Oleh:Khadijah Ibrahim
SETIAP tahun stesen radio Suria FM pasti akan tampil dengan lagu raya yang dinyanyikan oleh penyampainya bagi memeriahkan sambutan Syawal.
Tahun ini juga stesen yang diterajui oleh Roslinda Abdul Majid atau DJ Lin selaku Pengurus Besar Suria FM tetap meneruskan legasi tersebut.
Cuma kali ini Suria FM dengan bekerjasama dengan Toyota melancarkan lagu dan video muzik raya terbaharu berjudul “Gurindam Aidilfitri”, yang dinyanyikan oleh barisan penyampai Suria FM iaitu Fad, Ajak, Elly, Cik Piah, Chiwan, Kai, Irsyad, dan DJ Lin.
Lagu ciptaan Luca Sickta dan Nazif Analog, manakala liriknya ditulis oleh Luca Sickta, Nazif Analog dan B-Heart itu dilancarkan secara rasmi sejak 9 Mac lalu.

“Gurindam Aidilfitri” terbitan Lsandbeats Legacy itu, menampilkan muzik yang ceria dengan sentuhan moden dan tradisional, sekali gus mengangkat suasana raya yang penuh nostalgia serta nilai kekeluargaan.
Video muzik “Gurindam Aidilfitri” ini memaparkan momen klasik Aidilfitri seperti memohon kemaafan, kunjung-mengunjungi, berkongsi juadah raya dan merakam kenangan bersama keluarga serta sahabat.
Secara tak langsung karya ini lebih menekankan semangat kebersamaan, memaafkan kesilapan lalu, dan mengeratkan silaturahim.
Penampilan beberapa model kenderaan Toyota dalam video muzik turut menambahkan keceriaan visual sambil menyampaikan mesej perjalanan pulang ke kampung yang selamat dan selesa bersama insan tersayang selari dengan semangat perayaan yang dinantikan setiap tahun.

Bagi memeriahkan lagi pelancaran lagu ini, Suria FM turut memperkenalkan “Gurindam Aidilfitri Dance Challenge”, di mana peserta berpeluang memenangi hadiah wang tunai sehingga RM3,000.
Peserta perlu mengikuti langkah tarian rasmi seperti yang dipaparkan dalam muzik video tersebut. Orang ramai juga digalakkan untuk menyertai cabaran ini bersama ahli keluarga dan rakan-rakan kerana konsepnya mudah, lagi ramai, lagi meriah.
Jika anda menang untuk tempat pertama, maka wang bernilai RM1,500 akan menjadi milik anda. Manakala tempat kedua akan menerima wang tunai RM1,000 dan RM500 untuk pemenang tempat ketiga.
Orang ramai boleh menonton muzik video penuh “Gurindam Aidilfitri” di saluran YouTube rasmi Suria FM, Suria Malaysia, serta mengikuti maklumat lanjut mengenai cabaran ini melalui platform media sosial rasmi Suria FM, Suria Malaysia.
Dengan pelancaran ini, Suria FM berharap “Gurindam Aidilfitri” dapat menjadi antara lagu raya yang menceriakan sambutan Aidilfitri 2026 serta mengajak masyarakat meraikan Syawal dengan penuh kegembiraan, kemaafan dan kebersamaan.


