Oleh: Khadijah Ibrahim
KALAU bercakap mengenai penjiwaan watak, tidak dapat dinafikan aktres senior Datuk Fauziah Nawi antara yang terbaik. Bagilah watak apapun kepadanya, beliau mampu menghidupkan karakter tersebut mengikut jalan cerita yang dicoret dengan baik.
Walaupun dalam kehidupan sebenar beliau tidak pernah melakukan atau melalui situasi yang dialami oleh watak yang dilakonkan.
Namun kerana darah seni yang mengalir kuat dalam badannya, Fauziah akan tetap melaksanakan kepercayaan yang diberi dengan berkesan seperti dalam naskhah terbaharu lakonannya, ‘Doa Sang Pendosa’.

Bercerita mengenai naskhah yang diarahkan oleh pelakon Issey Fazlisham itu, Fauziah telah diberikan tanggungjawab menghidupkan watak seorang warga emas bernama Maria yang berulang kali keluar dan masuk Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN Bachok), Kota Bharu, Kelantan.
Aktres tersohor ini mengaku sukar membawa watak seorang penagih dadah kerana pada kehidupan nyata dirinya tidak pernah terlibat dengan najis tersebut.
“Sukar untuk membawa watak seorang penagih dadah pada usia saya 73 tahun. Maria adalah seorang penagih yang asyik keluar masuk pusat pemulihan atau PUSPEN.

“Tapi dalam kehidupan realiti seorang Fauziah Nawi, saya tidak pernah terlibat dengan sebarang jenis dadah. Sama juga dengan minuman keras. Saya tidak terlibat dengan kedua-duanya.
“Selalu saya dengar sesiapa yang terlibat dengan masalah ini digelar sebagai ‘lalok’. Dan saya tidak tahu macam mana menjadi lalok.
“Cuma sepanjang terlibat dalam ‘Doa Sang Pendosa’, saya memang asyik mengantuk dan nampak macam lalok memanjang sehingga pengarah, Issey pun tegur saya macam seorang penagih dadah kerana ekspresi wajah yang terlibat dalam monitor,” ujar Fauziah.

Tambahnya, walaupun berlakon dengan pelakon dan pengarah muda, Fauziah tetap bersyukur kerana terlibat dalam ‘Doa Sang Pendosa’ bersama tim produksi hebat.
“Meski ramai pelakon muda termasuk pengarah, Issey, saya melihat kami saling memiliki chemistry yang menjadikan perjalanan ‘Doa Sang Pendosa’ mengalir baik,” katanya.


