Oleh: Khadijah Ibrahim
BIDUANITA Negara Datuk Sri Siti Nurhaliza Taruddin, 47, mencipta nama dalam industri muzik Malaysia bukan dalam tempoh yang singkat atau mengguna ‘kabel’ untuk berada di carta teratas.
Beliau bermula dari bawah dengan menyertai pertandingan nyanyian Bintang HMI anjuran RTM seawal usia 16 tahun hinggalah kini namanya sering menjadi bualan dan menjadi ‘penanda aras’ bagi sesiapa yang ingin bergelar penyanyi.
Memang Siti tidak pernah menganggap dirinya yang terbaik kerana anak kelahiran Kampung Awah, Temerloh, Pahang itu sentiasa bersikap merendah diri walaupun beliau merupakan idola kepada ramai peminat, termasuklah pendatang baharu dalam bidang seni.

Kalau ditanya, apa impian awak dalam bidang seni? Pasti ada jawapan yang diberi, kalau boleh saya nak popular seperti Datuk Siti. Kalau ada peluang saya nak berduet dengan Penyanyi No.1 Malaysia!. Malah penggemar muzik di luar negara juga mengenali Siti berbanding pemimpin negara Malaysia.
Sudah 30 tahun Siti berkecimpung dalam bidang seni secara profesional dan tidak dinafikan apa yang dilaluinya bukanlah semua indah, ada juga yang menyakiti. Namun sebagai anak seni, Siti reda dengan apa yang dilalui dan jika perlu bersuara, beliau akan lontarkann pendapatnya di media sosial walaupun sedar tidak boleh menutup mulut atau komen daripada orang ramai.
Selepas orang ramai penat memberi ulasan tentang konsertnya, kini Siti menjadi perhatian gara-gara fotonya yang bersolat tidak memakai telekung.
“Bagi saya tak ada apa, yang berkaitan dengan ibadah saya tak perlu nak membalas semula sebab memang betul ustaz pun sudah menjelaskan. Jadi tak perlu la saya berkata apa-apa pun.

“Yang beragama Islam kita tahu apa yang sepatutnya dan dalam masa yang sama saya masih lagi memperbaiki diri dan amalan saya. Apa yang saya harapkan Allah semakin memberikan saya kekuatan dan kesabaran sebab bukan mudah menjadi anak seni dalam dunia yang semakin mencabar, di mana setiap apa yang kita buat pasti akan menjadi tumpuan terutamanya kalau saya ni anak seni.
“Saya rasa sembahyang dengan jubah dan menutup aurat tu bukan bermula daripada saya, kita menutup aurat untuk bersolat dan kita tahu cara untuk menunaikan solat. Bukan sebab saya pakai gitu orang lain in kena ikut.
“Bagi saya terpulang kepada individu tapi apa yang ditetapkan oleh agama syarat untuk menutup aurat menunaikan solat kita tahu diri kita dalam keadaan yang sempurna. Kalau orang lain mungkin dia tak tulis kot.
“Bagi saya tak ada masalah bulan Ramadan yang mulia ini kita husnuzon saja. Kadang-kadang ada orang tegur tu betul juga mungkin ada kekurangan kita. Apapun saya tak akan mengulas atau membidas sebab ustaz dah jelaskan untuk mereka memahami,” kata Siti dengan tenang.

Siti yang tampil dengan lagu raya berjudul “Beraya Dengan Saya” tahun ini berkata, berdasarkan pengalaman berhadapan dengan komen-komen negatif sepanjang bergiat dalam bidang seni, beliau sudah ‘lali’ dengan pandangan orang lain.
“Apa yang ditulis di laman media sosial itu sudah normal sebab semua orang suka membuat pandangan sendiri tapi jangan sampai jatuh fitnah sudah la. Itulah asam garam dunia media sosial kini. Kalau kita menulis sampai menjatuhkan fitnah dan mendatangkan dosa kepada kita dan jadi kesalahanan kepada kita, kena cepat-cepatlah sedar.
“Bila saya baca dah jadi viral. Mungkin saya dah ada pengalaman menghadapi situasi kata-kata begini daripada dulu jadi macam hal-hal ibadah ni saya lebih suka tidak memberi apa-apa respons. Orang yang lebih bijaksana boleh jelaskan.
Nanti kalau saya yang jelaskan takut jadi kesalahan pula. Baik saya diam saja. Mungkin orang yang mengambil gambar tak berniat untuk mencetuskan tapi bila orang komen yang menjadikan ia satu isu. Saya tak nak cakap orang yang ambil gambar itu bersalah tapi orang yang memperkatakan itu dia perlu bertanggungjawab dengan apa yang dia kata,” katanya.

Secara peribadi, Siti akui beliau tidak tahu kenapa dirinya sering menjadi ‘perdebatan’ di media sosial kerana beliau tidak pernah meminta untuk mendapat perhatian ramai.
“Saya pun tak tahu nak buat macam mana. Kalau pasal Siti Nurhaliza pasti ada yang bercakap pasal diri saya. Tak kisahlah pasal baju saya, pasal konsert atau produk saya. Apa saja berkaitan Siti Nurhaliza orang suka nak komen.
“Saya boleh nilai sendiri penulisan itu dan komen-komen itu. Kalau komen daripada peminat, saya sudah faham. Kalau yang menulis sebaliknya saya tahu dia bukan peminat saya. Dia mungkin tidak bersetuju tentang banyak perkara mengenai diri saya. Bagi saya okey saja, selagi saya masih boleh memberi semula kepada peminat dan masyarakat dalam bentuk positif saya akan teruskan,” ujar Siti yang ditemui pada majlis Iftar Jiwa Prihatin di Royale Chulan Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Pada majlis tersebut yang merupakan majlis tahunan ketiga Yayasan Nurjiwa bersama Yayasan Prihatin telah memberi sumbangan kepada pengamal media, rakan artis, anak-anak yatim serta anak-anak tahfiz.


