Oleh: Khadijah Ibrahim
BIDUANITA Negara Datuk Seri Siti Nurhaliza menganggap pemilihan beliau untuk kali kedua sebagai wakil Spotify EQUAL Singapura & Malaysia bagi Mac 2026 merupakan satu penghormatan yang sangat besar buat dirinya.
Sebelum ini, buat pertama kalinya pada 18 Mei 2022, wajah Siti Nurhaliza telah menghiasi papan iklan digital gergasi di Times Square, New York.
Pengiktirafan ini bukan sahaja mencerminkan pencapaian luar biasa beliau dalam industri muzik, malah terus mengangkat suara wanita di rantau Asia Tenggara ke pentas yang lebih luas.

Pemilihan Siti Nurhaliza sebagai wakil Spotify EQUAL Singapura & Malaysia sekali lagi membuktikan pengaruh dan relevansi beliau sebagai ikon muzik serantau, serta menjadi
inspirasi kepada generasi baharu untuk terus berkarya dan mengangkat suara wanita dalam industri muzik.
Mengulas mengenai pencapaian ini, Siti Nurhaliza meluahkan rasa syukur atas penghormatan yang diterima.
“Alhamdulillah, saya ingin memanjatkan kesyukuran kepada Allah SWT atas rezeki ini. Terpilih sebagai wakil Spotify EQUAL Singapura & Malaysia merupakan satu penghormatan yang sangat besar buat saya,” ujar beliau.
Menurut Siti Nurhaliza lagi, pengiktirafan ini menjadi bukti bahawa muzik tidak mengenal batas usia mahupun tempoh masa.

Ujarnya, dalam era digital yang berkembang pesat, pemilihan beliau sebagai wajah kempen yang memperkasakan wanita membuktikan bahawa karya yang berkualiti kekal relevan dan dihargai di platform penstriman global.
Sebagai figura wanita berpengaruh, beliau melihat pencapaian ini sebagai satu representasi buat semua anak seni wanita di rantau ini.
“Ini bukan sekadar kejayaan individu, tetapi satu mesej bahawa suara wanita mempunyai kekuatan luar biasa untuk menyatukan peminat di Malaysia, Singapura dan seluruh dunia,” tambah beliau, sambil merakamkan penghargaan kepada Spotify atas usaha berterusan dalam memperkasakan wanita melalui muzik.
Dalam masa yang sama Siti Nurhaliza turut berkongsi nasihat buat penyanyi wanita muda yang ingin membina kerjaya mampan dalam industri muzik masa kini.

Beliau menekankan kepentingan mengejar kualiti berbanding populariti sementara, serta membina identiti seni yang unik dan konsisten.
“Jangan hanya mengejar viral, tetapi kejarlah kualiti. Identiti yang kuat dan disiplin dalam menjaga vokal akan memastikan anda kekal relevan merentas zaman,” jelasnya.
Siti Nurhaliza turut mengingatkan bahawa industri muzik sentiasa berubah, dan artis perlu bijak menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi serta trend semasa tanpa melupakan asas seni mereka.
Selain itu, katanya, sikap positif dan ketahanan diri juga penting dalam menghadapi cabaran industri. Beliau turut menegaskan bahawa peminat merupakan tunjang utama dalam perjalanan kerjaya seseorang artis.
“Hargai peminat anda kerana tanpa mereka, kita tidak akan berada di mana-mana,” katanya.


