status isteri.
Malah, pelantun lagu Dengan Kamu itu juga mendedahkan sudah beberapa kali bertemu dengan anak-anak tirinya sebagai proses untuk saling mengenali dengan lebih rapat lagi.
“Alhamdulillah, saya nampak itu satu perkara yang macam rezeki sebenarnya untuk kita buat lebih pahala. Sebenarnya dah banyak kali saya jumpa dengan anak-anak suami. Dah banyak aktiviti kami lakukan bersama, antaranya pergi zoo, pergi makan-makan dan banyak lagi aktiviti. Sejak awal perkenalan lagi, anak-anak dah panggil ayahanda (bapa Sissy) sebagai tok nda dan bonda (ibu Sissy) sebagai nenda.
“Tapi dengan saya mereka masih panggil Aunty. Alhamdulillah, semuanya okay saja,” katanya selepas majis resepsi yang berlangsung di WG Glassbox Tamarind Square, Cyberjaya, baru-baru ini.

Sissy juga mengakui jika rakan artis iaitu Sarah Suhairi antara insan awal yang mengetahui rancangannya untuk berkahwin.
“Minta tips tu, tak adalah. Tapi Sarah antara orang yang terawal tahu saya akan bernikah. Alhamdullilah, dia sangat gembira untuk saya. Apa sahaja proses yang perlu dilalui dalam alam rumah tangga contohnya berkahwin dengan duda, adalah juga Sarah kongsi.
“Daripada proses nak isi borang berkaitan pernikahan dan macam-macam lagi , dia banyak berkongsi dengan saya,” ujar Sissy lagi.
Sementara itu, suami Sissy iaitu Dr Zamir Hilman Dr Hamzah,41, mengesahkan jika isterinya itu tidak canggung memainkan peranan sebagai ibu ekspres kepada anak-anaknya.
“Setakat ini, tak nampak dia kekok bila bersama anak-anak saya. Alhamdulillah saya gembira kerana Sissy dapat menerima mereka seperti anak-anaknya juga,” katanya untuk tidak mendedahkan bilangan serta identiti anak-anak demi keselamatan semua pihak.
Majlis resepsi yang berkonsepkan Baba Nyonya ini dipilih memandangkan keluarga bapanya berasal dari keturunan itu.
“Arwah nenek belah bapa saya adalah keturunan Baba Nyonya dari Melaka. Jadi, sebagai memenuhi hajat Ayahanda dan Bonda nak adakan majlis yang bertemakan konsep begini. Kami sebagai anak dan menantu hanya turuti kehendak orang tua,” kongsinya.
Terdahulu, Sissy sah bergelar isteri kepada Dr Zamir pada 12 Disember lalu di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya.


