Oleh: Khadijah Ibrahim
PENYANYI Shiha Zikir akui awalnya beliau tak terfikir nak keluarkan lagu raya tahun ini kerana “Minta Ampun” lagu tradisional yang diterbit pada Februari lalu boleh saja diguna waktu Ramadan atau raya.
Namun semuanya berubah apabila beliau rasa tak puas hati apabila tidak menghasilkan lagu raya seperti selalu. Lalu terhasillah lagu raya Shiha yang berjudul “Memori Raya”.
Lagu tersebut merupakan hasil kolaborasi antara Shiha Zikir Empire dengan Giant Malaysia yang sekali lagi berganding bahu selepas kerjasama menerusi lagu “Tum Tum Raya” tahun lalu.
“Ini memang projek saat akhir, hampir bulan puasa baru terfikir nak buat lagu raya. Mula-mula ingat biar saja lagu “Minta Ampun ” yang dikeluarkan baru-baru ini boleh saja guna waktu Ramadan atau raya. Tapi kerana Shiha terikat dengan Giant, rasa rugi pula kalau tak keluarkan lagu raya.
“Tak sangka Giant pun setuju dengan cadangan Shiha dan cepat-cepat Shiha hubungi komposer.

Bagi Shiha momen itu agak kelakar la sebab kita nak minta lagu pada saat-saat akhir. Shiha terus bagi tahu apa yang Shiha nak dalam lagu tersebut dan alhamdulillah komposer boleh penuhi keinginan Shiha itu.
“Dalam masa yang sangat singkat, dapat demo dan Shiha suka. Tak tunggu lama, terus masuk vokal. Siap rakaman terus buat penggambaran video muzik dan bila siap suntingan terus release.
Itulah yang terjadi untuk pembikinan lagu ini,” cerita Shiha tentang kegigihannya untuk keluarkan lagu “Memori Raya” yang dihasilkan bersama komposer Iqie Hugh dan John Jeeves.
Menurutnya lagi, sebelum ini beliau sudah banyak menghasilkan lagu raya berentak tradisional dan joget, namun kali ini Shiha mahu tampil dengan sesuatu yang lebih segar dan moden.
Ujar Shiha, pihak Giant tidak membantah keinginannya untuk mengeluarkan lagu raya pada saat akhir kerana yakin lagu “Memori Raya” dapat membantu meningkatkan jualan seperti mana lagu “Tum Tum Raya” sebelum ini.
Menurut Shiha, lagu “Memori Raya” membawa elemen nostalgia yang mampu mengimbau
kembali kenangan lama ketika menyambut lebaran. Walaupun melodinya bersifat ceria dan
catchy, lirik lagu tersebut sebenarnya mampu menyentuh emosi pendengar serta
mengingatkan mereka kepada memori indah bersama keluarga.
“Lagu ini sebenarnya membawa pendengar kembali kepada kenangan lama ketika menyambut hari raya. Apabila saya memperdengarkan lagu ini kepada keluarga, ramai yang tersentuh walaupun melodinya rancak. Mungkin kerana liriknya membuatkan kita teringat kembali kenangan lama,” katanya.

Menyentuh mengenai mesej lagu tersebut, Shiha berkata “Memori Raya” berkisar tentang
kenangan Aidilfitri yang sering dikaitkan dengan kampung halaman serta pertemuan dan
masa masa terluang bersama keluarga tersayang dalam persiapan menyambut Syawal.
“Walaupun kedengaran cliche, lagu ini sebenarnya tentang bagaimana kita semua akan teringat kembali kenangan di kampung, bertemu ibu bapa serta saudara-mara ketika musim perayaan,” jelasnya.
Berkongsi kisah menarik sepanjang penggambaran video muzik “Memori Raya”, Shiha berkata, beliau turut mengajak beberapa individu yang tidak dikenali melalui media sosial untuk menyertai penggambaran tersebut.
“Saya memilih beberapa orang yang saya tidak kenal melalui media sosial untuk datang dan merasai sendiri pengalaman berada di set penggambaran video muzik.
“Selain itu, saya juga mahu berkenalan dengan orang baharu. Apa yang menggembirakan, mereka semua sangat teruja sepanjang penggambaran walaupun penggambaran mengambil masa yang agak panjang,” ujarnya.
Menurut Shiha, pengalaman tersebut sangat bermakna kerana mereka sama-sama mencipta kenangan baharu yang selari dengan konsep lagu tersebut iaitu “Memori Raya”.
“Saya harap orang ramai suka dan mahu menyokong lagu “Memori Raya” serta lagu raya lain yang turut dikeluarkan oleh artis tempatan tahun ini. Semoga lagu ini dapat menjadi antara lagu pilihan sepanjang musim perayaan,” katanya.
Mengulas lanjut tentang kerjasama dengan Giant Malaysia, Shiha akui gembira kerana dapat mendekati lebih ramai orang baharu di luar sana menerusi kempen dan pelbagai aktiviti menarik.

“Saya dapat mendekati dan mengenali ramai orang di luar sana kerana Giant banyak membantu masyarakat. Oleh itu, saya berpeluang untuk sertai mereka dalam membantu
orang ramai menerusi kempen dan aktiviti yang mereka adakan,”katanya.
Sementara itu, pihak Giant Malaysia menyifatkan kerjasama dengan Shiha Zikir sebagai satu kolaborasi yang sangat bermakna selepas kejayaan yang diraih tahun lalu.
Menurut Ketua Pemasaran Giant Malaysia, Andre Lim, Shiha bukan sahaja seorang selebriti, malah memiliki personaliti ceria dan bertenaga yang sangat dekat dengan masyarakat daripada pelbagai lapisan, selari dengan profil pelanggan Giant.
“Kerjasama kami dengan Shiha Zikir dan Shiha Zikir Empire tahun lalu membuahkan hasil
yang sangat memberangsangkan. Shiha mempunyai personaliti yang ceria dan dekat dengan masyarakat, dan bagi kami konsistensi adalah kunci dalam membina kepercayaan jenama,” katanya.
Tambah Andre, sempena sambutan Aidilfitri tahun ini, Giant Malaysia turut memperkenalkan kempen utama bertemakan “Jimat Berganda, Raya Bergaya” yang menawarkan pelbagai ganjaran menarik kepada pelanggan.
Melalui peraduan “Beli & Menang” yang berlangsung dari 26 Februari hingga 15 April 2026, pelanggan yang berbelanja minimum RM60 dalam satu resit di mana-mana cawangan Giant berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik termasuk bar emas.
Antara hadiah yang ditawarkan ialah hadiah utama bar emas seberat 10 gram, hadiah kedua bar emas seberat 5 gram serta 15 hadiah berupa bar emas seberat 1 gram. Selain itu, pelanggan juga berpeluang memenangi baucar tunai Giant bernilai RM100 sebagai hadiah mingguan.
Kempen ini turut disokong oleh beberapa rakan jenama strategik seperti Uncle Jack, F&N,
Kimball, Crunchitos dan Golden Bites bagi memastikan pelanggan menikmati pelbagai pilihan produk dengan harga promosi yang lebih kompetitif.
Dengan gabungan lagu raya yang penuh nostalgia serta kempen menarik daripada Giant Malaysia, kolaborasi ini diharap dapat memeriahkan lagi sambutan Aidilfitri tahun ini serta mencipta kenangan manis buat rakyat Malaysia.
Pautan YouTube:


